Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh pernah merancang untuk memadukan Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha, akan tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang beliau. Ini merujuk kepada hadis berikut:
al-Miswar bin Makhramah berkata: Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah baligh. Baginda bersabda:
Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 2879]
Diriwayatkan juga bahawa baginda bersabda: Fathimah adalah bahagian daripada diriku. Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku. [Shahih al-Bukhari, no: 3483]
Peristiwa ini menjadi hujah masyhur di kalangan pihak yang menolak poligami.
Marilah kita mengkaji peristiwa ini secara lebih mendalam.
Langkah pertama ialah dengan merujuk kepada hadis tersebut secara keseluruhan. Pengajaran penting terdapat di penghujung hadis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.
[Shahih al-Bukhari, no: 2879]
Sayang sekali penghujung hadis ini kerap kali disembunyikan oleh pihak yang menolak poligami.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram.
Ini menunjukkan bahawa apabila baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah, ia bukan kerana mengharamkan sesuatu yang halal. Dalam erti kata lain, ia bukan untuk mengubah hukum poligami, bahkan tiada kaitan dengan poligami.
Akan tetapi sebab baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah ialah kerana: Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.
Ringkasnya, faktor larangan ialah kerana berkumpulnya puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah dalam satu tempat.
Faktor larangan bukan kerana poligami.
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya, fitnah yang ditakuti ialah pengaruh buruk yang mungkin dibawa oleh anak musuh Allah kepada agama Fathimah. Sekalipun puteri Abu Jahal telah memeluk Islam, kemungkinan besar baginda mengetahui apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ketika itu.
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku, kemarahan yang dimaksudkan ialah kemarahan Fathimah yang mengenangkan betapa zalim Abu Jahal kepada Rasulullah sejak saat awal dakwah Islam.
Sesiapa yang menyayangi ayahnya pasti akan memarahi orang yang pernah menzalimi ayahnya satu ketika yang lalu.
Oleh itu larangan ini adalah khusus untuk puteri-puteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:
Adapun yang nampak bagiku bahawa tidak terlalu jauh bila dikatakan ini termasuk kekhususan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk tidak memadukan anak-anak wanitanya. Mungkin juga yang demikian khusus bagi Fathimah ‘alaihissalam. [Fath al-Bari, jld. 25, ms. 773, syarah hadis no: 5230]
Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah menjelaskan:
Pada larangan baginda kepada Ali untuk tidak memadukan antara Fathimah radhiallahu ‘anha dengan puteri Abu Jahal, terdapat hikmah yang sangat mendalam iaitu seorang wanita mengikut darjat suaminya. Jika wanita itu sudah mempunyai darjat yang tinggi dan demikian pula suaminya, maka dia berada pada kedudukan yang tinggi kerana dirinya dan sekaligus kerana suaminya.
Beginilah keadaan Fathimah dan Ali radhiallahu ‘anhuma dan Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan menjadikan puteri Abu Jahal dan Fathimah berada pada darjat yang sama, tidak kerana faktor dirinya sendiri dan tidak pula kerana faktor orang lain, kerana ada perbezaan yang sangat jauh antara kedua-duanya.
Maka poligami Ali terhadap pimpinan kaum wanita di alam semesta tidak terpuji secara syari’at dan tidak pula secara taqdir. Baginda telah memberikan isyarat akan hal ini dengan sabdanya: “Demi Allah, puteri utusan Allah tidak boleh berkumpul dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.” [Zaad al-Ma’ad, jld. 6, ms. 139]
Ada yang mendakwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang Ali berpoligami kerana prihatin kepada perasaan cemburu Fathimah. Dikatakan juga Fathimah keseorangan sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menghiburkan dirinya dari perasaan cemburu tersebut.
Dakwaan ini tertolak dari beberapa sudut:
1. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berat sehingga Rasulullah perlu campur tangan.
2. Dalam hadis-hadis sahih sedia tercatat peristiwa kecemburuan di antara isteri-isteri Rasulullah. Namun baginda tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berpoligami. Andai benar Rasulullah campur tangan dalam kecemburuan puterinya tetapi membiarkan kecemburuan para isterinya, bererti baginda mengamalkan double standard yang tercela. Sudah tentu ini tidak benar ke atas baginda.
3. Fathimah tidak keseorangan. Beliau masih memiliki Allah, Rasulullah, Ali bin Abi Thalib, Hasan dan Husein.
Cemburu ialah reaksi seseorang apabila sesuatu yang memiliki kepentingan bagi dirinya disaingi atau dicabar. Reaksi tersebut boleh jadi perasaan yang benci dan marah, boleh juga diterjemahkan kepada perbuatan fizikal seperti memecahkan atau membaling barang.
Sementara Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha ialah seseorang yang dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: “Wahai Fathimah, mahukah kamu menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau sebaik-baiknya wanita umat ini?” [Shahih Muslim, no: 4487]
Setiap insan memiliki sifat cemburu. Namun mengatakan pemimpin para isteri dan sebaik-baik wanita umat ini memiliki sikap cemburu berlebih-lebihan yang menghalang suaminya dari berpoligami adalah satu tuduhan yang tidak benar.
Kontroversi poligami Ali bin Abi Thalib akhirnya dapat dirumuskan sebagai berikut:
1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarangnya kerana ia melibatkan puteri baginda dan puteri Abu Jahal. Puteri Rasulullah tidak boleh berhimpun dengan puteri musuh Allah.
2. Rasulullah juga melarang kerana bimbang puteri Abu Jahal membawa sesuatu pengaruh yang negatif ke atas agama Fathimah.
3. Rasulullah juga mengetahui kemarahan Fathimah kepada Abu Jahal, dan apa yang menyebabkan Fathimah marah akan menyebabkan baginda marah.
4. Larangan Rasulullah tiada kaitan dengan hukum halal-haram poligami.
5. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berlebih-lebihan dalam hal ini sehingga menjadi faktor penghalang untuk Ali bin Abi Thalib berpoligami.
Dipetik dari : 202 Pelajaran Tentang Poligami (oleh Hafiz Firdaus Abdullah)
No comments:
Post a Comment