Marhaban bikum...

18 August 2013

APA ITU JIHAD?

APA ITU JIHAD?
Akhir-akhir ini, jihad telah disalahertikan. Ia sudah dicemari padahal perkataan jihad itu sangat baik dan mulia sebab ia datang dari Tuhan, dari Rasulullah dan dari ajaran Islam yang sangat cantik, indah dan mulia. Jihad itu kalau dapat dilaksanakan dengan tepat, maka akan lahirlah syiar yang indah dalam kehidupan.

Malangnya sekarang jihad sudah dikotori oleh umat Islam sendiri. Bila dikatakan jihad, yang dibayangkan ialah bunuh orang, tembak dan bom sana sini, serangan berani mati, sabotaj dan lain-lain keganasan lagi sehingga hendak sebut perkataan jihad pun sudah malu dan rasa inferiority complex. Ini kerana orang bukan Islam sudah pandang serong dengan perkataan jihad. Umat Islam sendirilah yang sudah menyalahertikan jihad itu.


Erti jihad

Orang mengertikan jihad itu sebagai berjuang. Sebenarnya jihad bukan ertinya berjuang. Terpaksalah di sini dibahaskan dari segi lafaz atau bahasanya. Erti jihad yang asal bukannya berjuang. Cuma setelah dirumuskan intipatinya, barulah dikatakan berjuang.

TAKRIF Al-JIHAD MENURUT BAHASA

Al-Jihaad adalah Masdar dari fi'il Ruba'iy: Jaahada berdasarkan wazan fi'il yang bermakna Al-Mufaa'alatu min Thorfayin (Saling berbuat dari kedua belah pihak) seperti perkataan Al-Jidal yang bermakna Al-Mujaadalah masdar dari perkataan Jaadal . Dari fi'il Thulathi bagi perkataan Jihad adalah Jahida masdarnya Al-Jahdu artinya At-Thooqot (kekuatan), dan masdarnya Al-Juhdu artinya Al-Masyaqqot (jerih payah).

Dan didalam Lisanul Arab : dikatakan Al-Jahdu (Al-Jahd) artinya Al-Masyaqqot (jerih payah), dan Al-Juhdu (Al-Juhd) artinya At-Thooqot (kekuatan). Dan dalam Lisanul Arab juga terdapat perkataan Al-Jihaad maknanya : Istifrooghu maa fiil wus'i wattooqoti min qaulin aw fi'li (Mencurahkan segenap tenaga dan kekuatan baik berupa Ucapan maupun Perbuatan).

Penulis Munjid mengatakan: Jaahada Mujaahadatan wa Jihaadan artinya Badzala wus'ah (Mengerahkan tenaganya) dan asalnya: Badzala kullum minhumaa juhdahu fii daf'i shohibih (Masing-masing di antara keduanya mengerahkan kekuatannya dalam menolak pasangannya).
Dan didalam tafsir An-Naisabury : Dan yang shahih sesungguhnya Al-Jihaad adalah Badzlul Majhuudi fii Husuulil Maqshoudi (mengerahkan segala jerih payah untuk mencapai tujuan).
Dari beberapa makna bahasa diatas dapat diperoleh Ta'rif Lughowi yang merupakan hakikat lughowiyyah bagi perkataan Al-Jihaad yaitu: Al-Jihaadu Huwa Istifrooghul Wus'i fiil Mudaafa'ati Bayna Thorofaina Walau Taqdiiroon "Jihad adalah pengerahan kekuatan yang didalamnya saling tolak menolak antara dua kutub walaupun pada takdirnya (bukan pada zahirnya)."

Yang dimaksud dengan takdirnya ialah Jihadul Ihsan terhadap dirinya, yaitu: bahawa di dalam diri manusia itu ada dua kutub, ketika kedua keinginan yang saling berlawanan bertemu di dalam dirinya, maka masing masing berjihad untuk mengalahkan yang lain.


