12 May 2013

Fiqhul Akbar Imam Syafie

AKIDAH AHLI SUNNAH IMAM SYAFI’I


Akidah Ahli Sunnah Imam Syafi’i Sebagaimana Di Dalam “Al-Fiqhul-Akbar”nya


Ini adalah bahagian awal terjemahan kitab “Fiqh Akbar” karangan Imam Syafi’i yang diusahakan oleh Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady. Blog ini akan menyiarkan bahagian-bahagian terjemahan secara berperingkat. InshaAllah, ianya nanti akan diterbitkan sebagai sebuah buku yang boleh sama-sama kita manfaatkan.


Pandangan Imam Syafi’i berkenaan dengan Akidah Ahlissunnah wal-Jamaah boleh diperhatikan sebagaimana yang ada dalam al-Fiqhu’l-Akbarnya. Terjemahan Al-Fiqhu’l-Akbar Imam Syafi’i diperturunkan di bawah ini.


Mula-mulanya penterjemah ingin menyatakan bahawa kitab al-Fiqhul Akbarnya itu berdasarkan kepada teks yang diterbitkan oleh al-Matba’ah al-‘Amirah al-Syarqiyyah, Kaherah, 1324H, yang diterbitkan bersekali dengan teks ‘al-Fiqhul-Akbar’ oleh Imam Abu Hanifah rd. Teks Imam Syafi’i adalah dari muka surat 10-38.


Teks ini isi kandungannya sama dengan isi kandungan ‘al-Fiqh al-Akbar’ sebagaimana yang ada dalam kitab al-Kaukab al-Azhar’ Sharh al-Fiqh al-Akbarkarangan almarhum Dr. Shaikh Muhammad bin Yasin bin ‘Abdullah bekas mufti Mausil, terbitan al-Maktabah al-Tijariyyah, Makkah al-Mukarramah, Mustafa Ahmad al-Bazz, dari halaman 7 – yang selesai penulisannya pada tahun 1405/1985.[1]


Berkenaan dengan maklumat tentang manuskrip-manuskrip dan naskhah yang menjadi asas kepada teks ini ialah seperti berikut:


Shaykh Yasin menyebut edisi terbitan Kaherah tahun 1900; naskhah tulisan tangan yang ditulis oleh Muhammad bin ’Abdullah bin Ahmad al-Rawi; naskhah yang ditulis oleh Shihab bin Ahmad bin Muslih al-Basri tahun 986; naskhah yang ditulis oleh Ahmad bin Shaykh Darwish al-Khatib di Jami’ Shaykh Ma’ruf al-Karkhi Baghdad, dan disebutkan oleh Shaykh Yasin bahawa kitab ini disebut dalam ‘Tarikh al-Adab al-’Arabi’ ditulis oleh al-‘Allamah al-Shafi’i, dicetak, Carl Brockelmann, jilid 1 halaman 178-180 dinisbah kepada Imam Syafi’e dan edisi Syeikh Yasin ini adalah selepas diusahakannya dengan melihat teks-teks itu. (dalam ‘al-Kaukab al-Azhar’, hal.6).


Dalam sebuah edisi baharu kitab ‘al-Risalah’ oleh Imam Syafi’e, pada bahagian pendahuluan oleh penyelenggara edisi itu, iaitu oleh Dr ’Abd al-Latif al-Hamim dan Dr Mahir Yasin al-Fahl, halaman 41 disebutkan bahawa ‘al-Fiqh al-Akbar’ adalah antara kitab-kitab Imam utama ini. (edisi al-Risalah Imam Shafi’i, bahagian pendahuluan pentahkik, terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, 1426/2005).


Terjemahannya adalah seperti berikut, berdasarkan teks Kaherah tahun 1324 yang isinya sama dengan teks Shaykh Yasin tersebut, dengan sedikit-sedikit perbezaan.


Bilangan-bilangan di awal perenggan diberikan oleh penterjemah untuk menyenangkan rujukan kepada isinya. Demikian juga kepala-kepala tajuk, yang tidak ada pada naskhah asalnya, diberikan oleh penterjemah.


[1] Sebutan tentang ‘al-Fiqh al-Akbar’, dalam Geschichte Der Arabischen Litteratur, by C. Brockelmann, Supplemant Band, Leiden, Brill, 1937, vol.1 p.305 menyebut Fiqh Akbar. Sebutan tentang edisi Kaherah 1324.



FIQH AKBAR – MUQADDIMAH

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah Tuhan sekalian alam, dan salawat dan salam dariNya untuk penghulu kita Muhammad dan ahli keluarganya.[1]

Kata al-Sayyid al-Imam Abu ’Abdi’Llah Muhammad bin Idris al-Syafi’i radiya’Llahu ‘anhu.[2]

1 ) Ini tulisan (kitab) yang kami sebutkan di dalamnya zahir beberapa masalah berkenaan dengan usul-al-din yang wajib dan tidak boleh tidak mesti diketahui oleh mukallaf supaya berpegang kepadanya, dan kami namakannya al-Fiqhul-Akbar[3]. Dan kami bentangkannya tidak secara lanjut kerana hendak menghampirkan pemahaman tentangnya kepada pelajar peringkat permulaan. Dan Allah yang memberi taufiq.

2 ) Ketahuilah bahawa – moga-moga Allah membahagiakan anda- sesungguhnya tiap-tiap orang mukallaf diwajibkan mengenal Allah taala (ma’rifah Allah taala), dan erti ma’rifah itu ialah mengetahui yang dimaklumi itu mengikut apa yang sebenarnya (ma’rifatul-ma’lum ’ala ma huwa ’alaihi (معرفة المعلوم على ما هو عليه)) dengan secara tidak tersembunyi atasnya sesuatu daripada sifat-sifat perkara yang dimaklumi itu; [itu erti ma’rifat]. Adapun erti berat sangka atau zan dan taqlid [mengikut tanpa mengetahui dalilnya] itu ialah tidak menghasilkan ilmu dan ma’rifat, kerana erti zan atau berat sangka ialah membolehkan dua perkara [sama ada ya atau tidak] (tajwiz al-amrain) dan yang satu daripada yang dua itu lebih zahir [daripada yang satu lagi itu][4], dan makna taqlid pula ialah menerima pendapat orang yang tidak diketahui [akan dalilnya] apa yang dikatakannya dan dari mana katanya itu [apa dalilnya itu];yang demikian itu tidak menjadi ilmu, dalilnya ialah firman Allah taala:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ

‘Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah’[5];
maka itu perintah [menyuruh mencapai] ma’rifat, bukan perintah [menyuruh supaya berpada dengan tahu mengikut] berat sangkat [semata] dan taqlid [sahaja][6].

[1] Berdasarkan teks yang diterbitkan oleh al-Matba’ah al-‘Amirah al-Syarqiyyah, Kaherah, 1324, yang diterbitkan bersekali dengan teks ‘l-Fiqhul-Akbar oleh Imam Abu Hanifah rd. Teks Imam Syafi’i adalah dari muka surat 10-38. Ini juga teksnya yang disebutkan oleh artikel dalam EI.hal.253 (yakni Encyclopedia of Islam, terbitan E.J. Brill, 1987 (Leiden-N.York-Kobenhavn-Kolm), hal.253). Dalam Brockelmann, GAL, SupplemantBand I, hal.305 disebutkan teks Kaherah juga. Isi kandungan teks ini didapati sama dengan isi kandungan teks dalam al-Kaukab al-Azhar Sharah al-Fiqh al-Akbar, syarah oleh Dr Syeikh Yasin bekas mufti Mausil, Irak, hal. 7-35. Yang kemudiannya ialah syarahnya oleh Syeikh tersebut dari halaman 36-152. Beliau habis menyelesaikan syarahnya pada 2 Sya’ban 1405 Hijrah/ 23 1985 April 1985.

[2] Bilangan perenggan-perenggan diberikan oleh penterjemah supaya senang dirujuk untuk perbandingan kemudiannya.

