11 March 2024

Tingkat-tingkat nafsu

Nafsu itu memang ada dalam diri setiap diri manusia. Ia adalah anugerah daripada Allah SWT  dalam menangani kehidupan sebagai hamba Allah sebagaimana Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir dan merencana kehidupan.

Nafsu ini sememangnya ada dalam kita untuk kita menjalani aktiviti seperti makan, minum dan berkahwin. Cuma, yang menjadi kebimbangan adalah tingkat kawalan kita terhadap nafsu yang wujud dalam diri kita.

Nafsu ini sering terkait dengan perbuatan jahat sedangkan kita tahu sebenarnya nafsu ini mempunyai banyak tingkatnya. Sebagai manusia biasa kita sering leka sehingga terus melakukan kesilapan demi kesilapan. Oleh itu, amat baik kalau kita dapat memahami tingkat-tingkat nafsu agar kita sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Ar-Ra’d 13:33)

  1. Nafsu Ammarah

Nafsu yang mesti dikalahkan ialah nafsu ammarah, iaitu nafsu yang sangat jahat. Nafsu inilah yang mendorong manusia kepada kejahatan. Orang yang memiliki nafsu ini akan berasa bangga kerana dapat melakukan dosa. Bahkan berlumba-lumba dengan orang lain untuk menunjukkan siapa yang paling banyak berbuat maksiat. Allah SWT telah menyatakan tentang sifat nafsu ammarah itu kepada kita dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf 12:53)

Nama ini diambil daripada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai pengakuan Zulaikha (Imratulaziz) atas kesalahan dan kesediaannya membuat pengakuan yang Yusuf bersih daripada sebarang keburukan dan kesalahan.

Ia adalah nama bagi nafsu di tahap paling rendah. Diri di tahap ini disifatkan al-Quran sebagai yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan.

Maksudnya diri manusia dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan sehingga manusia menjadi hamba nafsu, bahkan menjadikan nafsu sebagai Tuhan yang ditaati.

Manusia yang memiliki akhlak serendah ini baginya nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting.

Cuma yang penting baginya ialah yang dapat memenuhi kehendak nafsunya saja. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.

Diri dalam peringkat terendah inilah yang diistilahkan oleh ahli kerohanian Islam sebagai ‘nafsu’.

 

  1. Nafsu Lawwamah

Apabila nafsu Ammarah itu dapat dikalahkan, ia akan berubah kepada satu tahap yang bernama Lawwamah. Orang yang di peringkat ini sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tidak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Ini peringkat orang yang baru dapat hidayah, baru insaf. Nafsu ammarah telah dapat diatasi.

 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” (Al-Qiaamah 75:2)

Ketika ini timbul perebutan antara nafsu dan akal. Nafsu mengajak kepada kejahatan, akal mengajak kepada kebaikan. Orang yang memiliki nafsu lawwamah belum dapat membuat keputusan untuk berbuat baik. Ia seperti daun lalang, ikut ke mana arah angin bertiup. Tidak ada kekuatan untuk meninggalkan maksiat, dia boleh melakukan kejahatan lagi sesudah ia berbuat baik. Kadang-kadang ke tempat ibadah, kadang-kadang ke tempat maksiat, hatinya selalu merintih kepada Allah bila tidak dapat melawan nafsu untuk membuat maksiat. Atau tidak dapat istiqamah dalam berbuat kebaikan.

Nafsu lawwamah inilah yang perlu dididik atau ditarbiyah. Peringkat ini perlu teruskan mujahadah, lawan nafsu. Tolak kehendak-kehendak yang jahat, yang disukai nafsu walaupun jiwa rasa menderita. Memanglah sakit, maklumlah melawan nafsu sama seperti melawan diri sendiri.

Nafsu lawwamah ini diatasi dengan menambah ilmu, khususnya ilmu fardhu ain. Dengan ilmu itu dapat menyuluh mana halal, mana yang haram, mana yang berpahala, mana yang berdosa. Mana jalan ke syurga, mana jalan ke neraka.

Bila sudah ada ilmu, sudah mula beramal sedikit-sedikit, nafsu mula terdidik, jadi baik sedikit dari sebelumnya. Nafsu yang agak baik ini dinamakan nafsu Mulhamah.

  1. Nafsu Mulhamah

Dalam Al Quran, Allah ceritakan hal nafsu mulhamah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu, jalan kejahatan dan ketaqwaan.” (Asy-Syams 91:8)

Di peringkat ini rupanya baru nampak jalan untuk menuju Allah. Allah tunjukkan jalan. Ini cara Allah hendak jadikan seseorang itu baik.

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Al-An’aam 6:125)

Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu mulhamah ini? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di syurga. Kerana itu perlu belajar tentang syurga dan neraka, ia dapat membantu orang yang bernafsu mulhamah ini bermujahadah.

Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah, sifat keji. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Dia tahu dirinya ada sombong, riak, pemarah, dendam, hasad dengki. Cuma tidak mampu lawan. Belum cukup kekuatan. Dalam pada itu, dia cuba beribadah dengan sabar.

Bagaimana hendak melawan penyakit hati yang ada dalam orang yang berada di peringkat nafsu mulhamah ini? Oleh kerana ia didorong oleh nafsu dan syaitan, kenalah amalkan zikir-zikir dan wirid-wirid tertentu, sebab syaitan dan nafsu hanya takut pada tuannya saja iaitu Allah SWT. Bila kita sentiasa berwirid dan berzikir, baru dapat merasai Allah sentiasa melihat kita. Boleh juga banyakkan membaca Al Quran.

