26 February 2012

KISAH TENTANG CEMBURU



KISAH KECEMBURUAN SARAH TERHADAP HAJAR

Berkata al-Waqidi dari Muhammad bin Salih dari Saad bin Ibrahim dari Amir bin Saad dari ayahnya menceritakan, Sarah mendampingi Ibrahim dalam tempoh masa yang panjang. Namun tidak dikurniakan anak. Menyedari kekurangan diri, Sarah dengan rela hati menghadiahkan hamba perempuannya, Hajar untuk dinikahi oleh Ibrahim. Lalu Hajar melahirkan anak untuk Ibrahim.

Namun, Sarah berasa sangat cemburu terhadap Hajar dan menyesali tindakannya. Dia melafazkan suatu sumpah. Ibrahim bertanya kepadanya,


“Adakah adinda ingin memperbaharui sumpah adinda?”


Sarah menjawab,


“Apa yang harus adinda lakukan?”


Ibrahim menjawab,


“Tindik telinganya dan ringankan (khitan) dia.”


Lalu Sarah melakukan hal itu kepada Hajar. Sarah memasang anting-anting di telinganya. Kecantikan Hajar bertambah. Sarah bertambah-tambah cemburu.

Cinta Ibrahim semakin hari semakin mendalam kepada Hajar. Kecemburuan Sarah pula makin memuncak. Walaupun Sarah seorang wanita mulia, isteri seorang Nabi namun kecemburuannya boleh membinasakan orang lain.

Nabi Ibrahim terpaksa memindahkan Hajar ke Makkah. Selain mematuhi perintah Allah, hikmahnya, Nabi Ibrahim dapat melindungi Hajar daripada tindakan kasar Sarah. Peristiwa itu menguji besarnya cinta Nabi Ibrahim kepada Hajar. Ia turut meraikan rendahnya kesabaran Sarah terhadap kecemburuannya.

Siapa kata hanya wanita sahaja cemburu? Allah dan Rasul juga cemburu. Lelaki soleh juga cemburu. Mari telusuri kisah mereka.

LELAKI PALING CEMBURU

Dari Mughirah RA katanya: Saad bin Ubadah mengatakan : “Kalau sekiranya aku melihat lelaki berkelakuan serong (bermesra-mesraan) dengan isteriku, nescaya lelaki itu aku tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya.” Ucapan itu sampai kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata:

“Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah, aku lebih cemburu (ambil endah dan bencikan maksiat demi agama) daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorangpun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

KISAH-KISAH KECEMBURUAN LELAKI SOLEH

1) Rasulullah mencemburui Mariah al-Qibtiyah

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah dari Yazid bin Abi Habib dari Abdur Rahman bin Syamasah al-Mahri dari Abdullah bin Umar, ketika Mariah al-Qibtiyah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat lelakinya daripada Mesir kerap datang menizarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersamanya. Rasulullah berasa cemburu. Baginda keluar dengan rona wajah yang berubah. Orang-orang munafik pula suka mengintai peluang untuk membawa mulut dan menabur fitnah. Di jalanan, baginda bertemu Umar. Umar perasan ada sesuatu yang Rasulullah pendam. Umar lantas bertanya keadaan baginda. Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah. Dengan pedang terhunus, Umar lalu mencari lelaki itu. Dia mahu membunuhnya. Lelaki itu segera menyingkap keadaan zakarnya yang sudah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya. Dia menemui Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dan saudaranya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku.” (Riwayat Bazzar).

2) Umar Cemburukan Isterinya Ke Masjid

Umar bin al-Khattab tidak kurang besar cemburunya. Pernah isterinya keluar untuk solat berjamaah di masjid. Dari riak wajahnya, isterinya tahu Umar tidak suka dan sedang cemburu. Lalu isterinya berkata. “Jika kanda melarang, dinda tidak pergi.” Umar diam sahaja kerana ingat pesan Nabi, “Janganlah kalian melarang para wanita pergi ke masjid.” (HR Bukhari, Ahmad dan Abu Daud).

3) Cemburu Diambil Kira Untuk Meringankan Hukuman

Pernah ada kes pada zaman Umar, seorang lelaki membunuh isterinya dan seorang lelaki lain kerana melihat mereka sedang berzina. Sekelompok ahli fiqh dan di antaranya Imam Ahmad berpendapat bahawa jika seorang pemuda menemui lelaki lain sedang berzina dengan isterinya, lalu dia membunuh keduanya maka tiada qishas (bunuh balas) baginya, serta tiada wang diyat(wang ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga si mati bagi membebaskannya daripada hukuman qishas). Kecuali jika dia membunuh isterinya yang sedang diperkosa, maka perlu diqishas. Namun, ucapan suami semata-mata tidak boleh diterima kecuali dengan saksi oleh walinya dan bukti. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Ibnul Qayyim berkata, cemburu yang membuat pencinta menghukum kekasihnya dengan sangat berat begini adalah cemburu yang tidak terpuji.

4) Ibnu Umar Cemburu Mendengar Bicara Isterinya dengan Lelaki Kerabatnya

Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Ibnu Abi Mulaikah menyebut bahawa Ibnu Umar mendengar isterinya berbicara dengan seorang lelaki dari balik tembok. Di antara mereka masih ada hubungan kekeluargaan. Namun Ibnu Umar tidak mengetahuinya. Lalu dia mengumpulkan pelepah kurma dan memukul isterinya hingga si isteri berteriak kesakitan.

5) Cemburu Muaz Bin Jabal Saat Makan Epal

Al-Kharaithi menyebut dari Muaz bin Jabal bahawa dia makan epal bersama isterinya. Lalu masuklah hambanya menemuinya. Kemudian si isteri memberikan epal yang telah dimakan sebahagian kepada hamba itu. Muaz rasa cemburu. Dia lalu memukul isterinya.

*Kisah-kisah ini dipetik daripada buku Raudhatul Muhibbin waNuzhatul Musytaqin, karya Ibnul Qayyim al-Jauziyah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...