Marhaban bikum...

05 November 2014

Saat-saat Kematian Nabi Muhammad yang Sahih

Rasulullah s.a.w kekasih Allah wafat ditangisi oleh makhluk seluruh alam. Namun apa yang selama ini telah dikisahkan kepada kita yakni kisah wafatnya Nabi dengan menyebut kalimah “Ummati, ummati, ummati” yang membawa maksud “Umatku, umatku, umatku” adalah jelas suatu pembohongan dan rekaan cerita dari mereka yang tidak bertanggungjawab dan sekaligus menyebarkan ia menjadikan kita semua menjadikan ia suatu kata-kata yang sahih. Mari baca kisah sebenar kewafatan baginda Rasulullah s.a.w..

Kisahnya bermula…

“Kepalaku!” kata Aisyah.

Baginda Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi. Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut. Baginda menyedarinya.

“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda s.a.w.

Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega. Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga. Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.

“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.

“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk. Nabi s.a.w ketawa. Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.

SAKIT YANG BERTAMBAH

Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang. Kesakitan itu memuncak semasa Nabi s.a.w memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah r.a. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!

“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda s.a.w bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ‘sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri. Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.

Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah. Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.

“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah s.a.w meminta izin daripada para isterinya.

Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?

HARI-HARI TERAKHIR

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah r.a: Tatkala Baginda s.a.w gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda s.a.w, Fatimah r.a datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah s.a.w.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda s.a.w dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah. Anakanda itu menangis. Kemudian Baginda s.a.w membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya. Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah r.a bertanya, “Apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah s.a.w!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda s.a.w, Aisyah r.a mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w dahulu?”

Kata Fatimah, “Ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya! Baginda s.a.w berbisik kepadaku dengan berkata: Sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan Al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru, bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!”

Aku menangis…

“Kemudian Baginda s.a.w berbisik lagi kepadaku dengan berkata: Apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!, aku ketawa”, sambung Fatimah.

Sesungguhnya Fatimah r.a benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda s.a.w. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah, Rasulullah s.a.w!

DETIK SEMAKIN HAMPIR

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan. Senyuman yang dilemparkan Baginda s.a.w kepada Abu Bakar dan sahabat semasa mereka mengerjakan solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda s.a.w semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda s.a.w masih tidak berhenti menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah r.a meneruskan catatannya: Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mendepani kematian Baginda. Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda s.a.w semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah s.a.w berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda s.a.w telah menyempurnakan pilihannya itu. Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah s.a.w rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda s.a.w berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda s.a.w bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakar dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda s.a.w merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda s.a.w mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh. Air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah s.a.w di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda s.a.w mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda s.a.w mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! (Allahumma Rafiqul A’laa)”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana. Leher Baginda s.a.w terkulai di dada Aisyah. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]

Kita pernah dengar kan ayat terakhir nabi sebelum meninggal nabi menyebut Ummati, Ummati, Ummati kan?? sebenarnya itu hadis yang lemah,,Hadis yang sahih seperti riwayat Aisyah, isteri nabi, sebab nabi meninggal di pangkuan Aisyah, bermaksud Aisyah yang paling dekat dengan nabi..hadis yang sahih adalah spt di bawah


Berkata Aisyah r.a: Adalah akhir kalimah yang diucapkan oleh Nabi s.a.w ialah “Allahumma Rafiqul A’laa” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)Hadith2 Tentang Kewafatan Rasulullah SAW

Hadis-Hadis berkaitan saat kewafatan Nabi

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1574.
Dari Aisyah r.a., katanya: Di antara nikmat Allah kepada saya, Rasulullah s.a:w. wafat di rumah saya, di hari giliran saya, antara dada dan leher saya (bersandar kepadanya). Dan Tuhan mempercampurkan air liur saya dengan air liur beliau kerana sugi waktu beliau akan wafat. Abdur Rahman datang ke rumah saya, di tangannya ada sugi (pembersih gigi) sedang Rasulullah s.a.w. bersandar kepada saya. Saya lihat beliau memandang kepadanya. Saya ketahui bahawa beliau ingin bersugi. Saya tanyakan: "Akan saya pakaikan sugi itu untuk tuan?" Lalu beliau isyaratkan dengan kepala beliau (mengatakan setuju). Lalu saya berikan kepada beliau dan terasa keras oleh beliau. Lalu saya berkata: "Akan saya lunakkankah untuk tuan?" Beliau isyaratkan dengan kepala (tanda setuju). Lalu saya lunakkan dengan gigi. Dan di hadapan beliau ada bejana kecil atau bejana besar yang berisi air. Lalu beliau masukkan kedua tangan beliau ke dalam air itu dan beliau sapukan ke muka beliau sambil bersabda: "Tiada Tuhan selain Allah! Sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratul maut". Lalu beliau mengangkat tangannya sambil mengucapkan: "Teman Yang Maha Tinggi". Lalu beliau wafat dan rebahlah tangan beliau.