TAKRIF Al-JIHAD MENURUT ISTILAH SYARAK

"Bahawasannya Jihad itu jika dinyatakan secara mutlak tanpa qayyid maksudnya adalah Qital (Perang) dan mengerahkan kemampuan daripadanya untuk meninggikan kalimatullah. Dan ta'rif Jihad yang lebih mendasar dan lebih mencakup adalah yang dinyatakan dalam Mazhab Hanafi yaitu: Mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan berperang di jalan Allah SWT, dengan jiwa, harta dan lisan dan selain itu." (Al-Kisani, Badai'u Ash-Shanai'i 9/4299)

Ibnu Rusyd mengatakan: "Setiap orang yang meletihkan dirinya di dalam mentaati Allah, maka sungguh ia telah berjihad di jalanNya, kecuali bahawasanya perkataan 'Jihad fie Sabilillah' bila dinyatakan secara mutlak, maka dengan kemutlakannya itu tidak dapat diartikan selain dari: Memerangi orang orang kafir dengan pedang, hingga mereka masuk kedalam agama Islam atau membayar Jizyah dari tangan mereka, sedang mereka dalam keadaan hina." (Muqaddimah Ibnu Rusyd 1/369)

Dan perkataan 'fie Sabilillah' jika dinyatakan secara mutlak atas sesuatu perbuatan, yang dimaksud adalah Jihad yang maknanya Perang. Oleh karena itu kita lihat banyak para ulama penyusun berbagai kitab mencantumkan hadist-hadist yang mengandung perkataan 'fie Sabilillah' didalam bab-bab Jihad. Misalnya Hadist:
"Sesiapa yang berpuasa sehari fie sabilillah niscaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka 70 tahun perjalanan." (Fathul Bari no. 2840, Kitabul Jihad, Bab Fadlus Soum fie Sabilillah 6/47)

Untuk lebih menyakinkan kita rujuk kitab kitab: Shahih Bukhari, Sunan Nasai, Sunan Tirmidzi, At-Targhib wat Tarhib, dan lain-lain

Ibnu Hajar berkata: "Dan yang tidak memerlukan pemikiran yang panjang untuk memahami lafaz 'fie sabilillah adalah Jihad."

Perkataan jihad itu adalah berasal dari bahasa Arab iaitu dari perkataan jahada, yajhadu, juhdan, atau jahdan atau jihaadan. Maksud jahada ialah bersungguh-sungguh menggunakan tenaga. Erti jihad dari segi bahasa pula ialah bersungguh-sungguh yang termampu mungkin mengumpulkan semua kekuatan tenaga sama ada dalam diri (akal, roh, jiwa, fizikal) mahupun di luar diri (duit ringgit, kekayaan, aset dan sebagainya). Itu erti jihad.

Ahli bahasa mengambil intipati dan kesimpulan makna lalu dibuat istilah baru iaitu berjuang. Hingga akhirnya seolah-olah itulah istilah yang tepat bagi jihad. Istilah asalnya sudah tidak diketahui lagi. Maka kita pun terbawa sama, terpaksa mengikut trend mereka. Jika tidak, bila kita hendak mengajak berjihad, kita terpaksa berkata, “Mari kita bersungguh-sungguh kumpulkan tenaga.” Pelik pula bunyinya. Sebaliknya kalau kita kata, “Mari kita berjuang,” maka orang terus faham.

Seterusnya apa pula hubungkait erti jihad di atas dengan maksud jihad dalam erti yang kedua. Di sini kita bawa satu cerita sejarah. Pernah dalam satu pertemuan antara Rasulullah dan Sahabat berlakulah dialog yang lebih kurangnya begini:

Sahabat berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah seorang yang berjuang kerana marahkan sesuatu puak itu dikatakan jihad fisabilillah?”

“Tidak. Itu tidak termasuk jihad fisabilillah.”

“Apakah seorang yang berjuang kerana tunjuk berani itu jihad fisabilillah?” tanya Sahabat lagi.

“Tidak,” jawab Rasulullah.

“Apakah berjuang fisabilillah itu berjihad kerana bangsa?”

“Bukan.”

“Kalau begitu, ya Rasulullah, apa itu jihad fisabilillah?”

“Berjihad fisabilillah itu ialah berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah hingga menjadi tinggi. Jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah.”