[3] ‘Al-Fiqhul-Akbar’ atau ‘Fiqh Besar’ berkenaan dengan usul al-din atau dasar-dasar atau pokok-pokok pembicaraan agama, berbeza daripada ‘al-Fiqhul-Asghar’ atau ‘Fiqh Kecil’ yang membicarakan hukum-hukum cawangan atau ranting dalam agama, berkenaan dengan perkara yang wajib, haram, halal, harus, makruh, sah, batal dan seterusnya. Kitab ini tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada penafsiran ’mujassimah’ atau ’musyabbihah’ yang diragukan penisbahannya kepada Imam Syafi’i. Dr Shaikh Yasin mufti Mausil Iraq ada memberi syarahan tentangnya sebagaimana yang dinyatakan dalam biografi ringkasnya dalam laman web: http://www.odabasham.net/show.php?sid=9119; syarahnya berjudul (الكوكب الأزهر شرح الفقه الأكبر للشافعي) . Sekarang kita bersyukur kepada Allah kerana naskhah syarah kitab itu ada dalam tangan kita kerana ihsan daripada sahabat kita Tuan Syeikh Yusuf dari Makkah.

[4] Ayat ‘satu daripadanya lebih zahir lagi daripada yang satu lagi itu’ dalam teks Syeikh Yasin, hal.7.

[5] Surah Muhammad:19.

[6] Dalam perkara akidah iman mesti datang daripada ilmu dan ma’rifat bukan hanya mengikut orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Adapun dalam perkara fiqh maka orang awam mesti mengikut mujtahid kalau ia sendiri bukan mujtahid yang boleh mengetahui hukum terus daripada Quran dan Sunnah mengikut aturan-aturannya.

Ilmu yang dharuri dan ilmu yang diusahakan

Ketahuilah bahawa ilmu para makhluk itu ada dua bahagian:

ilmu yang bersifat dharuri, yang semestinya tidak boleh tidak, dan

ilmu yang diusahakan (daruri wa muktasab (ضرورى ومكتسب)).

Maka erti ilmu dharuri itu ialah tiap-tiap pengetahuan yang wujudnya [ilmu itu] tidak dengan kudrat orang alim itu, itu adalah ilmu yang berlaku melalui pancaindera yang lima, berkenaan dengan perkara-perkara darurat tanpa pilihan [seperti kita tahu tentang panas, sejuk, dan tentang kita ini ada dan lain-lain yang seperti itu] dengan tidak ada ikhtiar usaha [kita].

Dan erti ilmu yang diusahakan itu (al-muktasab) ialah tiap-tiap ilmu yang wujudnya itu dengan kudrat usaha orang alim itu, dan itu seperti ilmu hasil daripada tilikan fikiran dan pemandangan [akal] (‘an al-nazar wa al-ru’yah).[1]

[1] Ilmu demikian didapati dengan usaha mencarinya dan berfikir untuk mengetahuinya.

ILMU BERKENAAN DENGAN HUKUM YANG LIMA YANG WAJIB DIKETAHUI


Ketahuilah bahawa taklif itu ialah perkara yang kalau dilanggar membawa akibat hukuman [dari Tuhan], maka termasuk ke dalam kategori ini semua jenis amalan orang-orang mukallaf; dan itu ada lima kategori:
  • yang wajib
  • yang haram
  • yang sunat
  • yang makruh
  • yang harus
Makna yang wajib dan fardhu itu satu sahaja, iaitu apa yang menyebabkan orang yang tidak menuntutnya [atau tidak menjalankannya] terkena azab; dan erti perkara yang diharamkan itu ialah perkara yang mendatangkan hukuman bila dibuat; erti yang sunat dan mustahab dan nafilah dan tatawwu’ (sukarela) itu ialah pada hakikatnya satu sahaja, iaitu diberikan pahala bila dilakukan, dan tidak dihukum seksa bila ditinggalkan.

Erti yang makruh itu ialah perkara yang diberi pahala bila ditinggalkan dan tidak diseksa bila dibuat. Erti yang harus itu ialah sama sahaja dibuat atau ditinggalkan oleh mukallaf [tidak ada pahala bila dibuat dan tidak ada dosa bila ditinggalkan].

Maka hendaklah orang yang mukallaf itu beri’tikad dalam tiap-tiap satu daripada hukum yang lima kategori ini nisbah ia diwajib mana yang wajib, haram mana yang dilarang, mengikut apa yang dituntut oleh Syariat [misalnya sembahyang lima waktu adalah wajib, demikian pula puasa, membayar zakat dan seterusnya, berjudi haram, mencuri haram]; demikianlah sehingga ke akhirnya pembahagian yang lima itu.

Kalau ia beri’tikad yang menyalahi yang demikian, maka ia terkena seksa.

WAJIB MA’RIFAT

Ketahuilah bahawa ma’rifat terhadap Allah taala ia wajib atas hambaNya bila ada padanya tiga syarat.

Pertamanya ada akal, berilmu dan berkuasa yang dengan adanya itu semua maka sah hukum ditujukan kepadanya, maka dihukumkan, dengan ia berakal itu, bila didapati berserta dengan tahunya itu, kadar yang boleh membezakan dengannya antara yang harus dan yang mustahil; maka boleh diambil daripadanya penyaksian sebagai saksi atas yang ghaib.

Keduanya baligh, cukup umur, iaitu dikira dengan umurnya, iaitu bila ia mencapai umur lima belas tahun (qamariyyah) atau melalui ia bermimpi (keluar mani dalam masa tidur kerana mimpi bersetubuh) kalau lelaki, dan demikian juga anak perempuan, atau dengan ia mengalami haidh.

Ketiganya, ada pendengaran, iaitu dikembalikan hukum wajib dari Allah terhadapnya bahawa ia wajib mempunyai ma’rifat terhadapNya; bila tidak ada syarat-syarat ini, maka tidak wajib sesuatu apapun atasnya, berdasarkan firman Allah:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولا

“Dan Kami tidak mengenakan azab [ke atas para hamba Kami] sehinggalah Kami mengutuskan kepada mereka rasul”.[1]

[Juga hukum demikian ] berdasarkan hadith masyhur dari Rasulullah salla’Llahu ‘alaihi wa sallam:

رفع القلم عن ثلاثة عن الصبي حتى يبلغ وعن المجنون حتى يفيق وعن النائم حتى ينتبه

“Kalam terangkat [yakni hamba tidak dikenakan azab atau hukuman Tuhan] daripada tiga orang: dari kanak-kanak kecil, sehingga ia baligh, orang gila sehingga ia sedar daripada gilanya, orang yang tidur sehingga ia jaga”.[2]

[1] Al-Isra’ ayat 15.

[2] Hadith Abu Daud, Tirmidhi, Ibn Majah, sahih.

Tidak Ada Dua Kuasa Atas Alam
[Berkenaan dengan tidak mungkin adanya dua kuasa atas alam ini] Allah berfirman:

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلا اللَّهُ لَفَسَدَتَا

“Kalaulah ada di langit dan bumi itu tuhan-tuhan [banyak tuhan-tuhan langit dan tuhan-tuhan bumi] selain daripada Allah nescaya binasalah kedua-duanya”.[1]

Maka Allah menerangkan bahawa kalaulah ada tuhan-tuhan lebih daripada Tuhan yang Esa, maka tidak adalah langit dan bumi, kerana banyaknya tuhan-tuhan itu memestikan adanya berbezaan dan saling sekat-menyekat [antara tuhan-tuhan itu] daripada maksud-maksud [tuhan-tuhan itu masing-masingnya].

Firman Allah:

أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ

“Hanyasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa”.[2] [3]

[1] Anbiya: 22.

[2] Al-Kahf: 110.