Bila penyakit-penyakit hati, segala sifat mazmumah yang terkeji itu sudah tiada lagi, barulah Allah datangkan satu rasa kemanisan dalam hatinya dalam beribadah juga berbuat baik, dan akan timbul rasa benci dengan kejahatan. Itu petanda dia telah meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik lagi iaitu nafsu Muthmainnah, atau nafsu yang tenang.

 

  1. Nafsu Muthmainnah

Orang yang memiliki nafsu muthmainnah, Allah ceritakan sifatnya dalam Al Quran:

“Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” [Al Fajr : 27-30]

Hamba Allah yang sebenarnya ialah mereka yang telah sampai kepada nafsu muthmainnah. Allah iktiraf mereka sebagai hambaNya. Sebelum itupun hamba juga. Cuma hamba yang menyembah Allah kerana dipaksa, bukan atas dasar keredhaan. Hamba Allah yang sebenar, mereka redha dengan Allah, dan Allah juga redha kepada mereka, kerana itulah mereka ini dijemput Allah untuk masuk ke syurga. Nafsu muthmainnah inilah nafsu ahli syurga.

Mari kita kenali, bagaimana sifat orang-orang yang mencapai nafsu muthmainnah ini? Iaitu bila dia buat amal kebajikan rasa sejuk hatinya, tenang dan puas. Selalu rasa rindu nak buat kebajikan, mereka senantiasa menunggu waktu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itu mereka sanggup bangun awal di tengah malam, ternanti-nanti waktu Subuh. Ternanti-nanti saat pertemuan dengan Allah. Sementara menanti itu mereka isi waktu itu dengan zikir dan solat sunat dengan rela, sungguh rela, bukan terpaksa.

Hati mereka senantiasa rindu dengan Allah, bila dia baca ayat Allah yang ada kaitannya dengan neraka, dia rasa takut, cemas, hingga ada yang pengsan, kadang-kadang ada yang mati. Mereka takut dengan dosa, seolah-olah gunung akan menimpa kepalanya. Bila berkorban di jalan Allah berhabis-habisan, baru rasa puas hatinya. Senantiasa rasa cemas dengan maksiat dan cuba cegah habis-habisan.

Mereka yang mencapai muthmainnah ini, ia akan bersabar dengan ujian dari Allah kepada dirinya. Doanya mustajab, Allah cepat kabulkan, rezekinya terjamin, dijamin oleh Allah. Bila selalu diuji dia sabar, akhirnya ia sudah boleh redha dengan ujian. Hasil dari kesabaran dan keredhaan dalam hatinya, maka ia akan meningkat kepada nafsu yang kelima iaitu nafsu Rodhiah.

Kalau boleh sampai ke tahap muthmainnah inipun sudah cukup, sudah dikira dalam golongan bertaqwa. Sudah Allah sahkan sebagai hambaNya yang dijemput ke syurga, apatah lagi jika dapat mencapai tahap nafsu yang lebih baik, iaitu nafsu Rodhiah.

Setakat ilmunya bolehlah cerita, untuk mencapainya kenalah minta tolong dengan Allah saja, moga disampaikan ketahap itu. Kerana ini peringkat nafsu yang dimiliki para wali-wali Allah, orang yang sangat hampir dengan Allah.

 

  1. Nafsu Rodhiah

Pernahkah dengar, ada orang yang kematian anak, mengucap syukur kepada Allah, berkata Alhamdulillah. Pernahkah kita dengar ada orang yang tidak terpilih ke medan perang, menangis dan bersedih?

Biasanya jika orang kematian anak, pastilah menangis. Begitu juga kalau tidak terpilih ke medan perang, patutnya gembira, kerana masih boleh tinggal bersenang lenang dengan keluarga.

Tetapi, itulah sifat orang yang telah mencapai tahap nafsu rodhiah. Mereka redha terhadap apa yang Tuhan redha, terhadap apa yang berlaku dalam hidup mereka.

Pernah terjadi dalam sejarah, seorang ibu bila orang membawa berita tentang anaknya yang gugur di medan jihad, dia rasa gembira, kerana Allah telah pilih anak-anaknya menjadi ahli syurga. Anak yang syahid itu boleh memberi syafaat kepadanya di akhirat nanti. Begitu jauh pandangan mereka tentang akhirat, kerana itu mereka boleh redha dengan ketentuan Allah SWT.

Di segi amalan, walau sekecil-kecil tentang larangan, ia akan tinggalkan sungguh-sungguh, bagi dia apa yang makruh, dia anggap macam haram, yang sunat dia anggap macam wajib. Kalau tidak buat yang sunat seolah-olah rasa berdosa.

Mereka, dalam beribadah kepada Allah, khususnya Al Quran, bukan sekadar sedap membaca, bahkan sedap beramal. Sudah terasa lazat dalam beribadah. Akhlak mereka terpuji di sisi Allah.

Mereka mampu memberi maaf ketika berkuasa. Satu peristiwa, sahabat Rasulullah yang memiliki hamba, suatu hari hambanya membawa dulang yang berisi daging kambing, tiba-tiba pisau yang terletak di atas dulang terjatuh di kepala anaknya yang sedang merangkak dan terus mati. Dalam keadaan demikian hamba tadi merasa takut, maka kata sahabat tadi, “Bertenanglah kamu, anak itu Allah punya, Allah ambil balik, maka pada hari ini aku memerdekakan kamu.”