Di sini baru kita faham, ajaran Allah atau ajaran Islam itu adalah dari satu kalimah iaitu: “Asyhadu allaa ilaaha ilallah wa asyhadu anna muhammadar rasulullah.”

Pintu Islam ialah kalimah syahadah. Maka siapa yang berjuang bagi meninggikan dua kalimah syahadah agar diterima orang, itulah berjuang. Bagi orang yang sudah syahadah, kita berjuang agar mereka mengekalkannya. Manakala orang yang belum syahadah, kita berjuang agar mereka mengucapkannya, ertinya sampai mereka masuk Islam. Ini baru takrif dari segi perkataan-perkataan, belum dihurai isinya yang lebih mendalam lagi.


Isi jihad

Syahadah itu adalah wadah. Ia ibarat bakul. Jadi apa yang kita hendak perjuangkan ialah apa yang ada dalam wadah itu. Kalau tidak ada wadah atau bakul itu, macam mana hendak masukkan barang. Ertinya segala-galanya bertolak dari kalimah syahadah.

Apakah isi bagi dua kalimah syahadah itu? Di sini kita ambil yang terpokok sahaja iaitu iman, Islam dan ihsan. Rupanya dalam bakul dua kalimah syahadah itu, isinya yang terpenting ada tiga yakni iman (aqidah), Islam (syariat) dan ihsan (hakikat atau tasawuf). Jadi umat Islam yang berjuang itu ibarat membawa bakul yang ada tiga benda tadi ke pasar, ke kampung, ke bandar.

“Mari, mari! Belilah apa yang saya bawa ini.”

Kita berjuang seolah-olah membawa bakul yang berisi iman, Islam dan ihsan itu lalu menjaja-jajanya. Kita pergi membawa mesej dari Tuhan untuk menyampaikannya kepada manusia secara percuma.

Iman itu pula, ia bukan seketul atau sebiji tetapi ia juga merupakan satu bekas yang di dalamnya mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan iman yang merupakan pakej iman. Di situ ada keyakinan dan sebagainya.

Bila dikatakan Islam, itulah syariat. Syariat pula tentulah banyak. Ada fardhu ain, fardhu kifayah, wajib dan sunat. Ada pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dakwah, pentadbiran dan lain-lain lagi.

Begitu juga ihsan. Di dalam bakul ihsan itu ada ilmu hakikat dan ilmu rasa. Yakni penghayatan kita pada Tuhan seperti rasa takut, redha, rasa hamba dan seterusnya.

Jadi orang yang berjuang; keluar dari pagi sampai petang baru pulang; dia membawa bakul maknawi yakni “Laa ilaaha illallah, muhammadur rasulullah”. Dalam bakul itu macam-macam pula isinya yang terdiri dari iman, Islam dan ihsan. Kalau hendak ditamsilkan orang berjuang itu, ibarat orang yang berjual ikan dan sayur. Pergi dari rumah ke rumah dan berkata: “Mari beli ikan. Mari beli sayur!” Maka orang yang berjuang pun hakikatnya menjaja juga. “Mari beli iman, Islam dan ihsan!”

Itulah erti jihad atau berjuang di jalan Tuhan. Selain itu, ia dikira berjuang pada jalan syaitan. Justeru itu mengapa berjuang sampai bunuh orang? Ledak bom sana sini. Itu syaitan yang ajar. Itu bukan mati syahid tetapi mati sakit. Berjuang ialah hendak beri sesuatu yang baik pada orang.
Natijah jihad

Bilamana kita sudah pandai menjaja ‘barang’ Tuhan dengan bijaksana dan dengan cara yang betul maka berebut-rebutlah orang membelinya. Bila orang membeli dengan pakejnya iaitu iman, Islam dan ihsan, maka nampaklah syiar-syiar Tuhan pada peribadi orang itu. Kalau berlaku pada satu kelompok manusia maka lagi terserlah syiar Tuhan pada kelompok manusia itu. Keindahannya dapat dilihat pada pendidikan, pada ekonomi, pada kebudayaan, pada pentadbirannya, pada ibadah dan pada akhlaknya. Nampak indah, nampak kebesaran dan kekuasaan Tuhan.