[3] Kalau dalam kehidupan dan pengetahuan sekarang kita katakan bahawa adanya sistem yang tersusun rapi daripada atom, zarrah dan sub-zarrah hingga kepada planet-planet, daripada sel-sel dan molekul-molekul hingga kepada bimasakti-bimasakti, semuanya tersusun –itu semua menunjukan satu aturan yang menunjukkan pula ada satu Pengaturnya, Tuhan Yang Maha Esa Jalla jalaluh. Dan pengalaman golongan arifin dalam sejarah menunjukkan wujud hakiki yang satu, Allah.

Allah Maha Mencipta Yang Maha Esa

Ketahuilah bahawa Pencipta alam itu adalah Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, sendiri tunggal tanpa yang dua bagiNya.

Erti wahdaniyyah pada sifat-sifat Allah itu ialah bahawa mustahil ada padanya pembahagian diriNya kepada juzuk-juzuk dan bahagian-bahagian, secara waham dan takdir [yakni kuantiti banyak atau sedikit]; Ia Tunggal Sendiri dengan Sifat-SifatNya, dan ZatNya, tanpa menyerupai makhlukNya, Ia Tunggal SendiriNya terhubung dengan sekalian yang baharu, dari segi Ia sahaja yang mengadakannya, dan mula menciptanya.

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa telah sabit dan tetap hakikat bahawa perbuatan dan penciptaan memaksudkan ada pembuat dan tukang mahirnya, yang tidak boleh tidak, dan maha kaya adanya fa’il [yakni pembuat atau pencipta] bagi Pencipta yang tunggal itu.

Maka Pembuat Yang Tunggal tidak boleh tidak daripadanya, dan apa yang bertambah kepadanya itu menjadi bercanggahan di dalamnya dengan berbilang-bilang, dan saling gugur menggugurkan, [yakni kalau berbilang-bilang maka satu pihak mahukan sesuatu yang satu lagi pula mahukan yang lain maka berlakulah percanggahan dalam alam] kerana tidak ada yang memberatkan bagi sebelah pihak yang berbilang-bilang, atas setengah yang lain [dengan itu ada sistem tersusun dalam alam yang satu ini].

Allah Maha Mencipta Yang Kadim dan Azali

Dan ketahuilah bahawa Pencipta alam adalah kadim, azali, maknanya tidak ada awal bagi wujudNya.

Dalilnya ialah bahawa kalaulah Tuhan Maha Pencipta itu baharu ada, maka ia memerlukan pula kepada pencipta yang baharu yang lain pula, yang mengadakanNya dan mewujudkanNya, kemudian kalau penjadinya itu baharu ada, maka itu membawa kepada perlu ada penjadi yang satu lagi pula, dan bergantunglah tiap-tiap yang menjadikan itu kalau ia baharu ada dengan penjadi yang sebelum daripadanya.

Maka itu membawa kepada apa yang tidak berkesudahan, dan wajib dengan itu mustahil adanya pencipta dan makhluk yang dicipta [yang baharu ada itu].

Allah berfirman dalam ayat

هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ

“Dialah Yang Awal [tanpa Permulaan] Dialah Yang Akhir [tanpa kesudahan]” – Surah Al-Hadid: 3

Maka Allah azza wa jalla memberitahu tentang wujudNya yang tidak terhenti dan terus menerus berkekalan itu.

Peringatan Allah Maha Pencipta

Allah memberi peringatan tentang pembuat dan pencipta [rujuk: Orang Yang Terangkat Darjatnya]:

Firmannya:

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ

“Adakah mereka diciptakan bukan dari sesuatu ataupun mereka yang menciptakan [diri mereka sendiri]?[1]

Maknanya adakah mereka itu diciptakan dengan tidak ada pencipta, atau adakah mereka menciptakan diri mereka sendiri? Maka jelaslah (dengan ini) bahawa penciptaan itu mesti tidak boleh tidak ada pencipta[nya].

Dan ketahuilah bahawa yang mengadakan alam ini [daripada tidak ada kepada ada] ialah Allah jalla jalaluhu dan maha meratalah niamat kurniaNya.

Dan dalil tentang itu ialah ia menjadi tetap [benar demikian] pada sisi mereka yang paling awal mempunyai akal tinggi, iaitu bahawa manusia itu dalam hal sempurna kejadian ciptaannya serta sempurna akalnya dan kudratnya ia tidak berupaya untuk menjadikan untuk dirinya sendiri pendengaran, penglihatan, atau mengembalikan anggota badan yang jatuh daripadanya, baik dengan diri sendiri atau dengan bantuan orang lain yang sepertinya, dan pihak yang sebaya dengannya, dan kerana ia tidak mampu menjadikan dirinya sendiri dalam masa keadaan dirinya sebagai air yang hina, sebagai benih yang hanyir, lemah, lebih lebih lagi daifnya itu.

Allah berfirman:

أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ

“Adakah kamu lihat apa yang kamu pancarkan [sebagai air mani itu] adakah kamu yang menjadikannya atau Kami yang menjadikan?” [2]

Maka Allah memberi peringatan tentang perkara itu, iaitu bahawa anak yang dilahirkan itu bapanya tidak menjadikannya, kerana ia keluar sebagai mani, walhal ia belum ada, dan ia tidak suka, kemudian ia ada, maka teranglah bahawa penciptaan bentuk rupa janin itu dalam rahim daripada mani itu ialah perkara yang berlaku bukan dengan kehendak kita, tidak akan menjadi, maka penciptanya dan pembentuk rupanya ialah Allah.

Dan dalil tentang perkara itu ialah firman Allah:

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ

“Dia adalah Allah, Maha Pencipta, Penjadi Yang Awal, Pembentuk rupa”[3]

Demikian pula firman Allah:

ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لا إِلَهَ إِلا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

“Itu adalah Allah Pencipta segala sesuatu, maka hendaklah kamu beribadat kepadaNya, Ia pemelihara segala sesuatu”.[4]

[1] Surah al-Tur: 35.

[2] Al-Waqi’ah: 58-59.

[3] Al-Hasyr: 24.

[4] Al-An’aam: 102.

Orang Yang Terangkat Darjatnya

Kemudian Ia menerangkan bahawa antara orang yang Ia membawa kepada hidayatNya dan hujahNya ialah orang yang terangkat darjatnya.

FirmanNya

نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ

“Kami angkatkan darjat-darjat orang yang Kami kehendaki”.[1]

Kemudian Ia berfirman kepada RasuNya salla’Llahu ‘alaihi wa sallam [dalam ayat]:

وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

“Dan ia mengikut agama Ibrahim yang berada dalam agama tauhid yang asal benar dan murni itu”[2]

Dan itu mewajibkan kita mengambil dalil sebagaimana beliau mengambil dalil [dalam berfikir].

Dan ketahuilah bahawa apa yang baharu ada itu mesti tidak boleh tidak ada pencipta yang mengadakannya.

Dan dalil tentang perkara itu ialah perbuatan mesti ada pembuatnya sebagaimana tulisan itu mesti ada yang menulisnya dan bangunan itu mesti ada pembinanya.

Maka mustahil ada tulisan melainkan mesti daripada penulis; itu termaklum dengan pengalaman yang nyata disaksikan secara dharuri, mesti tidak boleh tidak.

Dan inilah hukum berkenaan dengan apa yang sepertinya terdiri daripada pelbagai jenis kemahiran dan pertukangan.

Demikian pula perkara yang baharu diadakan dalam erti yang demikian itu dari segi tuntutan maknanya ada yang baharu menjadikannya, pembuat dan pencipta[nya].

[1] Al-An’aam: 83. Mustahak difahami di sini bahawa bukannya nabi Ibrahim alaihissalam itu menyangka betul-betul bahawa itu semua ‘tuhan’; maksudnya bahawa nabi Ibrahim alaihissalam mengalami mi’raj yang ditunjukkan kepadanya tingkatan-tingkatan ‘hampir’ kepada Tuhan secara darjat cerah cahaya bintang, kemudian darjat cerah cahaya bulan, kemudian darjat cerah cahaya matahari, sehingga kepada darjat yang tinggi sekali itu, maka keluarlah kata-kata dari mulutnya seperti yang diajarkan kepada kita kata-kata dalam doa iftitah waktu sembahyang mulai daripada ‘وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ’ yang bermaksud ‘Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi dengan ikhlas dan bukanlah aku dari orang yang menyekutukan-Nya’. Nabi Ibrahim alaihissalam tidak pernah syirik.