Tiada siapa yang boleh berbuat demikian kecuali mereka yang memiliki nafsu rodhiah. Mereka akan rasa menderita bila sahabat terjerumus kepada dosa. Mereka akan doakan khusus untuk sahabatnya di malam hari agar terselamat dari maksiat.

Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah untuk memimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasihat-nasihatnya tepat. Mereka ini, jika dihalau dari masyarakat oleh pemerintah, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.

Memang amat payah kita mencapai tahap mereka itu, tetapi kita tetap disuruh berusaha ke arah itu, kerana itulah hakikat ajaran Islam yang sebenar. Mintalah kepada Allah.

  1. Nafsu Mardhiah

Jika nafsu mardhiah, sudah tentu lebih hebat lagi. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Allah. Allah redha dengan apa saja yang mereka buat. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Allah, mendengar dengan pendengaran Allah, berkata-kata dengan kata-kata Allah.” Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Allah lakukan.

  1. Nafsu Kamilah

Yang akhir sekali, nafsu kamilah iaitu nafsu yang paling sempurna di sisi Allah. Amat dikasihi oleh Allah. Manusia biasa tidak mampu sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya sekadar peringkat keenam saja iaitu mardhiah. Ini sudah bertaraf wali besar.

Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham bagaimana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia yang benar-benar hamba Allah.

Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah ulama mana sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Yang banyak diceritakan suruh kawal nafsu. Di bulan Ramadhan disuruh kawal nafsu makan agar jangan berlebihan, atau kawal nafsu seks di siang hari, takut terlajak. Itu sahaja yang dicerita dalam tazkirah-tazkirah Ramadhan. Jarang kita dengar alim ulama cerita, nafsulah yang membawa masalah dalam kehidupan seharian.

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa nafsu sahaja yang saya ceritakan? Bagaimana Syaitan? Kedua-duanya, nafsu dan syaitan Allah tetapkan sebagai jahat dan musuh, tetapi dalam nisbah 1:3. 1 untuk syaitan, 3 untuk nafsu. Maknanya kejahatan nafsu 3 kali lebih dari syaitan. Sebab itu di bulan Ramadhan yang syaitan dibelenggu, tetap banyak kes-kes maksiat dan jenayah.

Nafsu adalah musuh dalam diri. Bahkan ia sebahagian daripada diri manusia. Ia adalah jismul latif (jisim yang tidak dapat dilihat). Ia sebahagian daripada badan tetapi ia perlu dibuang. Jika tidak dibuang ia musuh, hendak dibuang ia sebahagian daripada diri. Oleh kerana itu sangat sulit untuk melawan hawa nafsu. Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan. Ini diterangkan oleh hadis Rasulullah ﷺ yang maksudnya :

“Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikuti aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan melalui lapar dan dahaga.”

Ini menunjukkan syaitan dapat dilawan dengan melawan hawa nafsu secara mengurangi makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan adalah besar. Syaitan dapat lorong (peluang) yang amat luas untuk merosak manusia jika nafsu tidak terdidik.

Menghalau atau mengalahkan syaitan tidak dapat ditiup atau dijampi-jampi. Tetapi didiklah hawa nafsu, nescaya syaitan akan sukar untuk mempengaruhi diri. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus.

Yang boleh dijampi dengan ayat-ayat Quran ini ialah bila syaitan merosak jasad lahir manusia. Jika ini terjadi, syaitan boleh dilawan dengan ayat Kursi, surah An Naas atau lain-lain. Memang ada nas yang menyatakan demikian.

Tetapi jika syaitan merosak hati, jampi-jampi itu tidak dapat digunakan lagi tetapi hendaknya didiklah hawa nafsu. Sedangkan bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, pada syaitan tidak usah ambil pusing sangat tetapi didiklah nafsu, bermujahadahlah. Jika nafsu tidak terdidik maka mudahlah jalan syaitan mempengaruhi kita. Oleh kerana itu perangilah nafsu nescaya secara automatik akan terhindarlah dari syaitan.