Apabila tiga pakej ini diterima dan dihayati, maka akan terserlah kecantikannya. Contohnya:

Dalam bidang pendidikan, guru dan murid hormat-menghormati. Guru bagaikan seorang ayah yang sangat sayang kepada anak-anaknya.
Dalam rumah tangga pula, nampak syiar Tuhan yang mana rumah tangga itu harmoni dan berkasih sayang. Hasil membeli barang Tuhan tadi, nampaklah anak hormat kepada ibu bapa, isteri taat, suami bertanggungjawab, sama-sama beribadah dan membesarkan Tuhan serta syariat-Nya.
Nampak pula syiar pada ekonomi di mana berlakunya tolak ansur, ada khidmat, ada kasih sayang antara satu sama lain, penjual perlu kepada pembeli dan pembeli perlu kepada penjual.
Nampak kehidupan yang begitu indah dan cantik. Nampak dalam masyarakat berlaku kasih sayang. Lahir perpaduan, kesatuan, kerjasama dan bekerjasama.
Begitu juga pada pentadbiran. Nampak indahnya pentadbiran.
Begitulah seterusnya di sudut-sudut lain, akan terserlah keindahannya kerana orang yang berjuang pada jalan Allah berjaya menjual barangnya kepada orang ramai iaitu iman, Islam dan ihsan. Ibarat orang dapat makan makanan berkhasiat, dia nampak sihat dan badannya kuat. Tidak terkena penyakit atau tidak sakit. Hidupnya selesa. Itulah yang dinamakan syiar.

Syiar dapat dilihat oleh mata pada keindahan hidup. Hasil orang berjuang menjual iman, Islam dan ihsan maka manusia atau masyarakat menjadi baik, berakhlak, berkasih sayang dan bersatu padu. Nampak syiarnya dan nampak kebesaran Tuhan. Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Barang siapa membesarkan syiar-syiar Tuhan, itulah dari hati yang bertaqwa.” (Al Haj: 32)

Jadi yang dikatakan jihad atau berjuang itu ialah supaya orang terima ajaran Tuhan yang tiga perkara tadi. Hasilnya orang nampak syiar Tuhan di tengah masyarakat. Natijahnya, barang siapa yang berjuang hingga nampak syiar Tuhan, itulah yang dikatakan berjuang di jalan Allah.

Berjuang di jalan Allah mana ada berbunuhan, pancung orang, ledak bom sana sini bahkan perkataan yang kasar pun tidak ada. Kalau cakap kasar, tidak akan laku iman, Islam dan ihsan yang kita jual itu. Kalau kita jual dengan sombong, angkuh, ganas, tanpa akhlak dan tidak jaga lidah, macam mana Islam hendak laku? Orang tidak akan terima agama Tuhan yang begitu cantik itu jika kita berjuang dengan ganas, secara militan dan tidak ada akhlak.

Jadi berjuang pada jalan Tuhan itu ialah hendak bangunkan syiar Tuhan. Supaya syiar itu berlaku dalam kehidupan, dalam ibadah, dalam ekonomi, kebudayaan dan masyarakat. Hari ini orang berjuang; sekalipun atas nama jemaah Islam; tidak nampak syiar Tuhan itu. Tidak nampak hasilnya seperti ibadahnya berdisiplin, berkasih sayang, lahir perniagaan atas dasar khidmat dan bertolak ansur dan lain-lain. Sebab mereka menjual barang Tuhan dengan ganas, menzalim, menindas dan kasar. Akibatnya barang Tuhan tidak laku.