[2] Al-Nisa’: 125

Ikut Agama Hanif Nabi Ibrahim
Ikut Agama Hanif Nabi Ibrahim – dengan pandai mengambil dalil yang betul dalam berfikir

Ketahuilah bahawa alam adalah nama bagi semua perkara selain daripada Allah terdiri daripada ArasyNya, KursiNya, langitNya, bumiNya, haiwannya, benda pejalnya, yang berkata-kata, yang diam, yang dijadikan, yang ada selepas daripada tidak ada.

Dan dalil tentangnya ialah bahawa telah sabitlah yang alam ini berubah-ubah daripada satu sifat kepada satu sifat yang lain, daripada satu hal keadaan kepada satu hal keadaan yang lain pula, tidak terpisah ianya daripada warna-warni yang berlain-lainan, dan keadaan yang berbeza-beza, peristiwa-peristiwa yang silih berganti.

Dan apa yang tidak terlepas daripada peristiwa-peristiwa yang terjadi, dan tidak mendahulu daripadanya [oleh sesuatu], melainkan ia benda yang baharu sepertinya pula, kerana tidak terfikir pada akal adanya juzuk-juzuk yang banyak melainkan ia terhimpun atau bercerai-berai, atau ada berdampingan, atau berjauhan.

Walhal keadaan berhimpun dan bercerai itu adalah peristiwa-peristiwa baharu yang berlaku (hawadith).

Makna pendapat mencari dalil yang demikian ini ada dalam firman Allah berkenaan dengan kisah nabi Ibrahim ‘alaihissalam:

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي

“Maka apabila menjadi gelaplah malam padanya, baginda melihat bintang, katanya ini Tuhanku”[1]

Bila baginda melihat kepada bintang, matahari dan bulan itu berubah-ubah dalam sifat-sifatnya, maka baginda mengeluarkan semua itu daripada sifat ketuhanan dengan mengambil dalil jatuh turunnya, menghilangnya, dan berpindah-pindahnya dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Kemudian dipanggil perbuatan mengambil dalil tentang perkara itu sebagai hujah dan dikaitkan yang demikian itu kepadaNya [Sendiri].

FirmanNya

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا آتَيْنَاهَا إِبْرَاهِيمَ عَلَى قَوْمِهِ

“Itulah hujah Kami yang Kami kurniakan kepada Ibrahim dalam menghadapi kaumnya”[2]

[1] Surah Al-An’aam: 76.

[2] Surah Al-An’aam: 83. Banding dengan ayat dalam teks Dr Syeikh Yasin hal.9 ayatnya ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا yang bermaksud: “Kemudian Kami wahyukan kepada engkau (wahai Muhammad) ‘Ikutilah agama Ibrahim yang hanif’ (an-Nakhl: 123).

Tilikan Akal Berfikir dan Mengambil Dalil

Ketahuilah bahawa perkara yang awal sekali yang wajib atas orang mukallaf itu ialah tilikan akal berfikir (al-nazar) [menyelidik] dan mengambil dalil yang membawa kepada mengenal Allah (al-istidlal ila ma’rifati’Llah) taala.

Erti tilikan akal itu ialah fikir pada kalbu dan mengamat-amati (fikr al-qalb wa al-ta’ammul) tentang perkara yang ditilik itu untuk mengenalinya dalam ilmu (talaban li ma’rifatihi), dan dengan amalan itu maka dicapai pengenalan terhadap apa yang tidak dikesani pancaindera (literal: yang ghaib daripada pancaindera).

Dan perkara yang darurat atau yang mesti wajib dalam usul al-din berdasarkan kepada firman Allah azza wa jalla:

انْظُرُوا إِلَى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ

“Dan tiliklah kepada buahnya bila pokok itu berbuah”[1]

dan firmannya

فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الأبْصَارِ

“Maka ambil pelajaranlah wahai orang yang mempunyai pandangan akal yang tajam (ulil-absar)”[2]

dan firmanNya

قُلِ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ

“Katakanlah: Perhatikanlah (tilikanlah dengan akal) apa yang ada di langit dan di bumi”[3].

Maka kami telah katakan bahawa perkara wajib yang awal-awal sekali ialah menilik dengan akal (al-nazar) kerana kebanyakan ibadat berkait dengan niat dan niat itu adalah kasad melakukan ibadat kepada Tuhan yang disembah yang khusus.

Dan kasad pula dari segi ini tidak mungkin melainkan selepas daripada mengenali Tuhan yang disembah itu, dan tidak sampai kepada mengenaliNya melainkan dengan tilik akal dan mengambil dalil.

Maka sebab itulah kami katakan bahawa perkara yang wajib yang awal-awal sekali ialah [perkara tilik dengan akal dan mengambil dalil] yang demikian itu.

[1] Al-An’aam: 99.

[2] Al-Hasyr: 2.

[3] Yunus: 101.

ALLAH MUSTAHIL BAGINYA ADA PASANGAN DAN ANAK

Dan kerana makna inilah pula mustahil bagiNya ada isteri dan anak kerana itu tidak boleh berlaku melainkan dengan perhubungan [seperti antara lelaki dan perempuan] dan bersambung dan bercerai, demikianlah pasangan, dan anak pada sifatnya maka itu mustahil bagi Allah.

Maka kalaulah dikatakan Allah berfirman:

(الرحمن على العرش استوى)

[dalam ayat yang bermaksud]:

“Tuhan Yang Rahman beristawa atas Arasy”[1]

maka hendaklah dijawab:

“Sesungguhnya ayat ini termasuk daripada ayat mutasyabihat yang mencengangkan dalam jawapan seperti apa yang sama dengannya bagi orang yang tidak mahu memperdalam ilmu berkenaan dengannya iaitu ia mengambilnya sebagaimana datangnya dan tidak dibahaskan lagi tentangnya serta tidak bercakap-cakap tentangnya kerana tidak aman daripada terjatuh ke dalam syubhat dan keadaan seperti gaung [yang berbahaya] kalaulah [orang yang berkenaan] bukannya orang yang dalam dan tetap teguh dalam ilmunya.

Maka ia wajib beri’tikad bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat yang kami sebutkan itu bahawa Ia tidak dikandung oleh tempat dan tidak berlalu atasnya zaman [ia tidak ada umur], ia suci daripada had batasan, suci daripada kesudahan, maha kaya daripada memerlukan tempat, dan pihak [seperti kiri kanan belakang hadapan] [sebagaimana yang ada dalam ayat (ليس كمثله شئ) yang bermaksud] (tidak ada sesuatu yang menyerupaiNya)[2] dan [dengan itu] ia selamat daripada kebinasaan.

Kerana inilah maka Imam Malik marah kepada orang yang bertanya tentang ayat ini, lalu jawabnya: istiwa’ atau bersemayam itu disebutkan [dalam ayat], kaifiat atau bagaimananya itu tidak diketahui, iman tentangnya wajib, bertanya tentangnya bid’ah.

Kemudian katanya: Kalau ia kembali bertanya maka aku akan menyuruh ia dipukul tengkuknya.

Semoga Allah menjaga kami dan anda semua daripada tashbih [yakni menyamakan antara Tuhan dan makhlukNya].

[1] Taha: 5.

[2] Al-Syuraa: 11

ALLAH MUSTAHIL BERTEMPAT

Ketahuilah bahawa Tuhan yang mula menjadikan alam ini tidak ada tempat bagiNya.

Dalil tentang perkara itu ialah bahawa Allah Taala telah ada walhal tempat tidak ada [pada zaman kadim itu].