Sumber. yadim

10 March 2024

FIQAH PUASA 5

Bahagian 5
RUKUN-RUKUN PUASA
Bermula rukun-rukun puasa itu ada dua yaitu niat dan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dan sebahagian fuqahak menghitung rukun-rukun puasa itu ada tiga yaitu tambah satu lagi yakni orang yang berpuasa.
Berikut diterangkan rukun-rukun puasa secara ringkas :
1. NIAT
Yaitu menqasadkan dengan hati hendak berpuasa dan tidak memadai dengan hanya melafazkannya pada lisan tanpa ada niat di dalam hati dan tidak mengapa niat didalam hati sahaja tanpa melafazkannya pada lisan.
Berkata olih Dr Mustafa Al-Bugha :
وهي قصد الصيام، ومحلها القلب، ولا تكفي باللسان، ولا يشترط التلفظ بها
Artinya : “Dan niat itu artinya qasad (menyahajakan) akan berpuasa dan tempat niat itu ialah hati dan tidak memadai dengan hanya melafazkan pada lisan dan tidak disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
DALIL WAJIB BERNIAT
Telah diriwayatkan dari Umar Al-Khattab r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Artinya : “Hanya sungguhnya segala amal itu ialah dengan niat.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Berkata Imam Ibnu Al-Mulaqqin :
ذهب الشافعي ومالك وأحمد وداود وجمهور أهل الحجاز إلى تقدير الصحة، أي: الأعمال مجزية أو معتبرة بالنيات
Artinya : “Telah berjalan olih Imam Syafie dan Malik dan Ahmad dan Daud dan jumhur ulamak Hijaz kepada mentakdirkan makna sah artinya segala amalan itu memadai (sah) ia atau dikira ia dengan segala niat.” (Kitab At-Taudhih Syarah Al-Jami’ As-Sahih)
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a.dari Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar subuh maka tiada puasa baginya.” (Hadith riwayat Ad-Daruqutni)
WAJIB NIAT PADA WAKTU MALAM KECUALI PUASA SUNAT
Dan adalah disyaratkan niat puasa fardu itu berlaku pada waktu malam.
Olih itu siapa yang tidak berniat puasa pada malam hari tidaklah sah puasanya dan wajib atasnya qadha.
Ada pun jika puasa sunat maka harus berniat pada siang hari selama belum lagi melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana mengikut perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam yang pernah melafazkan niat puasa sunat sedangkan hari telah siang.
Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata :
دَخَلَ عَلَىَّ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ. فَقُلْنَا: لاَ. قَالَ فَإِنِّى إِذًا صَائِمٌ
Artinya : “Telah masuk olih Nabi sollallahu alaihi wasallam atasku pada suatu hari lalu bersabda : Adakah suatu (makanan) disisi kamu? Kami menjawab : Tidak ada. Sabdanya : Jika begitu sungguhnya aku sekarang berpuasa.” (Hadith riwayat Muslim)
Berkata Imam Nawawi :
وفيه دليل لمذهب الجمهور أن صوم النافلة يجوز بنية في النهار قبل زوال الشمس
Artinya : “Pada hadith ini menjadi dalil bagi mazhab jumhur ulamak sungguhnya puasa yang sunat harus berniat waktu siang sebelum gelincir matahari.” (Kitab Syarah Muslim)
Jikalau seorang itu telah makan atau minum atau jimak sebelum berniat itu maka tidak sah dia berpuasa sunat pada hari itu.
Melafazkan niat puasa pada lisan samada puasa fardu atau suanat tidak wajib tetapi sunat jua hukumnya kerana Nabi sollallahu alaihi wasallam ada melafazkan niat puasa sunat pada lisannya pada hadith Aisyah tadi.
WAKTU SAH BERNIAT PUASA
Dan disyaratkan bagi sahnya niat puasa Ramadhan hendaklah ada niat itu pada waktu malam.
Olih kerana itu jika berniat seorang bagi puasa selepas telah masuk waktu subuh maka tidak sah puasanya kerana tidak berniat pada waktu yang disyaratkan yaitu malam.
Diriwayatkan daripada Hafsah r.a. telah bersabda olih Nabi sollallahu alaihi wasallam :
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ، فَلَا صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Barangsiapa yang tidak berniat akan puasa sebelum waktu fajar (subuh) maka tidak ada puasa baginya.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Dan pada satu lagi riwayat :
لاَ صِيَامَ لِمَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ
Artinya : “Tiada puasa bagi siapa yang tidak menghimpunkan niat berpuasa sebelum waktu fajar.”
Dan sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :
مَنْ لَمْ يَجْمَعِ الصِّيَامَ قَبْلَ اْلفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Siapa yang tidak menghimpunkan niat puasa sebelum fajar subuh maka tiada puasa baginya.” (Hadith riwayat Abu Daud & Tirmizi)
Maka diketahui bahawa waktu yang sah untuk berniat itu ialah pada waktu malam.