Peringkat jihad

Jihad atau berjuang itu banyak peringkat. Di antaranya:

Jihad kepada orang kafir supaya dia terima dua kalimah syahadah dan masuk Islam. Selepas itu dididik berasur-ansur supaya meningkat iman, Islam dan ihsannya sehingga lahirlah syiar-syiar dalam kehidupannya. Tidaklah berjuang dengan orang kafir itu sampai hendak bunuh dia.
Terhadap orang Islam, iaitu setelah mereka terima pakej iman, Islam dan ihsan itu, mungkin mereka jahil. Mungkin mereka tidak tahu bagaimana hendak amalkan. Maka berjuang terhadap orang Islam adalah agar mereka dapat sempurnakan amalan ketiga-tiga pakej itu. Dalam kata-kata lain, berjuang terhadap orang Islam adalah agar meningkat Islam mereka.
Ada dua lagi perjuangan yang tidak nampak iaitu perjuangan terhadap nafsu dan perjuangan terhadap syaitan. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, erti jihad itu ialah bersungguh-sungguh mengumpulkan tenaga. Bagaimana tenaga itu hendak dijadikan alat. Kalau nafsu, bagaimana hendak menggunakan tenaga itu untuk membendung nafsu ammarah sehingga meningkat jadi lawwamah. Setelah itu hendak bendung nafsu lawwamah itu hingga menjadi mulhamah dan seterusnya.
Begitu juga kita menghimpunkan tenaga bersungguh-sungguh untuk membendung pengaruh syaitan. Pengaruh syaitan ini lebih mudah diperangi. Yakni setelah nafsu dapat diperangi, dapat ditundukkan, maka automatik jalan syaitan dapat ditumpaskan. Apabila nafsu ditumpaskan, mudahlah untuk membendung syaitan sebab nafsu itu highway bagi syaitan. Kalau highway sudah ditutup, syaitan tidak boleh melaluinya. Begitulah caranya berjuang terhadap nafsu dan syaitan.

Kalau begitu, fahamlah kita bahawa erti jihad itu ialah menegakkan kalimah Allah, yang mana kalimah Allah ada tiga perkara asas iaitu iman, Islam dan ihsan. Daripada tiga perkara itu dipecahkan menjadi banyak lagi dan diperjuangkan hingga orang terima. Bila orang terima dan orang amalkan maka lahirlah dalam kehidupan keindahan-keindahan Islam, yakni syiar-syiar Islam yang Tuhan kata: “Barang siapa membesarkan syiar-syiar Tuhan, itulah dari hati yang bertaqwa.”

Berjihad sama sekali tidak ada kaitan dengan militansi. Kita berjuang tidak ada hubungan dengan perang. Cuma bilamana kita berjuang seperti yang dikatakan tadi maka kalau ada orang yang hasad dengki, dia akan memerangi kita. Bukan kita yang undang, tapi orang lain yang undang.

Jadi perang itu kalaupun berlaku bukan dari kita tetapi musuh yang mengundang. Bukan salah kita tetapi salah musuh. Dalam berhadapan dengan musuh itu pun terbahagi kepada dua. Kalau dia undang perang, kita tengok dulu kekuatan kita. Kalau kita masih lemah, kita elak dulu.

Macam Rasulullah, masa masih lemah, baginda tidak lawan. Sebaliknya baginda menyuruh Sahabat-Sahabat berpindah dari Mekah ke Habsyah dan baginda sendiri pernah pergi ke Thaif.

Begitu juga sewaktu berhijrah ke Madinah, umat Islam masih lemah lagi. Setelah ada kekuatan, bila orang undang perang, baru Rasulullah berperang. Selagi belum ada kekuatan, baginda elak dulu. Sebaliknya sekarang, kita yang undang orang perang. Kalau kita kuat boleh tahan tapi kita cuma guna batu dan lastik, hendak melawan musuh yang ada kereta kebal!

Itulah gambaran erti jihad atau erti berjuang. Cantik dan indah tetapi ulama pun sudah tidak faham. Berapa ramai orang hari ini yang berjuang secara militan. Manakala yang tidak militan pula, hasilnya tidak ada. Dia memperjuangkan hak orang, dia kata dia perjuangkan Islam. Dia perjuangkan ideologi, dia kata dia perjuangkan Islam. Dia perjuangkan kefahaman ciptaan manusia dan isme, dia kata dia perjuangkan hak Tuhan. Kedua-duanya tidak betul. Kedua-duanya tidak akan menghasilkan apa-apa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...