Marhaban bikum...

18 August 2016

Keadaan Masyarakat Melayu Sebelum & Selepas Merdeka



Saya sempat berada di dalam 4 kerajaan, dua kali kerajaan British, sekali pemerintahan Jepun, sekali kerajaan Malaysia yang merdeka. Semasa penjajahan, terutama penjajahan Jepun di antara kesusahan dan penderitaan secara umum akan diceritakan sebagai pengetahuan.

Sebelum merdeka, orang hidup miskin dan papa. Kemudahan kehidupan seperti alat-alat perhubungan, jalan raya, tempat tinggal dan pakaian amat susah.

Berbagai-bagai penyakit tidak ada orang yang tidak diserangnya, ubat-ubatan sangat terbatas, hanya ubat tradisi sahaja. Harimau mengganas, kerbau, lembu, kambing jadi sasaran bahamannya.

Tempat belajar sangat terbatas terutama di zaman Jepun, kerana itulah cerdik pandai Melayu terlalu kurang. Merata-rata di kalangan orang Melayu buta huruf terutama kaum ibu. Rata-rata orang Melayu mundur pekerjaan pula sangat terbatas. Ramai yang bekerja sendiri.

Di kalangan orang Melayu hanya berjawatan polis, askar, cikgu, peringkat kerani hanya bilangan jari, pendapatan rakyat tidak menentu. Untuk menziarahi keluarga sejauh 20 dan 30 batu jarang berlaku, terasa sangat jauhnya. Kalau lebih jauh dari itu, terputus terus tidak tahu ke mana hendak dicari sampai mati.

Kemajuan boleh dikatakan tidak ada, yang ada pembangunan hanya ala kadar sahaja. Pembangunan sangat terbatas sekali, hanya di bandar-bandar sahaja. Bangunan yang paling tinggi di waktu itu hanya 7 tingkat.

Hutan merata-rata tempat kerana belum diserang oleh pembangunan dan kemajuan. Jalan raya amat daif, perjalanan di antara satu tempat ke satu tempat terasa amat jauhnya. Tapi di celah-celah kesusahan dan kepayahan itu ada yang indahnya.

Kasih sayang masih berbunga, ia berbuah sekalipun tidak lebat, lebih-lebih lagi sesama keluarga. Bekerjasama tanpa digesa sangat ketara sebagai contoh yang ia jadi budaya. Membuat rumah bergotong-royong bersama, membuat bendang berderau sesama sekampung.

Kalau kenduri-kendara, kenduri bersama, masing-masing membawa bahan mentahnya untuk dimasak dan makan bersama. Di musim buah, buah-buahan di kebun siapa pun boleh diambil bersama. Siapa yang mengambilnya sekalipun tidak ada keizinan tuannya, tidak dianggap mencuri.

Siapa yang menangkap ikan dapat lebih, diagih-agihkan sekampung. Perempuan-perempuan muda terutama anak dara dijaga bersama, tidak ada yang berani menodainya. Kalau berlaku sekali-sekala insiden, riuh-rendah sekampung, yang melakukannya sangat malu, adakalanya berpindah dari kampung.

Jarang mendengar kecurian, rompak, samun, pergaduhan, apatah lagi pembunuhan. Berzina, sumbang muhram, buang anak, rogol hampir tidak kedengaran. Perceraian susah berlaku dan jarang terjadi.

Anak-anak masih menghormati ibu bapanya, murid-murid masih kasih dengan guru-gurunya apatah lagi guru agama dan ulama' sangat dihormati. Guru-guru agama dan ulama' tempat rujuk orang kampung hingga hendak nikah kahwin pun bertanya tuk guru.

Ziarah-menziarahi masih jadi budaya terutama sesama keluarga. Mencari jodoh adalah urusan orang tua bukan urusan peribadi, kekal sampai mati.

Orang miskin tidak terbiar, ada sahaja orang yang memberi dan orang-orang tua atau pemimpin dihormati dan dimuliakan, orang segan dengan mereka. Krisis di antara puak terlalu sedikit kerana politik tidak terjadi.




SETELAH MERDEKA APA SUDAH TERJADI?