Maka Ia menjadikan tempat atau ruang walhal Ia dalam sifatNya yang azali sebagaimana telah adaNya sebelum Ia menjadikan tempat atau ruang itu.

Maka mustahil Ia berubah pada zatNya dan bertukar pada sifatNya; dan [itu juga demikian] kerana Ia tidak bertempat walhal ada bagiNya ‘di bawah’ jadilah penyudah bagi zat yang terhad, walhal keadaan terhad atau terbatas itu sifat makhluk.

Maka maha suci atau maha tinggilah Allah daripada yang demikian itu.

MUSTAHIL ATAS ALLAH WARNA, RASA, BAU DAN PANAS SEJUK
Ketahuilah bahawa Allah taala mustahil atasnya warna, penciptaan/kejadian [seperti makhluk], kecapan rasa, dan bau, panas, sejuk, dan yang sepertinya, kerana ini semua sifat-sifat makhluk yang baharu.

Tanda-tanda penciptaan dan yang disifatkan itu dengan suatu daripadanya itu berserta dengan harus sifat lain daripadanya maka ia tidak terkhusus dengan yang demikian melainkan dengan adanya yang mengkhususkannya.

Itulah yang menjadikannya dan menciptanya, walhal itu sifat makhluk yang baharu.

Demikianlah hukum mustahil [atas Allah] itu rasa lazat, sakit, dan sifat-sifat yang lain lagi yang terkhusus ianya bagi makhluk.

Firman Allah azza wa jalla

(هل تعلم له سميا؟)

[dalam ayat yang bermaksud]:[1]

“Adakah kamu mengetahui seorang yang sama dengan dia?”.

[1] Maaryam: 65.

GAMBARAN BENTUK RUPA ADALAH MUSTAHIL ATAS ALLAH
Ketahuilah bahawa gambaran bentuk rupa dan sifat tersusun mustahil atas Allah taala dengan makna yang kami sebutkan pada jisim.

Itu kerana yang mempunyai bentuk rupa itu tidak terkhusus dengan satu bentuk rupa tidak bentuk rupa lain melainkan dengan penentu bentuk rupa yang khusus yang si pembuatnya dan si penciptanya.

Sesiapa yang ada bentuk rupa juga ia makhluk, dan tidak ada kemusykilan lagi padanya, dan kerana rupa bentuk itu tidak menyerupai pembentuk rupa bentuk itu.

Walhal Allah adalah Pembentuk rupa bentuk dan ‘bentuk rupa’Nya tidak menyamaiNya oleh sesuatupun.

Firman Allah:

الخالق البارئ المصور

yang bermaksud]

Maha Pencipta Yang Awal Mula Menjadikan, Pembentuk rupa [sekalian makhlukNya]”.[1]

[1] Al-Hashr: 24.

Allah Mustahil AtasNya Sifat-sifat Jisim
Dan yang tahkik [dalam erti yang sebenar-benarnya berkenaan dengan perbahasan ini] ialah bahawa gambaran sifat bila ia berhak amat bersangatan sifatnya itu dengan penambahan maknanya, maka berhaklah ia sebagai asal gambaran sifat, kerana sebab itu, seperti sifat panjang (tawiil), atwalu (lebih panjang), dan ‘alim (mengetahui) dan a’lamu (lebih mengetahui) dan yang sepertinya.

Sesungguhnya Allah taala memberi peringatan kepada kita tentang makna ini dalam firmanNya:

(وزاده بسطة فى العلم والجسم)

[yang bermaksud]:

“Dan Allah mengurniakan kepadanya ilmu yang luas dan tubuh badan yang perkasa”.[1]

Ertinya pada segi kebesaran tubuh badan dirinya walhal Allah taala yang menjadikan alam ini tidak mempunyai juzuk-juzuk dan bahagian-bahagian [seperti bahagian badan makhluk] bahkan Ia Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana Ia berfirman:

(قل هو الله أحد)

yang bermaksud]:

“Katakanlah Ia Allah Yang Maha Esa”.[2]

Walhal apa yang terhimpun [daripada beberapa bahagian] dan yang tersusun tidak menjadi satu, dan mustahil Ia itu ‘aradh [atau sifat seperti sifat pada zat benda] kerana ‘aradh itu mustahil padanya sifat baqa’ atau kekal atau sedikit kekalnya itu. Kerana makna demikian ini maka Allah berfirman:

(تريدون عرض الدنيا)

yang bermaksud]:

“Mereka berkehendak kesenangan dunia ini yang sementara (‘arad al-dunya’)”.[3]

Kerana sedikit sahaja sifat baqa’nya itu walhal Tuhan Yang menjadikan alam ini wajib sifat baqa’ bagiNya kekal berterusan wujudNya, mustahil tiada. Allah berfirman:

(كل من عليها فان ويبقى وجه ربك ذوالجلال والاكرام)

yang maksudnya]

“Tiap-tiap sesuatu di atasnya binasa, walhal Wajah Tuhan kamu kekal, Tuhan yang memiliki Kehebatan dan Kemuliaan”.[4]

[1] Al-Baqarah: 247.

[2] Surah al-Ikhlas: 1.

[3] Al-Anfaal: 67.

[4] Al-Rahman: 27.


TUHAN MUSTAHIL JISIM


Mustahil juga bahawa Ia itu jisim[1] kerana jisim itu adalah himpunan yang tersusun daripada [bahagian-bahagian atau juzuk-juzuk].

Daripada yang demikian terdapat kata-kata ahli bahasa, “ini jisim” dan ini lebih besar jisimnya daripada yang itu; maka mereka memberi gambaran tentangnya dengan cara bersangatan sifatnya bila banyak susunannya dan himpunannya, dan berlakulah perkara demikian itu dalam kata-kata mereka tentang “ ‘alim, ‘aliim, dan lebih ‘alim [daripadanya]” (عالم و عليم, و أعلم) bila bertambah taalukan ilmunya dengan maklumat-maklumat; dan termaklum bahawa yang alim itu pada asalnya ialah alim tentang ilmu, demikian pula kata-kata pendapat berkenaan dengan jisim.

[1] Ini menunjukkan Imam Shafi’i –Allah meredhainya- sangat tajam pengamatannya tentang bahasa dan perkembangan pengetahuan zamannya. Alangkah baiknya contoh tauladan yang kelihatan pada tokoh utama ini.

TUHAN MUSTAHIL ‘ARADH ATAU SIFAT JISIM

Ketahuilah bahawa Allah taala itu bukan jauhar[1], bukan jisim[2], juga bukan sifat bagi jisim (atau bukan ’aradh)[3].

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa jauhar itu adalah asal kejadian segala sesuatu [dari segi alam benda mengikut teori fizik zamannya[4]], dan ia yang tersusun daripadanya itu jisim dan daripada itu timbul kata-kata ‘pakaian jauhari’ bila pakaian itu asli.

Dan Tuhan Yang Mula menjadikan alam mustahil daripada menjadi tersusun daripadanya sesuatu, sehingga jadilah jauhar sekarang jauhar-jauhar [pula], Ia sunyi daripada [bersifat seperti] sekalian makhluk, gerak, diam, warna-warna, rasa, bau, dan yang lain daripada itu.

Dan Ia Qadim, sediakala, maha sucilah Ia daripada perkara-perkara baharu, maka nyatalah bahawa Ia bukan jauhar [dan yang lain-lain yang disebut sebagai benda yang dijadikan daripada alam ini].

