19 February 2012

Bahrain, Iran dan politik GCC


Ketika dunia menyambut dan mengaitkan 14 Februari dengan "hari cinta," kedatangan tarikh ini di Bahrain telah berlalu dengan sangkaan dan kebimbangan tercetus keganasan. 

Setahun lalu, kempen pembangkang dan pelbagai kumpulan lain bermula pada 14 Februari, dan berlangsung selama sebulan sebelum dipatahkan dengan keras oleh pasukan keselamatan tempatan dan pasukan tentera Majlis Kerjasama Teluk, GCC, diketuai Arab Saudi yang memasuki Bahrain pada 14 Mac, 2011.

Dalam protes yang melanda dunia Arab, Bahrain menjadi salah satu medan persaingan kuasa-kuasa serantau mengukuhkan pengaruh, membentuk respons mereka terhadap kebangkitan yang tercetus.

Pelbagai isu, termasuk persaingan Syiah-Sunni dan pengaruh kuasa asing menjadi tajuk-tajuk besar dalam protes di Bahrain yang semakin kurang mendapat perhatian ekoran tumpuan yang dihalakan ke Syria pada masa ini.

Tajuk persaingan Syiah-Sunni (dan Wahhabi), menjadi satu topik yang menarik ramai pihak, dan membentuk respons pihak-pihak tertentu terhadap isu kebangkitan rakyat di dunia Arab.

Perhatian terhadap isu perbezaan mazhab mendapat perhatian yang lebih daripada yang sewajarnya, antaranya disebabkan nilai sensasi dan sensitiviti ramai terhadap isu ini.

Warga Syiah (daripada aliran dominan Imamiah 12 Imam) ialah majoriti hampir 70 peratus jumlah penduduk di Bahrain, dan tidak dapat dielakkan peranan besar mereka dalam sebarang aksi massa dan aktiviti politik.

Dominasi keluarga al-Khalifah dan politik GCC yang sentiasa bimbang terhadap elemen Syiah dan Iran menyebabkan isu Syiah dimainkan dan dikemukakan sebagai satu elemen ancaman.

Di wilayah yang aliran Wahhabi berpengaruh, elemen Syiah dilihat dengan sangat negatif dan mudah dikaitkan dengan kuasa asing Iran yang bukan sahaja Syiah tetapi juga bukan Arab.

Hakikatnya, pelbagai pihak lain turut menuntut peranan yang lebih dalam politik Bahrain, dan juga negara-negara monarki Arab di Teluk Parsi yang lain.

Penguasaan satu keluarga, dan satu kumpulan dalam keluarga tersebut seperti di Arab Saudi, mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai kumpulan lain.

Pertambahan ahli keluarga raja dan perkembangan politik semasa yang semakin terbuka semakin menguji kemampuan sistem sedia ada untuk mengekalkan penguasaan pihak dominan. 

Setakat ini, perubahan kelihatan boleh berlaku di Bahrain melalui reformasi politik yang akan menjadikan parti-parti politik lebih berfungsi berbanding pada masa kini.

Sejarah telah menunjukkan kesediaan pemerintah Bahrain berubah. Selepas Kuwait, Bahrain ialah negara Arab Teluk Parsi yang paling bebas dari segi politik, membuka ruang kepada pemain politik selain keluarga monarki untuk terlibat.

Perubahan ini, walau bagaimanapun setakat ini masih kelihatan bergantung kepada kekuatan kebangkitan rakyat, yang tuntutan warga Syiah menjadi satu elemen utamanya. 

Parti Al-Wefaq juga telah menunjukkan sikap pragmatik dan kesediaan bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berbeza, termasuk mendapatkan latihan daripada Institut Demokratik Nasional (NDI) dari Amerika Syarikat.

Warga Syiah di dunia Arab - termasuk Bahrain - juga menunjukkan sikap nasionalistik yang tidak memudahkan sebarang pengaruh asing menguasai, walaupun Bahrain yang dikuasai parti Syiah dijangka akan mengekalkan hubungan lebih rapat dengan Iran.

Peranan Iran tidak boleh dinafikan sepenuhnya, tetapi tidak wajar diberi perhatian berlebihan seperti dilakukan rejim serantau untuk kepentingan politik.

Syiah Kuwait (sebuah lagi negara Arab Teluk yang mempunyai warga Syiah yang aktif politik) sebagai contoh menunjukkan kesetiaan kepada pemerintah negara itu.

Kepimpinan dalam Parti Al-Wefaq juga tidak menampakkan agenda yang hampir dengan Iran, yang lebih diperlihatkan oleh gerakan Haq. Gerakan Haq juga terlibat dalam kempen lebih radikal menuntut penubuhan sebuah republik.

Pemimpin Haq, Hasan Mushaima menetap di Iran dan kembali selepas kebangkitan di Bahrain bermula, dan menunjukkan kecondongan kepada republik itu. 

Parti Al-Wefaq terlibat dalam sistem politik pilihan raya Bahrain dan telah menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan pemerintah monarki.

Kesediaan kompromi Wefaq inilah yang dijadikan sebab berlaku perpecahan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Haq yang lebih radikal.

Perkembangan sejak setahun lalu, terutama tekanan kuat pemerintah walau bagaimanapun telah mendorong Parti Al-Wefaq menjadi lebih kritikal.

Isu pangkalan tentera laut AS juga mendapat perhatian ekoran kaitannya dengan persaingan AS dan Iran.

Pangkalan tentera laut AS di Bahrain yang menjadi perhatian ekoran kebangkitan itu juga tidak dapat dijangka akan berakhir sekiranya Syiah menguasai Bahrain, kerana pragmatisme yang dijangka menjadi faktor.

Kepentingan politik serantau menjadi faktor yang menyukarkan sebarang perubahan di Bahrain, kerana perubahan akan memberi tekanan kepada negara serantau lain.

Ekoran protes di Bahrain, sentimen yang sama kelihatan merebak ke timur Arab Saudi sehingga mencetuskan respons keras pihak berkuasa.

Menurut laporan media, dua orang terbunuh dalam protes terbaharu di Qatif, salah satu kawasan didiami ramai warga Syiah di timur Arab Saudi.   

Faktor Syiah tetap menjadi elemen utama dalam tuntutan rakyat di Bahrain, sesuatu yang tidak dapat dinafikan disebabkan kedudukan majoriti mereka yang tidak sepadan dengan penglibatan dalam politik.

Walaupun pemerintah al-Khalifah telah menunjukkan kesediaan berubah, perubahan yang lebih luas untuk memberikan perwakilan yang sepadan kepada rakyat negara itu masih perlu dilaksanakan.

Perkembangan selepas ini, termasuk kemungkinan protes baharu rakyat Bahrain dan proses rundingan selepas itu, akan menyediakan lagi peluang dan cabaran terhadap perubahan di negara kecil GCC itu.

Bahrain, antara negara terawal menyaksikan rakyat menuntut hak demokratik tidak mendapat layanan sewajarnya daripada negara serantau dan juga dunia Islam, tidak seperti halnya Libya dan Syria yang diperjuangkan negara serantau seperti Qatar dan Arab Saudi.

Perkembangan sejak setahun lalu telah membuktikan bagaimana persaingan kuasa serantau dan global memberi kesan kepada kebangkitan rakyat di dunia Arab.

Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...