Dan bermula waktu malam ialah dengan masuknya waktu maghrib yaitu apabila semua bulatan matahari telah terbenam di kaki langit dan berkekalan waktu niat itu sampai masuk waktu subuh.
Dan tidak mengapa yakni sah berniat pada awal malam atau pada tengah malam atau pada penghujung malam.
Berkata Imam Nawawi :
ويشترط لفرضه التبييت والصحيح أنه لا يشترط النصف الآخر من الليل
Artinya : “Dan disyaratkan bagi puasa fardu berniat pada waktu malam dan menurut pendapat yang sahih bahawasanya tidak disyaratkan niat itu selepas separuh yang akhir dari waktu malam.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Maka sah seorang itu berniat puasa selepas masuk waktu maghrib sekali pun belum menunaikan solat maghrib kerana dia sudah berada pada waktu malam yang disyaratkan.
Berkata Imam Nawawi :
تَبْيِيتُ النِّيَّةِ شَرْطٌ فِي صَوْمِ الْفَرْضِ، فَلَوْ نَوَى قَبْلَ غُرُوبِ الشَّمْسِ صَوْمَ الْغَدِ، لَمْ يَصِحَّ. وَلَوْ نَوَى مَعَ طُلُوعِ الْفَجْرِ لَمْ يَصِحَّ عَلَى الْأَصَحِّ
Artinya : “Berniat pada waktu malam adalah syarat bagi puasa fardu. Maka jikalau seorang itu berniat sebelum tenggelam matahari hendak berpuasa esok hari nescaya tidak sah. Dan jikalau seorang itu berniat bersamaan dengan terbit fajar nescaya tidak sah atas pendapat yang lebih sahih.” (Kitab Raudhah At-Talibin)
Dan bersamaan dengan puasa fardu Ramadhan itu puasa fardu yang lain seperti puasa qadha Ramadan dan puasa nazar dan puasa kafarah yakni disyaratkan berniat pada waktu malam.
CARA NIAT PUASA
Hendaklah di dalam berniat itu menentukan jenis puasa yang hendak dilakukan seperti puasa Ramadhan dan menentukan samada puasa fardhu atau sunat supaya keluar dari perselisihan ulamak yang mewajibkannya. Jika puasa tersebut adalah puasa nazar yang wajib maka hendaklah dihadirkan puasa nazar ketika berniat dan jika puasa qadha yang wajib maka diniatkan puasa qadha Ramadhan misalnya.
Tersebut pada Kitab Fathul Mu’in :
وتعيين لمنوي في الفرض كرمضان أو نذر أو كفارة بأن ينوي كل ليلة أنه صائم غدا عن رمضان أو النذر أو الكفارة وإن لم يعين سببها
Artinya : “Dan menentukan niat bagi fardu seperti Ramadhan atau nazar atau kafarah dengan bahawa berniat seorang itu pada setiap malam bahawasanya dia berpuasa esok hari dari Ramadhan atau nazar atau kafarah dan sekalipun tidak ditentukan akan sebabnya.”
Dan tidak disyaratkan berniat fardu menurut qaul yang muktamad maka barang siapa yang berniat misalnya : Aku berniat puasa Ramadhan esok hari kerana Allah Taala maka niatnya itu sudah memadai yakni sah sebagaimana telah menyebutnya olih Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’.
Berkata Syeikh Zainuddin Al-Malibari :
فأقل النية المجزئة: نويت صوم رمضان ولو بدون الفرض على المعتمد كما صححه في المجموع تبعا للأكثرين لان صوم رمضان من البالغ لا يقع إلا فرضا
Artinya : “Maka sekurang-kurang niat yang memadai itu ialah : Aku berniat puasa Ramadhan walau tanpa menyebut fardu atas qaul yang muktamad sebagaimana telah mengsahihkannya olih Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’ kerana mengikut akan pendapat yang lebih ramai dari kerana puasa Ramadhan yang dikerjakan olih seorang yang sudah baligh tidak berlaku melainkan fardu.” (Kitab Fathul Mu’in)
Dan begitu juga tidak disyaratkan menyebut tahun dan tunai menurut qaul yang sahih.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
(وَالصَّحِيحُ) الْمَنْصُوصُ وَقَطَعَ بِهِ الْجُمْهُورُ (أَنَّهُ لَا يُشْتَرَطُ تَعْيِينُ السَّنَةِ) كَمَا لَا يُشْتَرَطُ الْأَدَاءُ
Artinya : “Dan pendapat yang sahih yang dinaskan dan yang diputuskan dengannya olih jumhur bahawa tidak disyaratkan menentukan (menyebut) tahun (dalam niat) sebagaimana tidak disyaratkan menentukan tunai.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Contoh niat puasa Ramadhan yang afdhal ialah dihadirkan di dalam hati :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
Artinya : “Aku berniat puasa esok hari menunaikan fardu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”.
Atau niat yang lebih ringkas : Aku berniat puasa Ramadhan esok hari kerana Allah Taala.
Wajib berniat pada setiap malam di sisi jumhur ulamak yaitu mazhab Hanafi dan Syafie dan Hanbali kerana apabila telah berbuka pada petang hari maka telah selesai satu ibadah puasa dan puasa pada esok hari adalah ibadah yang bersaingan.
Olih kerana itu wajib pula berniat untu melakukan puasa esok hari.