[1] Penggunaan ‘jauhar’ dan ‘aradh’ oleh Imam ini berlaku – Allah meredhainya – kerana pada zaman itu sudah timbul penggunaan istilah-istilah itu; maka sebagai imam dalam ilmu dalam berbicara tentang hakikat ketuhanan, ia tidak boleh mengelak, bahkan nampaknya terpaksa menggunaakannya untuk menolak sangkaan yang mungkin timbul bahawa Allah menyerupai makhluk dari segi Ianya jauhar atau aradh (bahasa Inggerisnya ‘substance’ and ‘accidents’), dengan implikasi-implikasinya; kalau sekarang mungkin kita katakan bahawa Allah bukan ‘zarah’, bukan ‘sub-zarah’, bukan ‘quarks’ bukan ‘gelombang’ (waves), bukan ‘meson’, bukan ‘baryon’ (kalau diperlukan dalam perbincangan) sebab adanya teori yang menyebutkan bahawa segala yang ada ini walaupun kelihatan sebagai ‘pejal’, boleh diukur, disukat, dan seterusnya, sebenarnya pada paras sub-zarah (sub atomic level) ia ‘gelombang’ atau ‘zarah’, tidak menentu, kadang-kadang sebagai zarah kadang-kadang sebagai gelombang. Lihat ‘The Tao of Physics’ oleh Fritjof Capra, Flamingo books, Fontana Paperbacks, 10th impression, London, 1985, hal.150. Maka di sisi ahli pengetahuan timbul keperluan kepada pembicaraan sedemikian itu.

[2] Bila Ia tidak jisim maka tidak ada padanya sifat-sifat jisim seperti bertempat, memerlukan masa, berpihak (atas bawah belakang hadapan kiri kanan), demikian seterusnya; dengan itu tidak timbul konsepsi ‘duduk’ atas ‘Arasy, ‘turun’ ke langit dunia, dan lain-lain konsep yang berlawanan dengan itu dari kalangan golongan mujassimah dan musyabbihah, ertinya golongan yang memahami Allah seperti Ia berjisim, atau Ia menyerupai makhluk dalam apa segi sekalipun.

[3] Lihat bagaimana Imam Syafi’i menggunakan istilah jisim dan ‘aradh yang pada zamannya ada dalam perbincangan ilmiah. Banding pula dengan kita sekarang.

[4] Sekarang dalam teori quantum asal semuanya gelombang atau zarah itu. Dalam laman web terhubung dengan universiti Princeton disebutkan: ‘quark’ (dalam ilmu fizik) secara hipotesis partikel yang sebenar dalam ‘mesons’ dan ‘baryons’; di sana dianggapkan ada enam ‘rasa’ (flavours) quarks (dan anti-quarks pula), yang datang dalam berpasangan; tiap-tiap satunya ada caj elektrik +2/3 atau -1/3; wordnetweb.princeton.edu/perl/webwn diakses 11-3-11 11.08 pagi. Dan ‘baryons’ and ‘mesons’ pula asalnya nama yang merujuk kepada ‘mass’ (‘berat’) dua jenis partikel. ‘Baryons’ asal dari perkatan Yunani ertinya ‘berat’ termasuk di dalamnya proton dan partikel-partikel yang lebih berat lagi. ‘Mesons’ dari kata Yunani ertinya ‘antara’ ‘antara dua’ adalah partikel-partikel dengan ‘mass’ (atau ‘berat’nya) adalah antara berat elektron dan proton. Sekarang nama ‘baryon’ merujuk kepada mana-mana partikel yang terbina daripada tiga ‘quarks’, seperti proton dan neutron. ‘Mesons’ pula adalah partikel-partikel yang terbina daripada satu quark tergabung dengan satu anti quark…(darihttp://www.britannica.com/EBchecked/topic/54531/baryon diakses 11-3-11 11.12 pagi)

ALLAH MAHA SUCI DARI HAD DAN PENYUDAHAN

Ketahuilah bahawa had dan penyudahan tidak ada pada Allah taala. Erti had itu ialah hujung penyudah sesuatu benda dan bahagian akhirnya.

Dalil berkenaan dengan perkara ini ialah bahawa Ia yang tidak ada terbatas permulaanNya maka tidak ada keterbatasan ZatNya. Maknanya ialah sesiapa yang tidak ada bagi wujudnya permulaan maka tidak ada bagi zatnya kesudahan. Ini kerana apa yang terbatas itu ada kesudahan [baginya].

Maka sah diwahamkan padanya ada tambahan dan kekurangan; dan boleh didapati [pula apa] yang sepertinya.

Maka [kalau demikian] ada baginya kekhususan jenis dari penyudahan dan pembatasan yang sah ada pula yang lebih besar daripadanya atau lebih kecil, [lagi pula kalau demikian itu] memestikan ada baginya apa yang menjadikannya (mukhassis) yang menjadikannya (atau yang mengkhususkannya) atas had dan kesudahan dan kejadiannya atas kadar [tertentu] dan itu membawa kepada baharunya Allah taala – maha sucilah Ia dengan kesucian yang setinggi-tingginya daripada yang demikian itu.

ALLAH TIDAK MENYERUPAI MAKHLUKNYA

Ketahuilah bahawa Pencipta alam tidak menyerupai sesuatu dari kalangan para makhlukNya.

Dalil tentang perkara ini ialah bahawa persamaan itu memestikan adanya perkongsian dalam semua sifat-sifat dan hukum-hukum [antara sesuatu dengan apa yang sama dengannya itu], kerana hakikat persamaan itu ialah kedua-duanya itu lain pada zatnya, dan harus pula kedua-duanya ada semua perkara-perkara yang harus ada pada rakannya itu.

Maka ia boleh mengambil tempat rakannya, dan memenuhkan ‘tempat’nya, maka kalaulah Tuhan Yang menjadikan alam menyerupai makhlukNya maka harus ada padanya sifat-sifat makhlukNya, dan yang demikian itu mustahil, kerana memestikan harus keadaannya baharu ada, [walhal itu mustahil], dan kerana itu bercanggahan [satu dengan lainnya].

Maka sabitlah bahawa Tuhan yang menjadikan alam (al-Bari) itu tidak menyerupai makhlukNya, dan makhlukNya tidak menyerupaiNya [pula]; Allah berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Tidak ada sesuatu yang menyerupaiNya”[1]

Ertinya tidak ada sesuatu yang serupa denganNya.

[1] Al-Syura: 11

Wassalam

SIFAT BERKATA-KATA DAN SIFAT BAQA

Dan erti Sifat Berkata-kataNya itu ialah sifat yang satu, azali, dengannya maka sunyi Ia daripada bisu dan senyap tanpa kata-kata dan [juga sunyi Ia daripada] kekurangan-kekurangan yang menghalang berkata-kata. [Syeikh Dr Muhammad Yasin rh memberi huraian berkenaan dengan Sifat Berkata-kata itu dengan kata-katanya: ‘Ketahuilah - mudah-mudahan Allah memberi hidayat kepada anda - bahawa Kalam Tuhan itu bukan berhuruf dan bersuara, kerana huruf dan suara itu mengandungi harus ada dahulu dan kemudian [dalam berkata-kata dengan huruf dan suara itu], dan itu mustahil pada Tuhan Yang Qadim – Maha Tinggilah Ia – dan apa yang ditunjukkan daripada Kitabullah yang berkaitan dengan Sifat Kalam Tuhan tidak ada akhir baginya, dan KalamNya itu tanpa huruf dan tanpa suara, kerana wajib jauhlah sifatNya daripada berhuruf dan bersuara’[1]]

Dan erti sifat Baqa pula ialah bahawa ia sifat yang satu, azali, yang dengannya maka sunyi Ia daripada apa yang tidak baqa kerana sifat azali dan qadim itu tidak lagi ada fana dan ketiadaan wujud selepas daripadanya; dan dalil tentang tauhid sifat-sifatNya itu ialah kalaulah ada dari tiap-tiap jenis [sifat Tuhan itu] lebih daripada satu [katakanlah ada dua qudrat, dua atau tiga iradat dan seterusnya] maka itu membawa kepada pengkhususan [penentuan mana-mana satu antara yang banyak itu] dan itu menjadi dalil bagi makhluk yang baharu pula, dan tidak selamatlah orang yang berpendapat begitu daripada saling bercanggahan [dalam pendiriannya yang berlawanan dengan mantik itu] kerana setengah daripada yang berlawanan itu tidak lebih utama daripada yang lainnya. [Dengan itu maka mustahil banyak sifat dalam mana-mana jenis sifat Tuhan dan sabit atau tetaplah tauhid bagi sifat-sifat Tuhan itu].