Setelah merdeka memang tidak dapat dinafi banyak perkara positif terjadi. Semua orang terasa hal itu, tidak boleh dinafikan. Ramai orang Melayu yang pandai dan berjawatan tinggi, buta huruf sudah tidak ada lagi.

Kemajuan dan pembangunan merata negara dan negeri, kemewahan di kalangan orang Melayu sudah wujud agak merata.

Ramai di kalangan orang Melayu menjadi jutawan segera, sementara itu kemiskinan semakin berkurangan.

Tetapi yang malangnya dan sangat menyedihkan, budaya lama yang positif bahkan yang diperlukan setiap masa hilang begitu sahaja tidak dipertahankan. Lahir pula perkara positif yang baru menggantikan perkara positif yang lama yang sangat disayangkan.

Kemajuan pesat berlaku tapi budi bahasa yang indah layu hilang ditiup bayu. Orang Melayu sudah pandai-pandai, yang berjawatan tinggi sudah ramai, hidup nafsu-nafsi pula jadi budaya.

Gotong-royong, bekerjasama, rasa bersama hilang, kecuali digesa-gesa dan terpaksa atau pura-pura. Hidup agak selesa, alat perhubungan mudah, tapi ziarah-menziarahi kurang sekali, kalau ada terpaksa aja.

Selepas merdeka, orang Melayu boleh melancong seluruh dunia, tetapi tidak pula membawa identiti Islam Melayu. Di waktu itu orang Melayu sudah berfikiran terbuka, maka terbuka pula krisis merata.

Orang Melayu terima demokrasi, boleh memilih pemimpin sendiri tapi perbalahan, perpecahan menjadi-jadi. Wujud sekolah di mana-mana, belajar mudah tapi kasih sayang pecah, ibu bapa, guru-guru tidak dihormati lagi.

Peluang pekerjaan terbuka luas, tapi jenayah merata-rata terjadi, perkelahian, pergaduhan, pembunuhan, zina, rogol, sumbang muhram menjadi berita akhbar setiap hari. Mudah pergi ke mana-mana, tapi ketakutan juga berlaku di mana-mana.

Dahulu masjid tempat ibadah, lambang perpaduan, sekarang tempat berbalah dan berpecah-belah.

Sepatutnya orang Melayu, rakyat atau pemimpin setelah merdeka bebas menambah perkara-perkara yang positif di atas perkara positif yang sudah ada tetapi mengapa melahirkan perkara positif yang baru, korbankan pula perkara positif yang lama.

Padahal yang lama sangat diperlukan, yang baru juga perlu. Seolah-olah orang Melayu terpaksa membuat pilihan di antara dua. Kalau hendakkan perkara yang baru yang sangat berguna, terpaksa korbankan perkara yang lama yang juga berguna.


MENGAPA IA TERJADI BEGITU?

Di mana salah silapnya? Apa yang tidak kena? Mengapa buat yang baik, korbankan yang baik? Mengapa buat perkara yang perlu, korbankan pula yang perlu?

Sepatutnya, yang lama dan yang baik perlu pertahankan, tambah lagi dengan yang baru dan yang perlu. Begitulah satu bangsa yang hendak menjadi satu bangsa yang baik dan maju. Satu bangsa yang boleh berdiri sendiri yang dihormati oleh dunia.
Kita akui yang baru banyak yang baik, tetapi mengapa yang lama yang baik itu diganti dengan yang negatif atau yang tidak baik?

Itu tentulah salah sistem, atau pemimpin tidak pandai menilai dan tidak pandai mendidik rakyat. Bukan senang yang lama yang baik itu hendak dikembalikan semula!

Dan juga tidak semudahnya yang baru dan yang negatif itu hendak ditumpaskan pula. Kalau bukan Tuhan campur tangan dengan cara didatangkan pemimpin yang Dia tunjuk, mungkin seratus tahun lagi tidak akan selesai.

Marilah kita berdoa dan berusaha agar pemimpin yang Tuhan tunjuk itu datang segera, semoga yang lama dapat dihidupkan semula, yang baru dikekalkan juga, di samping dimantapkan lagi iman dan taqwa. Maka lahirlah negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan, itulah cita-cita kita.

Kredit artikel:
Areyeam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...