Dan pada mazhab Maliki ibadah puasa selama sebulan adalah dikira ibadah yang satu maka memadai berniat sekali sahaja pada malam yang pertama puasa.
Harus bagi kita mengikut pandangan mazhab Maliki berniat untuk sebulan pada malam pertama dan wajib juga berniat pada malam-malam yang lain kerana meraikan pandangan jumhur ulamak.
Cuma apabila ada pada satu malam yang kita lupa berniat maka sah puasa kita kerana telah ada berniat puasa sebulan pada malam pertama.
Contoh niat sebulan ialah :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Artinya : “Aku berniat puasa sebulan Ramadhan sekeliannya kerana Allah Taala.”
Atau niat-niat yang seumpama ini.
Jika seorang wanita haidh pada awal Ramadhan dan hanya suci selepas beberapa hari Ramadhan maka harus dia niat sebulan itu pada malam ia suci itu.
Jika seorang wanita telah niat sebulan kemudian selepas beberapa hari ia berpuasa lalu datang haidh maka hendaklah dia berniat semula selepas sucinya nanti puasa sekelian hari yang masih baki kerana keluar dari perselisihan ulamak yang mengatakan niatnya telah terputus.
Bagi yang berniat sebulan tetap wajib baginya berniat pada setiap malam.
Harus dan sah niat serentak dengan masuknya waktu maghrib dan sah juga berniat ketika sedang makan ketika berbuka puasa.
Siapa yang telah berniat pada awal malam kemudian dia melakukan perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan atau minum atau jimak atau lainnya nescaya sah dia berpuasa esok hari tanpa mengulangi akan berniat.
Dan begitu juga jia berniat sebelum tidur kemudian selepas bangun dari tidur sebelum masuk waktu subuh dia tidak wajib mengulangi berniat lagi.
Berkata Imam Nawawi :
وأنه لا يضر الأكل والجماع بعدها وأنه لا يجب لتجديد إذا نام ثم تنبه ويصح
Artinya : “Dan bahawasanya tidak memudaratkan olih makan dan jimak selepas berniat dan sungguhnya tidak wajib bagi mengulangi niat apabila dia telah tidur kemudian terjaga dan sah puasanya.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Jika selesai ia berniat puasa lalu masuk waktu subuh maka niatnya adalah sah dan jika masuk waktu subuh pada hal dia belum selesai berniat maka niatnya itu tidak sah dan begitu juga tidak sah berniat puasa seketika sebelum masuk waktu maghrib.
Dan jika seorang itu berniat serentak denga masuknya waktu subuh maka berlaku perselisihan pada sahnya dan tidaknya.
Berkata Imam Nawawi :
قَالَ أَصْحَابُنَا فَلَوْ نَوَى قُبَيْلَ غُرُوبِ الشَّمْسِ بِلَحْظَةٍ أَوْ عَقِبَ طُلُوعِ الْفَجْرِ بِلَحْظَةٍ لَمْ يَصِحَّ بِلَا خِلَافٍ وَلَوْ نَوَى مَعَ الفجر فوجهان مشهوران
Artinya : “Telah berkata Ashab kami : Maka kalau seorang berniat puasa sesaat sebelum tenggelam matahari atau sesaat selepas terbit fajar nescaya tidak sah dengan tanpa khilaf. Dan kalau seorang berniat puasa serentak masa terbit fajar maka ada dua pendapat yang masyhur.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
Siapa yang terlupa niat puasa wajib pada malam hari maka tidak sah pusanya dan wajib ia menahan diri dari makan dan minum pada keesokkannya.
Bangun untuk makan sahur tidak dikira sudah berniat puasa kerana mungkin seorang itu bersahur dan hadir dalam hatinya untuk berpuasa esok hari dan mungkin pula tidak hadir dalam hatinya untuk berpuasa esok hari. Olih kerana itu wajib yang bangun makan sahur berniat dan tidak bolih dianggap setiap yang bersahur sudah berniat puasa.
Tetapi jika ketika dia hendak makan sahur itu ada dalam hatinya kerana hendak berpuasa esok hari atau dia minum waktu sahur supaya tidak dahaga pada waktu siangnya nescaya sah dikira sudah berniat.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّهُ لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ، أَوْ شَرِبَ لِدَفْعِ الْعَطَشِ نَهَارًا، أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْأَكْلِ أَوْ الشُّرْبِ أَوْ الْجِمَاعِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ كَانَ ذَلِكَ نِيَّةً
Artinya : “Bermula pendapat yang muktamad bahawasanya kalau seorang itu bersahur kerana hendak berpuasa atau minum kerana menolak dahaga waktu siang atau dia tertahan dari makan atau minum atau jimak kerana takut terbit fajar maka adalah semua itu dikira sebagai niat.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
2. MENAHAN DIRI DARI PERKARA YANG MEMBATALKAN
Perbahasan berkenaan rukun yang kedua ini akan di sebut pada tajuk perkara-perkara yang membatalkan puasa.
wallahua’lam