(Fasal). Dan ketahuilah bahawa Sifat Berkata-kata Tuhan yang menjadikan alam itu ialah bahawa itu sifat yang qadim dan azali yang wujud berserta dengan ZatNya, dan itu bukan makhluk, bukan baharu ada, dan sesiapa yang mengatakan ia makhluk ia kafir tidak boleh tidak lagi. KalamNya atau Berkata-KataNya itu termaktub dalam mushaf-mushaf kita, dihafal dalam kalbu kita, dibaca oleh lidah kita, dibaca dalam majlis-majlis kita, didengar dengan telinga kita, walhal ia bukan tulisan [itu], bukan hafalan, bukan bacaan, bukan tilawat itu. Bukan pendengaran itu, kerana itu semua baharu ada, daripada tidak ada, walhal Kalam Tuhan qadim.

Sebagaimana Tuhan yang menjadikan alam itu [qadim, walhal KalamNya] tertulis dalam kitab-kitab kita, termaklum dalam hati kita, disebut pada lidah kita [seperti dalam zikir dan lainnya], walhal zat Tuhan Yang menjadikan alam itu sendiri bukan tulisannya, dan zikir itu. [Ringkasnya Quran yang ditulis dalam bahasa Arab itu, dihafal dan dibaca itu menunjukkan kepada Kalam Tuhan yang qadim dan azali; sebab itu tidak boleh dikatakan Quran itu makhluk, sebab ia daripada Kalam Tuhan].


Dan dalil tentang kalamNya itu qadim ialah firmanNya:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

“hanyasanya perintahNya itu ialah bila Ia mahu mengadakan sesuatu Ia berkata [kepadanya] jadilah [kamu] maka jadilah [benda itu]”.[2]

Maka Tuhan mensabitkan bahawa makhluk itu ditujukan kata kepadanya ‘kun’ maka kalaulah itu makhluk, maka jadilah kata kepadanya itu ‘kun’; dan itu jadi membawa kepada bersambung tiap-tiap kata dengan kata yang lain sampai kepada tiada kesudahan dan itu membawa kepada terbatal kata itu.

Maka bila yang demikian itu terbatal wajiblah hal keadaan kata Allah itu azali bukan makhluk, bukan baharu ada[3]. Dan [yang demikian itu juga begitu] kerana yang hidup yang tidak sah atasnya percakapan tidak sah pula ia sunyi daripada kekurangan-kekurangan yang mencegah daripada percakapan seperti seorang daripada kita. Dan Tuhan Yang menjadikan alam ini subhanahu wa taala Maha Hidup sah bahawa Ia berkata-kata dan kecacacatan-kecacatan yang mencegah daripada percakapan mustahil atasnya; maka sabitlah bahawa Ia terus menerus dalam Berkata-kata dan KalamNya itu Qadim.

[1] ‘Al-Kaukab al-Azhar’, hal.76. Kalau hendak diperhatikan lagi sifat ini, mungkin boleh disebut bahawa memang bahawa Kalam Ilahi tidak berhuruf dan bersuara kerana ia mesti menyalahi kalam makhluk. Maka bila ia diturunkan ke alam dunia ini untuk umat manusia, ia turun dalam ‘acuan’ bahasa Arab untuk difahami oleh manusia yang beriman. Dengan ia diturunkan ke alam dunia ia dimasukkan ke dalam ‘acuan’ bahasa Arab; bila dibaca dan ditulis serta dihafal maka terdengarlah bunyi lafaz-lafaznya dan terlihatlah huruf-hurufnya, serta diingatlah bacaannya, kerana ia dalam ‘acuan’ bahasa Arab. Tetapi sifat asalnya sebagai kalam Tuhan tidak seperti kalam manusia tidak berubah; ia sama misalannya seperti air dalam gelas, kelihatan berwarna biru kerana gelas berwarna biru, tetapi hakikat air yang asal tanpa warna itu kekal seperti asalnya. Demikianlah Quran berbahasa Arab itu kelihatan ‘Arabnya’ pada tulisannya dan bunyinya kerana ia dalam ‘acuan’ bahasa Arab itu (yang bagaimanapun menunjukkan kepada kalam Ilahi yang asal tanpa huruf dan suara). Tetapi sifat asalnya kekal tidak berubah sebagai kalam Ilahi; sama seperti air yang tidak berubah walaupun ada dalam gelas itu. Sebab itu ulama menyatakan bahawa walaupun Quran itu ditulis atas Mushaf, dihafal di dada, dibaca oleh lidah manusia, ia adalah Kalam Ilahi yang tidak berhuruf dan bersuara pada sisi Tuhan; itu kekal tidak berubah.

[2] Yaasiin: 82.

[3] Ertinya Kalam Tuhan dan perintahNya bukan makhluk; maksudnya ialah bila Ia kehendaki sesuatu itu berlaku, maka ia berlaku tanpa ada perancangan seperti perancangan makhluk. Ia terus berlaku; dan bukannya Tuhan bercakap ‘Kun’ dalam Bahasa Arab kepada sesuatu itu, maksudnya apa yang ada dalam ilmuNya bila Ia kehendaki terjadi, teruslah perkara itu terjadi, atau teruslah sesuatu itu berlaku dengan tidak ada senggang masa sedikitpun antara kehendakNya dan terjadinya perlara itu.

SIFAT MENDENGAR DAN MELIHAT

Dan erti Mendengar dan Melihat [sebagai sifat-sifat Allah itu] ialah bahawa ia dua sifat yang azali, dengan keduanya itu sunyilah Allah daripada pekak dan buta dan kekurangan-kekurangan yang menghalang daripada mendengar apa-apa yang boleh didengar dan [melihat] apa yang boleh dilihat; maka Sifat Mendengar dan MelihatNya itu adalah berkenaan dengan semua yang boleh didengar dan semua yang boleh dilihat [ertinya Ia boleh mendengar semua perkara yang didengar dan melihat segala yang boleh dilihat tanpa apa-apa halangan, tanpa apa-apa sifat kekurangan].

SIFAT IRADAH/IRADAT

Erti Iradah itu ialah bahawa ia sifat yang satu, azali, yang dengannya [yakni dengan Sifat Iradah itu] maka jauhlah [atau sunyilah] Tuhan daripada kekurangan-kekurangan yang menghalangnya [daripada kesempurnaan] dengan Sifat Iradah itu, seperti syahwat keinginan [yang mengganggu IradahNya], kelupaan, dan lainnya daripada perkara yang mustahil berhimpun iradah dengannya, yang bersangkut dengan semua perkara-perkara yang dikehendaki dan dikhaskan dengan waktu-waktunya.

[Ertinya IradahNya itu Iradah yang sempurna, tanpa apa-apa kekurangan, tanpa nafsu syahwat yang menggangu, tanpa lupa dan lalai, pendeknya semua sifat-sifat kekurangan tidak ada menyentuh IradahNya yang sempurna itu, apa yang Dia kehendaki jadi, apa yang Ia tidak kehendaki, tidak menjadi, dan terjadinya sesuatu mengikut IradahNya, pada waktu yang dikehendakinya]


ERTI SIFAT HAYAT DAN SIFAT ILMU DAN QUDRAT ALLAH

Dan ketahuilah bahawa erti Hayat itu ialah sifat yang satu yang azali yang dengannya maka jauhlah Ia [atau sunyilah Ia] daripada [ciri-ciri] perkara-perkara yang mati, bukannya [hidupNya itu] dengan roh, dan bukannya hidupNya itu berhajatkan kepada yang lain daripadaNya seperti [memerlukan kepada] makanan, nafas, dan bukannya menyerupai hidup makhluk; dan makna IlmuNya itu ialah bahawa ia sifat yang azali yang terpisah daripada erti-erti yang bercanggahan dengan ilmu; yang dengannya [Sifat Ilmu itu] Ia mengetahui semua maklumat-maklumat secara menyeluruh dan satu persatu tentang apa yang telah, sedang dan akan ada serta apa yang tidak akan ada dan bagaimana akan adanya.

