19 July 2013

Kerasukan Di Bulan Ramadhan

Kerasukan Di Bulan Ramadhan


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Bulan yang Allah sediakan begitu banyak pahala untuk direbut umat Islam melalui setiap ibadat, sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud:
“Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” - HR al-Baihaqi

Betapa besarnya kelebihan Ramadan sehinggakan  tidur pun dianggap ibadat. Pada bulan inilah diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan digandakan pahala amalan pada malam tersebut.
Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat. Puasa juga boleh mengeluarkan kotoran, toksin atau racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru. Dengan berpuasa juga dapat memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan daya tahan tubuh secara semulajadi.

Di bulan ini juga Allah SWT menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya pada bulan mulia ini. Pada bulan inilah pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa, paling penting kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas pada Ramadan kerana berpuasa dapat menghalang manusia daripada melakukan kejahatan.
Syaitan juga tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Namun persoalannya ialah, bagaimana dibulan yang penuh kemuliaan ini masih berlaku kes-kes kerasukan? Sedangkan dalam hadis Nabi SAW ada bersabda:
 “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai / dibelenggu para syaitan.” - HR al-Bukhari dan Muslim

Pengalaman saya di Pusat Rawatan Islam selama 10 tahun dalam menangani kes-kes kerasukan mendapati ketika bulan Ramadhan kejadian rasuk kerap berlaku. Malah terdapat kerasukan dimana pesakit bertindak sangat agresif sedangkan pada ketika itu pesakit berpuasa!
Kerasukan
Di rencana saya yang lepas,  saya ada menyentuh mengenai isu kerasukan atau histeria. Dari aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan  adalah disebabkan oleh gangguan mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa kepada halusinasi atau ''halusination''. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak  ganas.

Daripada perspektif perubatan islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.

Hakikat Penciptaan Jin
Bagi menjelaskan perkara yang berkaitan dengan kejadian gangguan kerasukan ini. Eloklah kita menyelusuri hakikat penciptaan jin serta sejarah kejadiannya.
Kewujudan jin adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan kerana ia juga termasuk makhluk ciptaan Allah SWT. Tujuan penciptaannya juga adalah sama sebagaimana tujuan penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku” - Surah Az-Zariyat:56

Bersandarkan kepada Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW menyatakan beberapa jenis jin yang bertebaran di muka bumi ini iaitu

**Iblis merupakan ketua atau bapa kepada seluruh jin dan syaitan
**As-Syaitan iaitu syaitan-syaitan yang membisikkan kejahatan
**Al-Maraddah membisikkan perasaan agar manusia merasa ragu-ragu atau was-was
**Al-‘Afrit melaksanakan tipu daya
**Al-A’waan merupakan pelayan-pelayan
**At-Tayaruun iaitu jin-jin yang berterbangan
**Al-Ghawaasuun jin-jin yang tinggal di dalam air
**At-Tawaabi iaitu kuncu-kuncu atau pengikut-pengikut setia
**Al-Qurana iaitu pengawan-pengawan
**Al-Ummaar iaitu pemakmur

Daripada jenis-jenis tersebut,ada dikalangannya yang beriman dan taat kepada perintah Allah malahan tidak melakukan sebarang kejahatan khususnya kepada manusia.
“Dan sesungguhnya diantara kami ada yang soleh dan diantara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza" - Surah Al-Jinn:11

Jika sekiranya golongan jin ini mentaati Allah SWT, maka mereka akan diberi ganjaran di akhirat kelak. Begitulah sebaliknya jika mereka yang ingkar maka selayaknya balasan azab yang pedih menanti di hari pembalasan.   
“Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongan sendiri); hinggalah apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat kali ganda daripada (azab) neraka”. Allah berfirman:”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui.” - Surah al-A’raf:38

Menurut Syeikh Jadul Haq (bekas Syeikh Al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan kerosakkan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka adalah dari kalangan jin juga.

Sejarah Iblis
Firman Allah SWT:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:   Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…” - Surah al-Kahfi: 50

Iblis turut dikenali dengan nama Azazil. Sebelum penciptaan Nabi Adam a.s. Azazil merupakan imam kepada para malaikat. Riwayat menceritakan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat:
“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”.

Menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Luh Mahfuz itu adalah dirinya. kemudian diberitakan kepada para malaikat, menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat.  Azazil pun mendoakan kepada seluruh malaikat dengan doa :
“Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”
Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. 

Ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam.  Maka para malaikat sujud tunduk kepada perintah Allah melainkan Iblis. 
Dia menolak, kerana merasakan bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam.

Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :- 
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada makhluk yang Engkau ciptakan dari tanah?”. - Surah al-Isra’:61

Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi. Maka Azazil dihalau keluar dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya. Firman Allah SWT: 
Dia (Iblis) berkata: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orang yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, pasti aku akan sesatkan  keturunannya, kecuali sebahagian kecil”. - Surah al-Isra’:62

Iblis telah berjanji untuk menyesatkan anak cucu Adam. Justeru, gangguan daripada Iblis dan tentera-tenteranya akan terus berkesinambungan sehinggalah ke hari kiamat kelak. Maka mohonlah perlindungan daripada Allah taala agar kita terhindar daripada kejahatan dan gangguan mereka.

Syaitan yang Dirantai
Dari sudut pandangan Islam, para Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud hadis tentang syaitan yang dirantai ketika bulan Ramadhan.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang dimaksudkan dengan syaitan yang dirantai itu ialah para syaitan tidak dapat menggoda umat Islam sepertimana di luar bulan 
Ramadhan disebabkan umat Islam melaksanakan ibadah berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat. Di bulan ini juga umat islam sibuk dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti membaca al-Quran dan berzikir.

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa ianya hanyalah satu ‘majaz’ atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Namun beliau tidak menolak bahawa syaitan benar-benar dirantai.

Menurut pandangan Imam As-Syafie pula, “hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas , kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan Ramadhan”.

Kesimpulan daripada pendapat-pendapat tersebut, jin dan syaitan masih lagi dapat mengganggu manusia dibulan ramadhan ini. Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan serta tipu dayanya.

Penutup
Puasa adalah suatu ibadat ‘tazkiyah al-nafs’, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani. Ia dapat meningkatkan nilai taqwa di sisi Allah SWT. Nilai ketaqwaan inilah yang dapat menghindarkan kita daripada gangguan makhluk-makhluk halus. Apabila kita berpuasa jiwa kita menjadi kuat sehingga dapat menakluk nafsu. Ini adalah kerana apabila lemah kekuatan badan, kita dapat mengawal lidah, hati (fikiran) dan anggota-anggota tubuh badan kita dari melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat. Puasa memiliki fungsi untuk menghidupkan hati atau jiwa yang lemah diperkudakan nafsu. Kerana nafsu merupakan sasaran syaitan yang ampuh dalam usaha merosak dan menyesatkan umat manusia.

Berikut surah-surah amalan bagi mengelakkan diri dari gangguan kerasukan:-
Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118

Jadikanlah Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan amal ibadah kita kepada Allah SWT dan istiqamah dilakukan dibulan-bulan yang lain juga. Begitu pula dengan amalan berpuasa, jadi ia sebagai rutin hidup kita. Selain dapat mengamalkan sunnah, kita juga dapat memelihara kesihatan tubuh badan kita daripada pelbagai jenis penyakit dan terhindar dari kerasukan! Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...