credit : ustaz azhar idrus

FIQAH PUASA 4

 
Bahagian 4

MELIHAT ANAK BULAN
Adalah diketahui masuknya bulan Ramadhan itu dengan salah satu dari dua perkara :
Pertama :
Ru'yah yaitu melihat anak bulan Ramadhan olih seseorang pada malam ke tiga puluh dari bulan Sya’ban.
Adalah yang demikian itu dengan bahawa seorang yang adil telah berksaksi di hadapan qadhi sungguhnya dia telah melihat akan anak bulan Ramadhan.
Kedua :
Dengan cara menyempurnakan bulan Sya’ban sebanyak tiga puluh hari.
Menggunakan cara ini ialah apabila kesukaran melihat anak bulan dengan sebab awan telah menutup langit di sebelah terbit anak bulan atau tidak ada saksi yang melihat anak bulan.
Ini adalah kerana melihat anak bulan itu ialah pada petang hari ke dua puluh sembilan bulan Sya’ban maka jika tidak kelihatan anak bulan atau tertutup olih awan maka dijadikan hari esoknya sebagai hari yang ke tiga puluh bulan Sya’ban dan mula berpuasa pada hari selepas tiga puluh sebagai hari pertama Ramadhan.
Bermula dalil diwajibkan berpuasa dengan sebab melihat anak bulan itu ialah hadith yang telah diriwayatkan olih Abu Hurairah r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُبِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ
Artinya : “Hendaklah kamu sekelian mula berpuasa kerana melihat akan anak bulan dan hendaklah kamu berhari raya kerana melihatnya. Maka jikalau awan menutup atas penglihatan kamu maka sempurnakanlah akan bilangan bulan Sya’ban itu menjadi tiga puluh.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Yang dimaksudkan dengan sempurnakan Sya’ban menjadi tiga puluh ialah jadikan hari esok sebagai 30 Sya’ban dan mula berpuasa selepas hari esok.
Dan diriwayatkan daripada Rib’ie r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
إِذَا رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ فَصُومُوا، وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَتِمُّوا شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا الْهِلَالَ قَبْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ صُومُوا رَمَضَانَ ثَلَاثِينَ إِلَّا أَنْ تَرَوْا الْهِلَالَ قَبْلَ ذَلِكَ
Artinya : “Apabila kamu sekelian nampak akan anak bulan (Ramadhan) maka hendaklah kamu sekelian berpuasa. Dan apabila kamu sekelian melihat akan anak bulan (Syawal) maka hendaklah kamu berhari raya. Maka jikalau ditutup atas penglihatan kamu (ketika melihat anak bulan Sya’ban) maka sempurnakanlah akan bulan Sya’ban itu menjadi tiga puluh melainkan bahawa kamu nampak akan anak bulan sebelum yang demikian itu. Dan hendaklah kamu sekelian puasa akan Ramadhan itu sebanyak tiga puluh hari melainkan bahawa kamu nampak akan anak bulan (Syawal) sebelum itu.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Maksudnya hendaklah melihat anak bulan pada 29 Ramadhan maka jika nampak anak bulan Syawal maka hendaklah berhari raya pada esoknya dan jika tidak nampak sebab langit ditutup oleh awan tebal atau tiada orang yang nampak anak bulan Syawal maka jadikanlah hari esok sebagai 30 Ramadhan dan berhari raya selepas hari esok.
Berkata Imam Nawawi :
قَالَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ وَلَا يَجِبُ صَوْمُ رَمَضَانَ إلَّا بِدُخُولِهِ وَيُعْلَمُ دُخُولُهُ بِرُؤْيَةِ الْهِلَالِ فَإِنْ غُمَّ وَجَبَ اسْتِكْمَالُ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ
Artinya : “Telah berkata Ashab kami dan lainnya tidak wajib puasa Ramadhan melainkan dengan masuknya bulan Ramadhan. Dan diketahui akan masuknya bulan Ramadhan itu ialah dengan melihat anak bulan. Maka jika cuaca mendung menutup penglihatan nescaya wajiblah menyempurnakan bilangan Sya’ban menjadi tiga puluh hari.” (Kitab Al-Majmu’)
BERSAKSI MELIHAT ANAK BULAN
Maka apabila ada seorang lelaki yang adil atau dua orang perempuan bersaksi di hadapan qadhi bahawa dia telah melihat anak bulan Ramadhan sekalipun orang lain tidak melihatnya nescaya hendaklah qadhi mengumumkan akan perintah memulai berpuasa pada keesokkannya.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata :
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ، يَعْنِي هِلَالَ رَمَضَانَ، فَقَالَ: " أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " يَا بِلَالُ، أَذِّنْ فِي النَّاسِ أَنْ يَصُومُوا غَدًا
Artinya : “Telah datang seorang A’rabi kepada Nabi sollalahu alaihi wasallam lalu berkata : Sungguhnya aku telah nampak akan anak bulan yakni anak bulan Ramadhan. Maka Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda : Adakah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah? Katanya : Ya. Bersabda Nabi sollallahu alaihi wasallam lagi : Adakah kamu bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah? Kata lelaki itu : Ya. Nabi sollallahu alaihi wasallam pun bersabda kepada Bilal : Wahai Bilal. Hendaklah kamu beritahu segala manusia supaya mereka semua mula berpuasa pada esok hari.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
PERBEZAAN HARI PUASA SEBAB NEGERI YANG BERBEZA
Bermula perintah berpuasa ini ialah ke atas penduduk negeri yang dilihat pada negeri itu anak bulan Ramadhan tersebut atau mereka yang tinggal berdekatan dengan negeri tersebut.
Ada pun penduduk negeri yang berjauhan maka hendaklah mengikut akan perintah dari pemerintah yang mereka tinggal itu samada nampak anak bulan dan mula berpuasa atau tidak nampak anak bulan dan menyempurnakan bulan Sya’ban menjadi tiga puluh.
Berkata Dr Mustafa Al-Khin :
إذا لم يجب الصوم على أهل بلد بعيد فسافر إليه شخص من بلد الرؤية فإنه يوافقهم في الصوم آخراً، وإن كان قد أتم ثلاثين يوماً، لأنه بالانتقال إلى بلدهم صار واحداً منهم، فيلزمه حكمهم، ومن سافر من البلد الذي لم ير فيه الهلال إلى بلد الرؤية أفطر معهم، سواء أصام ثمانية وعشرين يوماً، وذلك بأن كان رمضان عندهم ناقصاً فأفطر معهم في التاسع والعشرين، أم صام تسعة وعشرين، وذلك بأن كان رمضان عندهم تاماً لكنه يقضي يوماً إن صام ثمانية وعشرين، لأن الشهر لا يكون كذلك.