Dan erti Qudrat itu ialah bahawa ia sifat yang azali yang satu yang [kerananya maka] jauhlah [atau sunyilah] Ia daripada sifat lemah yang berkaitan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu dengan cara yang sedemikian rupa sehingga tidak ada makhluk yang baharu ini melainkan dengannya [yakni dengan sifat QudratNya itu adanya sekalian yang baharu; dengan itulah maka adanya alam ini].

SIFAT-SIFAT ALLAH YANG QADIM TIDAK MEMBAWA KEPADA KESYIRIKAN DENGAN QADIMNYA SIFAT-SIFAT ITU

Kalau dikatakan: Bahawasanya Tuhan yang menjadikan alam itu ada lapan sifat semuanya qadim [sebagai kunci mengenaliNya, walhal sifat-sifat kesempurnaannya tidak terkira], maka anda mengisbatkan berserta Allah lapan perkara qadim, maka yang demikian itu mensabitkan persyarikatan dalam perkara qidam [atau kesyirikan dalam perkara qadim].

Maka hendaklah dijawab: Itu tidak membawa kepada maksud demikian, kerana perkongsian dalam segi qidam demikian itu tidaklah membawa kepada maksud keserupaan dalam semua sifat-sifat sebagaimana yang kami terangkan sebelum ini; dan [yang demikian itu juga] kerana persyarikatan dalam perkara qidam itu kalau ia memestikan berlaku keserupaan maka mesti berlaku persyarikatan dalam perkara baharu maka mesti ia membawa kepada maksud jauhar-jauhar dan jisim-jisim seperti ‘aradh-‘aradh dan sifat-sifat; maka bila tidak sah apa yang kami katakan, maka tidak sah pula apa yang mereka katakan dan apa yang kami isbatkan tentang sifat-sifat Tuhan yang menjadikan ia semua itu sifat-sifat yang ada berserta dengan ZatNya; maka ia [yakni Tuhan dengan ZatNya dan Sifat-SifatNya] bukannya menjadi misalnya seperti sifat-sifat kita yang ada dalam zat-zat kita ini, yang tidak seperti kita sebagai misal-misal seperti zat-zat kita.

Hendaklah ini difahami. [Maka tidak timbul syirik sifat-sifat itu dengan Zat Allah, kerana sifat-sifatNya tidak bercerai dengan ZatNya. Maka kemusykilan syirik itu tertolak].

MENAFIKAN APA YANG DIISBATKAN UNTUK DIRINYA
Bahawasanya mustahil ada Qudrat, Ilmu, dan lainnya, daripada sifat-sifat walhal tidak ada Yang Berkuasa, Yang mengetahui, [Yang Mendengar, Yang Melihat dan seterusnya]; demikian pula mustahil adanya yang mengetahui, yang berkuasa, walhal tidak ada qudrat dan ilmu, kerana taalukan tiap-tiap satu daripadanya adalah seperti taalukan rakannya.

Firman Allah taala:

أنزله بعلمه

“Ia menurunkan [Qur’an itu] dengan IlmuNya”[1]

Dan firmanNya lagi:

وما تحمل من أنثى ولا تضع الا بعلمه

“Dan wanita itu tidaklah mengandung dari [kalangan] wanita itu dan tidak pula ia melahirkan [anaknya] melainkan dengan IlmuNya”.[2]

Dan firmanNya:

عنده علم الساعة

“Dan padaNya ada Ilmu berkenaan dengan Masa Kiamat” [3]

Dan firmanNya:

ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

“Dia yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kokoh” (Al-Dhariyat: 58)

Dan firmanNya:

والسماء بنيناها بأيد

“Dan langit Kami binakannya dengan Kekuasaan”.[5]

Yakni dengan Kekuatan (secara literalnya ‘dengan tangan-tangan’ [yang banyak]); maka Allah mensabitkan bagi diriNya Ilmu, Qudrat, maka wajib kita mensabitkannya bagi DiriNya itu [Sifat-Sifat demikian]. Maka apa yang Ia nafikan bagi DiriNya wajib kita menafikannya pula.

Firman Allah taala:

لم يلد ولم يولد

“Ia tidak melahirkan dan Ia tidak dilahirkan”.[6]

Kerana menafikan apa yang diisbatkan untuk DiriNya adalah sama seperti mensabitkan apa yang dinafikan olehNya bagi DiriNya pula. Dan itu mustahil; kalau tidak apa pula perbezaan dan tidak didapati jalan berlainan kepada yang demikian itu.

[1] Al-Nisa’: 165.

[2] Fatiir: 11.

[3] Luqman: 34.

[5] Al-Dhariyat: 47.

[6] Al-Ikhlas: 3.

BERSAMA SESUATU DARIPADA SIFAT-SIFAT

Ketahuilah bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu Hidup dengan Sifat Hayat, Berilmu dengan Sifat Ilmu, Berkuasa dengan Sifat Qudrat, Mendengar dengan Sifat mendengar, Melihat dengan Sifat Melihat, Berkata-kata dengan Sifat Berkata-kata, Kekal dengan Sifat Baqa’, dan sifat-sifat ini adalah sifat-sifat yang azali, wujud dengan zatNya, yakni bukan sebagai ’aradh atau sifat seperti sifat yang ada pada benda yang baharu, dan bukan baharu ada.

Ia telah dan terus menerus ada, bersifat dengan sifat-sifat demikian ini, dan tidak ada sesuatu daripada sifat-sifat makhluk yang menyerupaiNya dalam sifat-sifat demikian, sebagaimana zat-zat makhluk tidak menyerupai ZatNya.

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa tiap-tiap sifat itu sahlah ada zat yang bersifat dengan sifat itu, maka mustahil ada sifat itu tanpa ada zat [yang bersifat dengannya].

Demikian pula mustahil adanya apa yang disifatkan dengan hukum sifat itu walhal sifatnya tidak ada [yakni bendanya ada tetapi sifatnya tidak ada, itu mustahil].

SIFAT-SIFAT ALLAH YANG DI IJMAK

Allah wajib bersifat dengan Sifat-Sifat Hayat, mengetahui, berkuasa, berhendak, mendengar, melihat, berkata-kata, kekal

Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat Hidup, Mengetahui, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Kekal.

Dalil tentangnya ialah bahawa perbuatan-perbuatanNya itu teguh sempurna (muhakkamah), paling teliti penuh kemahiran (al-mutqanah), tersusun atas susunan yang paling sempurna dan lengkap, yang menunjukkan bahawa Ia keadaanNya Berkehendak.

Mustahil atasNya Kecelaan yang menghalang [Nya] daripada sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata, mustahil atasNya sifat-sifat bisu, tuli, buta, dan diam; [wajib atasnya ada sifat-sifat] yang menunjukkan IaNya hal keadaanNya mendengar, Melihat, Berkata-kata, keadaanNya Sediakala, Kekal, Berterusan wujudNya.

Firman Allah taala (وتوكل على الحي الذى لا يموت ) [yang bermaksud]:

“Dan bertawakallah kepada Tuhan Yang Maha Hidup, yang tidak mati-mati”.[1]

Firman Allah taala (ان الله على كل شيء قدير)[ yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.[2]

Dan firmanNya dalam ayat(لقد خلقنا الانسان فى أحسن تقويم) [yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian”.[3]

Dan firmanNya (فعال لما يريد) [dalam ayat yang bermaksud]:

“Ia melakukan apa yang dikehendakiNya”.[4]

[1] Al-Furqan: 58.

[2] Al-Ahzab: 27; al-Fath: 21.

[3] Al-Tiin: 4.

[4] Al-Buruuj: 16

Wassalam moga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...