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 2. Hadis Nombor 1232.
Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah, mewartakan kepada kami Abu Mu'awiyah dan Waki', dari Al-A'masy. Mewartakan kepada kami 'Ali bin Muhammad, mewartakan kepada kami Waki', dari Al-A'masy, dari Ibrahim, dari Al-Aswad, dari 'Aisyah, dia berkata: Ketika Rasulullah SAW. sakit, dengan sakitnya itu, beliau wafat. (Abu Mu'awiyah berkata: Ketika Nabi SAW. berat sakitnya). Bilal datang memberi khabar solat kepadanya. Nabi berkata: "Perintahkan olehmu sekalian kepada Abu Bakar, maka hendakah dia mengimami solat bersama orang-orang (para sahabat). Kami berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu orangnya cepat menangis -sentimental--." 'Aisyah bermaksud: Abu Bakar itu halus hatinya. Ketika dia menempati berdiri di tempatmu, dia menangis, tidak mampu -menjadi imam-. Kalau engkau memerintahkan 'Umar, maka dia akan mengimami solat bersama orang-orang. Nabi berkata: "Perintahkan olehmu sekalian kepada Abu Bakar, maka hendaklah dia mengimami solat bersama orang-orang. Sebab kamu sekalian ini bagai perempuan teman-teman Yusuf saja." 'Aisyah berkata: "Kemudian kami mengirimkan -utusan- kepada Abu Bakar, kemudian Abu Bakar mengimami solat bersama orangorang. Lalu Rasulullah SAW. mendapati dirinya terasa ringan sakitnya. Lalu dia keluar menuju solat, dipapah oleh dua orang lelaki. Sedang kedua kaki beliau nyeret ke tanah/bumi. Maka ketika Abu Bakar merasa ada Nabi, dia mundur -belakang- lalu Nabi SAW. memberi isyarat kepadanya: "Tetaplah di tempatmu." Selanjutnya kata perawi: Kemudian Nabi SAW datang, sehingga dua orang pemapah mendudukan beliau di samping -di dekat- Abu Bakar. Sementara Abu Bakar mengikut Nabi SAW. dan orang-orang (Sahabat) mengikuti Abu Bakar -mengerjakan solat.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0386.
Diceritakan oleh Anas bin Malik Al Anshari r.a., yang biasa mengikuti, melayani dan menemani Rasulullah saw. dan yang menyukakannya, katanya: "Abu Bakar menjadi imam solat bagi kami ketika Nabi saw. sakit menjelang akhir hayat beliau. Maka pada suatu hari, hari Isnin, mereka telah berbaris hendak solat. Tiba-tiba Nabi saw., menyingkapkan tabir biliknya melihat kepada kami. Beliau berdiri dengan wajah seputih kertas (berkilauan), senyum dan tertawa. Sehingga kami hampir saja tertipu kerana kegirangan melihat Nabi saw. (telah sembuh). Abu Bakar mundur ke belakang untuk masuk ke dalam saf, kerana dia mengira bahawa Nabi saw. akan datang solat. Tetapi Nabi saw. memberi isyarat kepada kami supaya kami menyempurnakan solat kami, dan setelah itu beliau lepaskan tabir. Ternyata beliau wafat pada hari itu juga.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1979.
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Di waktu Nabi saw. hampir wafat, sedang dalam rumah ketika itu ada beberapa orang, di antaranya Umar bin Khattab, Nabi berkata: "Mari ku tuliskan untuk kamu suatu kitab yang kamu tidak akan sesat sesudah itu." Umar berkata: "Sesungguhnya Nabi saw. sedang keras sakitnya dan kamu ada mempunyai Quran. Maka cukuplah untuk kita Kitab Allah itu. "Orang-orang yang dalam rumah itu bertikai pendapat dan berselisih, kerana diantara mereka ada yang mengatakan supaya Rasulullah saw. didekati untuk menuliskan suatu Kitab yang kita tidak akan sesat sesudah itu. Yang lain mengatakan serupa yang dikatakan Umar. Setelah itu jadi hiruk pikuk dan perselisihan pendapat dekat Nabi, beliau berkata: "Pergilah kamu dari sini!"

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3697.
Bisyr bin Hilal Ash Shawwaf AI-Bashri menceritakan kepada kami, Ja'far bin Sulaiman Adh Dhuba'i menceritakan kepada kami dari Tsabit dari Anas bin Malik berkata: "Pada hari dimana Rasulullah SAW memasuki kota Madinah, maka segala sesuatu di Madinah bersinar dan pada hari dimana Rasulullah SAW wafat, maka segala sesuatu di Madinah gelap dan kami tidak menghilangkan debu yang ada pada tangan-tangan dari Rasulullah SAW dan kami sungguh sibuk mengebumikan Beliau sehingga hati kami tidak percaya."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1629.