ومن أصبح في بلد معيداً، فسافر إلى بلد بعيد أهله صيام وجب عليه أن يمسك بقية اليوم موافقة لهم.
Artinya : “Apabila belum wajib berpuasa atas penduduk negeri yang jauh lalu bermusafir olih seorang dari negeri yang telah nampak anak bulan pergi ke negeri yang jauh yang belum wajib berpuasa maka sungguhnya hendaklah dia menyertai mereka yaitu menahan diri dari makan dan minum pada hari yang terakhir sekalipun dia telah menyempurnakan tiga puluh hari berpuasa kerana dia telah berpindah kepada negeri mereka itu yang jadilah dia setengah dari mereka itu maka wajib atasnya hukum mereka itu. Dan siapa yang bermusafir dari negeri yang tidak nampak anak bulan ke negeri yang nampak anak bulan maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka samada dia telah berpuasa sebanyak dua puluh lapan hari sahaja dan yang demikian itu adalah kerana Ramadhan di sisi penduduk negeri itu kurang sehari maka berhari rayalah dia bersama mereka itu pada hari yang ke dua puluh sembilan berpuasa (disisinya) atau dia telah berpuasa selama dua puluh sembilan hari dan yang demikian itu adalah kerana Ramadhan di sisi penduduk itu sempurna akan tetapi hendaklah dia qadha puasa sehari jika dia hanya berpuasa dua puluh lapan hari dari kerana sungguhnya tidak ada bulan itu sebanyak dua puluh lapan hari. Dan barangsiapa yang pada awalnya berada di negeri yang berhari raya lalu dia bermusafir ke negeri yang masih berpuasa maka wajib atasnya menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari tu kerana muwafakat dengan penduduk negeri tersebut (yang masih berpuasa).” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
Keterangan :
Jika seorang yang berasal dari negeri yang sudah mula berpuasa pergi ke negeri yang belum mula berpuasa maka hendaklah dia bersama penduduk negeri tersebut berpuasa pada hari yang terkahir sekalipun dia telah berpuasa sebanyak tiga puluh hari yakni pada hari yang ke tiga puluh satu itu dia tidaklah berhari raya seorang diri bahkan menahan diri dari makan dan minum kerana meraikan negeri yang dia sedang berada itu kemudian berhari raya bersama mereka selepas hari itu.
Dan jika seorang yang berasal dari negeri yang belum berpuasa pergi ke negeri yang sudah berpuasa kemudian penduduk negeri tersebut hanya berpuasa selama dua puluh sembilan hari sedangkan yang musafir itu baru berpuasa selama dua puluh lapan hari nescaya hendaklah dia berhari raya bersama mereka walau pun dia baru berpuasa sebanyak dua puluh lapan hari sahaja dan wajib dia qadha sehari lagi selepas hari raya kerana tidak ada puasa sebanyak dua puluh lapan hari kerana sekurang-kurang puasa itu ialah dua puluh sembilan hari.
Dan jika seorang yang telah berhari raya bermusafir ke negeri yang masih berpuasa maka wajib atasnya menahan diri bersama penduduk negeri yang masih berpuasa itu kemudian dia berhari raya sekali lagi bersama mereka selepas itu.
TIDAK SAH PUASA DAN HARI RAYA DENGAN MENGIKUT NEGERI LAIN
Tidak harus mengikut waktu puasa atau waktu berhari raya akan negeri yang jauh kerana berlainan masa dan jam sekalipun sama-sama negeri orang Islam.
Jika ada orang yang berkata dengan harus umat Islam di Malaysia mengikut tarikh puasa dan tarikh berhari raya di negeri Mekah tanpa melihat anak bulan maka perkataannya itu adalah batil dan menyalahi perintah syarak lagi haram diikut akan perkataan seumpama itu kerana telah ijmak ulamak bahawa setiap negeri yang berasingan hendaklah melihat sendiri akan anak bulan samada terbit atau tidak bagi menentukan tarikh puasa dan tarikh hari raya.
Telah diriwayatkan daripada Kuraib r.a. :
أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ رضي الله عنهم بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ في آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ فَقُلْتُ أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لَا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ - صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Artinya : “Ummu Al-Fadhl binti Al-Harith telah mengutusnya (Kuraib) kepada Muawiyah r.a. yang berada di negeri Syam lalu aku (Kuraib) pun menunaikan akan hajatnya dan ketika aku berada di negeri Syam aku telah masuk dalam bulan Ramadhan dan aku telah melihat anak bulan pada malam jumaat kemudian aku kembali ke Madinah pada akhir bulan Ramadhan. Lalu Ibnu Abbas r.a. telah meminta aku datang dan bercakap tentang anak bulan. Kata Ibnu Abbas : Bilakah kamu nampak anak bulan Ramadhan? Jawab aku : Kami melihat anak bulan pada malam jumaat. Kata Ibnu Abbas : Kamu pun melihatnya? Jawabku : Ya dan sekelian manusia pun nampak dan sekelian mereka berpuasa dan Muawiyah pun berpuasa. Berkata Ibnu Abbas : Akan tetapi kami melihat anak bulan pada malam sabtu maka kami sentiasa berpuasa sampailah sempurna tiga puluh hari atau kami nampak (anak bulan sebelum tiga puluh). Maka aku berkata : Tidak cukupkah (umat Islam di Madinah) dengan melihat anak bulan olih Muawiyah dan dengan berpuasanya Muawiyah (di Syam)? Berkata Ibnu Abbas : Tidak kerana seperti inilah kami diperintahkan olih Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.” (Hadith riwayat Muslim)
Maksud hadith ini sahabat yang bernama Kuraib r.a. menyangka bahawa nampaknya anak bulan Ramadhan di negeri Syam sudah mencukupi untuk umat Islam di Madinah mula berpuasa tetapi Ibnu Abbas r.a. menjelaskan kepada Kuraib bahawa Nabi sollallahu alaihi wasallam telah memerintahkan bahawa setiap negeri hendaklah masing-masing melihat anak bulan dan tidak harus mengikut akan negeri yang lain.
wallahua’lam
credit : ustaz azhar idrus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...