12 June 2012

Siapa ulama’ yang jahat?
http://dupahang.files.wordpress.com/2010/01/daulat.jpg?w=280&h=187
Dalam  ayat 27-28 dari Surah Fathir. Pada ayat 28 dinyatakan oleh Allah bahawa:
“Sesungguhnya manusia yang paling takut kepada Allah di kalangan hambaNya adalah para ulama”.
Kami saling berkongsi pandangan mengenai ta’arif ulama’. Ianya perlu diteliti dengan baik berikutan berlakunya fenomena pada hari ini adanya orang yang baru memahami sebuah dua kitab atau ilmu, lalu sudah mengaku sebagai ulama’ atau berlagak seperti ulama’ dalam berkomentar atau mengemukakan pandangan.
Kedua, munculnya manusia yang memang dikenali sebagai ulama’, namun gerak langkahnya tidak menggambarkan langsung beliau adalah ulama’.
Giliran saya memberi pandangan, saya katakan bahawa ayat 28 Surah Fathir ini sebenarnya sudah cukup untuk kita jadikan asas dalam membuat penilaian siapakah itu ulama’. Ada dua hal penting dari ayat ini yang bisa kita dapatkan.
http://dupahang.files.wordpress.com/2010/01/qardhawi.jpg?w=645
Pertama, kalimah ‘ulama’ telah memberi pengertian ‘seorang yang berilmu’ dalam bidang agama. Bahagian-bahagian agama itu sangat banyak seperti Tafsir, Hadith dan seumpamanya. Jika kealimannya khusus dalam bidang Tafsir, maka ia disebut sebagai ulama’ Tafsir. Begitulah pada ilmu-ilmu lain. Memanglah jelas perbezaan antara para ulama’ yang hidup hampir dengan zaman Nabi s.a.w dan ulama’ yang hidup pada zaman ini. Semakin dekat mereka dengan zaman Nabi, maka semakin pakarlah mereka dalam semua hal-hal keagamaan. Tidak hairanlah jika seorang ulama pada saat itu bukan hanya alim dalam satu bidang, tetapi juga dalam bidang-bidang lain. Merekalah ahli Ushuluddin, mereka jugalah ahli Tafsir, ahli Fiqh dan sebagainya.
http://dupahang.files.wordpress.com/2010/01/w.jpg?w=645
Apabila disebut alim, ia bukanlah sebatas mengetahui sesuatu ilmu itu secara umum begitu sahaja, tetapi mahir, pakar dan benar-benar menguasai ilmu tersebut. Datang sebuah masalah, ia mampu memberikan jawapan yang baik hasil dari ilmu yang dipelajarinya. Inilah yang disebut ulama’ yang faqih. Alim dan Faqih adalah 2 hal yang berbeza. Namun, jika seorang ulama’ tidak dapat menjawab sesebuah masalah,bukanlah status sebagai ulama’ tersebut kita nafikan pada dirinya kerana ilmu yang berada pada diri mereka hanyalah dari beberapa titisan ilmu-ilmu Allah sahaja. Maka wajar sahaja ada hal yang tidak mampu mereka berikan jawapan.
Kedua, syarat untuk layak disebut sebagai ulama’ adalah takutkan Allah. Walaupun anda alim yang faqih sekalipun, namun tidak ada taqwa, disisi Allah anda tidak layak disebut ulama’ walaupun manusia seluruhnya memanggil anda ulama’. Takut kepada Allah bagi seorang ulama’ ada dalam beberapa hal.
Antaranya, mengeluarkan pandangan atau fatwa benar-benar kerana Allah dan untuk kepentingan Islam, bukan pandangan atau fatwa kerana takutkan individu-individu tertentu atau kelompok-kelompok tertentu atau untuk menagih sesuatu habuan dari sesiapa. Selain itu, takut pada Allah bagi seorang ulama’ adalah sentiasa hidup dalam keadaan amanah kepada ilmu dengan cara beramal dengan ilmunya dan memperjuangkan kebenaran ilmu tersebut agak manusia benar-benar menerimanya sebagai panduan kehidupan.
Apabila disebut ulama’, ia juga diakui ilmunya oleh para ulama’ lain iaitu ulama’ yang benar-benar takutkan Allah. Ia juga diakui amanah dalam ilmunya. Ia juga diakui baik urusan amal ibadahnya. Yang mengakui hal-hal ini bukan datang dari orang awam biasa semata-mata, tetapi juga dari orang-orang yang sholeh dikalangan para ulama’ juga. Ulama’ tidak boleh sekadar alim, tetapi wajib bekerja bersama perjuangan Islam. Inilah yang disebut ulama’ul Amilin. Bukan sekadar alim, tetapi berani mempertahankan kebenaran.
Maka, bagi saya, istilah ulama’ kerajaan adalah sebuah istilah baru yang dimunculkan pada zaman ini bagi menggambarkan ulama’-ulama’ yang jahat kerana takut menyatakan kebenaran. Istilah ini tidak ada pada zaman lalu. Yang disebut di dalam Hadis Nabi s.a.w adalah ‘ulama us-Suu’ iaitu ulama yang jahat, bukan ulama’ kerajaan.
Manakan tidak, dizaman khalifah-khalifah Islam, berapa ramai ulama yang berkhidmat di bawah kerajaan mereka. Jadi, ulama’ us-suu’ bukan kerana berkhidmat bersama kerajaan, tetapi kerana tidak melaksanakan kebenaran baik mereka berada di kerajaan atau tidak bersama kerajaan pun.
http://dupahang.files.wordpress.com/2010/01/q.jpg?w=645
Tetapi, kebiasaannya, memang ulama’ us-suu’ itu bersama kerajaan kerana agak sulit lagi saat ini untuk bertemu kerajaan-kerajaan yang memerintah sebagaimana para khalifah dahulu yang meletakkan ulama’ sebagai penasihat mereka dalam pemerintahan dan sebagai guru kepada mereka. Inilah yang dilaksanakan oleh Harun Ar-Rasyid (Abbasiyyah) dan Khalifah Abdul Hamid II (Uthmaniyyah) saat menjadi khalifah.
Bukan seperti hari ini ulama yang sangat melampau mengampu pemerintah baik ulama’ di Mesir yang memfatwakan halal membina tembok antara Ghazzah, Palestin dengan Negara Mesir sehingga menderita umat Islam di Ghazzah dan ulama’-ulama’ di Saudi yang bersama pemerintah sehingga sanggup mengiyakan tindakan pemerintah menahan para pejuang Islam asal Saudi yang berjihad di Afghanistan dan lain-lain di penjara-penjara mereka dengan label terroris atau di mana-mana sahaja dunia Islam.

Dicatat oleh Muhammad Fadhlullah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...