Dari Ummi Salamah katanya: "Demi Tuhan yang memegang jiwaku, ketika mendekati saat wafatnya, Rasulullah sering melakukan solat sunat sambil duduk. Dan amalan yang paling disenangi oleh beliau adalah yang dilakukannya secara istiqamah, walaupun hanya sedikit."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1573.
Dari Aisyah r.a.: Saya mendengarkan sabda Nabi s.a.w. dengan penuh perhatian sebelum beliau wafat, sedang beliau menyandarkan punggungnya kepada saya. Beliau mendoa: "Wahai Tuhan! Ampunilah saya! Kasihanilah saya dan hubungkan saya dengan teman yang maha tinggi".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1867.
Dari Aisyah katanya: "Ketika Rasulullah saw wafat, maka beliau dikafani dengan tiga helai kain putih yang dibuat di desa Suhuliyah tanpa di beri qamish mahupun serban."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 3. Hadis Nombor 3481.
Dari Al Aswad dari Aisyah ra. berkata: "Ketika Rasulullah saw sakit keras, beliau meminta sebuah bejana padaku untuk tempat kencingnya. Dan ketika beliau wafat, tiada seorangpun di sampingnya kecuali aku."

Diwartakan kepada kami 'Ali bin Muhammad, mewartakan kepada kami Abu Mu'awiyah, dari 'Abdur-Rahman bin Abu Bakar, dari Ibnu Abi Mulaikah, dari 'Aisyah, dia berkata: Ketika Rasulullah SAW. meninggal dunia, sementara Abu Bakar di tempat istrinya, yaitu putri Kharijah, di 'Awaliy. Mereka berkata: "Nabi SAW. belum mati. Hanya saja dia dalam keadaan suatu kondisi mendapatkan wahyu". Kemudian datang Abu Bakar, lalu dia membuka tutup dari wajah beliau, dan mencium di antara kedua mata beliau, dan berkata: "Engkau adalah lebih mulia bag! Allah, kalau Dia mematikanmu dua kali. Sungguh, demi Allah, Rasulullah SAW. telah meninggal dunia". Sedangkan 'Umar berada di sudut masjid, mengatakan: "Rasulullah SAW. tidak mati, dan dia tidak akan mati, sehingga memotong tangan orang-orang munafik, banyak sekali, dan kaki-kaki mereka". Kemudian Abu Bakar berdiri, naik mimbar, berkata: "Barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup, tidak akan mati. Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad sudah mati. Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat ataukah dibunuh, kamu sekalian membalikkan tumitmu -yakni murtad"? Barangsiapa yang membalikkan tumitmu "yakni murtad", maka ia tidak dapat mendatangkan madharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan membalas -kebajikan- kepada orang-orang yang bersyukur". 'Umar berkata: "Maka sungguh sepertinya aku ini tidak pernah membaca ayat tersebut (QS. 3:144) kecuali pada kali ini"

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1811.
Kata Abu Salamah, bahawasanya Aisyah pernah memberitahu padanya: "Ketika mendengar berita wafatnya Nabi saw, maka Abu Bakar datang dari rumahnya di Sunuh dengan berkenderaan kuda. Sesampainya di pintu masjid, maka dia turun dan dia segera masuk ke rumah Aisyah tanpa bercakap-cakap dengan seorangpun yang ada di masjid. Di rumah Aisyah dia dapatkan Rasulullah saw telah ditutupi dengan sehelai kain selimut. Setelah dibuka dibahagian wajahnya, maka Abu Bakar, menurunkan kepalanya dan mencium kening Nabi saw seraya menangis. Kata Abu Bakar: "Demi ayahku, setelah ini Allah tidak akan menjadikan kematian lagi bagimu wahai Rasulullah".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1544.
Dari Aisyah r.a., katanya: Fatimah datang berjalan kaki, seolah-olah perjalanannya sama dengan perjalanan Nabi s.a.w. Beliau bersabda: "Selamat datang, wahai anakku!" Kemudian beliau suruh duduk di kanan atau di kiri beliau. Lalu beliau bisikkan suatu berita kepadanya. Lantas Fatimah menangis. Saya bertanya kepadanya: "Mengapa engkau menangis?" Kemudian beliau membisikkan lagi suatu berita kepadanya. Lalu Fatimah tertawa. Saya berkata: Belum pernah saya melihat seperti kejadian di hari ini, suka yang mendampingi duka. Saya bertanya kepadanya mengenai apa yang dibisikkan Rasulullah kepadanya. Jawab Fatimah: "Saya tiada akan membukakan rahsia (bisik) Rasulullah s.a.w." Setelah Nabi s.a.w. wafat, saya ulang menanyakan. Jawabnya: Beliau membisikkan kepada saya: Bahawa malaikat Jibril datang mengajarkan Quran selengkapnya pada saya sekali setahun. Dan dia datang kepada saya tahun ini dua kali. Saya mengira ajal saya telah dekat. Engkau di antara keluarga saya yang pertama mengikuti saya. Lantas saya (Fatimah) menangis. Beliau bersabda: "Apakah engkau tidak suka jadi ketua wanita-wanita yang mendiami syurga atau ketua wanita mukmin?" Lalu saya (Fatimah) tertawa kerananya.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1375.
Dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: "Hari Khamis! Apakah hari Khamis itu?" Kemudian ia menangis sehingga air matanya membasahi pasir. Katanya: "Rasulullah s.a.w. sakit keras pada hari Khamis, beliau lalu bersabda: "Bawalah kemari sebuah buku! Saya suruh tuliskan untuk kamu sesuatu yang kamu tiada akan tersesat sesudah itu selamanya". Mereka lalu berselisih, sedangkan berselisih itu tidak patut dekat Nabi. Mereka berkata: "Rasulullah s.a.w. akan pulang". Beliau bersabda: "Biarkanlah saya! Keadaan saya sekarang lebih baik daripada apa yang kamu katakan". Beliau berwasiat ketika beliau akan wafat dengan tiga perkataan: Pertama: Keluarkanlah orang musyrik dari Jazirah Arab, kedua: sambutlah perutusan sebagaimana saya pernah menyambut mereka, dan yang ketiga: saya (lbnu Abbas) lupa".

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0986.
l Hasan bin Al Shabah Al Bazzar menceritakan kepada kami, Mubasyir bin Ismail Al Halabi memberitahukan kepada kami dari Abdur Rahman bin Al Alaa' dari ayahnya dari ibnu umar dari aisyah, ia berkata. "saya tidak iri pada seseorang dengan mudahnya mati, sesudah saya melihat beratnya wafat Rasulullah saw. "Rawi berkata: Saya bertanya kepada Abu Zur'ah tentang hadis ini, saya tanyakan siapa itu Abdur Rahman bin Al Alaa'? Dia menjawab: Abdur Rahman adalah anak laki-laki Al Alaa' bin Al Lajlaj dan saya mengetahui dari arah ini

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1347.
Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya diutus membawa perkataan yang cukup ringkas. Saya ditolong beroleh kemenangan dengan perasaan takut di hati musuh. Pada suatu malam ketika saya sedang tidur, saya bermimpi diberi anak kunci perbendaharaan bumi (negeri-negeri), lalu diletakkan di tanganku". Kata Abu Hurairah: "Rasulullah s.a.w. telah pergi (wafat), dan kamulah yang akan menggali isi perbendaharaannya."

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 2697.
Mewartakan kepada kami Ahmad bin Al-Miqdam; mewartakan kepada kami Al-Mu'tamir bin Sulaiman; aku mendengar ayahku mewartakan hadis dari Qatadah, dari Anas bin Malik dia berkata: "Adalah kebanyakan washiyat Rasulullah saw. ketika menjelang wafatnya, beliau berdesah diri: "(Jagalah) solat, dan budak-budak yang kalian miliki". Dalam Az-Zawa-id: Isnadnya hasan, kerana kekurangan Ahmad bin Al- Miqdam dari derajat Ahlu-dhabit. (kuat, cermat, betul) sanad selebihnya sesuai dengan Persyaratan Bukhari-Muslim

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1814.
Dari Anas katanya: "Ketika Rasulullah saw wafat, maka Siti Fatimah menangisi beliau seraya berkata: "Wahai ayahku, alangkah dekatnya engkau di sisi Tuhanmu, wahai ayahku, hanya kepada Jibril akan kami sampaikan rasa susah hati kami, wahai ayahku, sungguh tiada tempat yang pantas engkau diami setelah ini selain syurga Al-Firdaus".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1628.
Dari Ummi Salamah katanya: "Ketika mendekati saat wafatnya, Rasulullah saw sering melakukan solat sunat sambil duduk. Dan amalan yang paling disenangi oleh beliau adalah yang dikerjakannya secara istiqamah, walaupun amalan itu hanya sedikit."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1801.
Dari Anas katanya: "Pandangan terakhir yang aku lihat pada Rasulullah saw adalah ketika beliau membuka kain langsirnya sedangkan ketika itu para sahabat sedang berdiri dalam saf-saf mereka masing-masing dibelakang Abu Bakar. Ketika Abu Bakar hendak undur ke belakang, maka Rasulullah saw menyuruh mereka untuk tetap melaksanakan solatnya dan beliau segera menutup kain langsirnya. Dan pada akhir hari itu - hari Isnin - beliauwafat."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...