10 March 2024

FIQAH PUASA 5

Bahagian 5
RUKUN-RUKUN PUASA
Bermula rukun-rukun puasa itu ada dua yaitu niat dan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dan sebahagian fuqahak menghitung rukun-rukun puasa itu ada tiga yaitu tambah satu lagi yakni orang yang berpuasa.
Berikut diterangkan rukun-rukun puasa secara ringkas :
1. NIAT
Yaitu menqasadkan dengan hati hendak berpuasa dan tidak memadai dengan hanya melafazkannya pada lisan tanpa ada niat di dalam hati dan tidak mengapa niat didalam hati sahaja tanpa melafazkannya pada lisan.
Berkata olih Dr Mustafa Al-Bugha :
وهي قصد الصيام، ومحلها القلب، ولا تكفي باللسان، ولا يشترط التلفظ بها
Artinya : “Dan niat itu artinya qasad (menyahajakan) akan berpuasa dan tempat niat itu ialah hati dan tidak memadai dengan hanya melafazkan pada lisan dan tidak disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
DALIL WAJIB BERNIAT
Telah diriwayatkan dari Umar Al-Khattab r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Artinya : “Hanya sungguhnya segala amal itu ialah dengan niat.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Berkata Imam Ibnu Al-Mulaqqin :
ذهب الشافعي ومالك وأحمد وداود وجمهور أهل الحجاز إلى تقدير الصحة، أي: الأعمال مجزية أو معتبرة بالنيات
Artinya : “Telah berjalan olih Imam Syafie dan Malik dan Ahmad dan Daud dan jumhur ulamak Hijaz kepada mentakdirkan makna sah artinya segala amalan itu memadai (sah) ia atau dikira ia dengan segala niat.” (Kitab At-Taudhih Syarah Al-Jami’ As-Sahih)
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a.dari Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar subuh maka tiada puasa baginya.” (Hadith riwayat Ad-Daruqutni)
WAJIB NIAT PADA WAKTU MALAM KECUALI PUASA SUNAT
Dan adalah disyaratkan niat puasa fardu itu berlaku pada waktu malam.
Olih itu siapa yang tidak berniat puasa pada malam hari tidaklah sah puasanya dan wajib atasnya qadha.
Ada pun jika puasa sunat maka harus berniat pada siang hari selama belum lagi melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana mengikut perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam yang pernah melafazkan niat puasa sunat sedangkan hari telah siang.
Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata :
دَخَلَ عَلَىَّ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ. فَقُلْنَا: لاَ. قَالَ فَإِنِّى إِذًا صَائِمٌ
Artinya : “Telah masuk olih Nabi sollallahu alaihi wasallam atasku pada suatu hari lalu bersabda : Adakah suatu (makanan) disisi kamu? Kami menjawab : Tidak ada. Sabdanya : Jika begitu sungguhnya aku sekarang berpuasa.” (Hadith riwayat Muslim)
Berkata Imam Nawawi :
وفيه دليل لمذهب الجمهور أن صوم النافلة يجوز بنية في النهار قبل زوال الشمس
Artinya : “Pada hadith ini menjadi dalil bagi mazhab jumhur ulamak sungguhnya puasa yang sunat harus berniat waktu siang sebelum gelincir matahari.” (Kitab Syarah Muslim)
Jikalau seorang itu telah makan atau minum atau jimak sebelum berniat itu maka tidak sah dia berpuasa sunat pada hari itu.
Melafazkan niat puasa pada lisan samada puasa fardu atau suanat tidak wajib tetapi sunat jua hukumnya kerana Nabi sollallahu alaihi wasallam ada melafazkan niat puasa sunat pada lisannya pada hadith Aisyah tadi.
WAKTU SAH BERNIAT PUASA
Dan disyaratkan bagi sahnya niat puasa Ramadhan hendaklah ada niat itu pada waktu malam.
Olih kerana itu jika berniat seorang bagi puasa selepas telah masuk waktu subuh maka tidak sah puasanya kerana tidak berniat pada waktu yang disyaratkan yaitu malam.
Diriwayatkan daripada Hafsah r.a. telah bersabda olih Nabi sollallahu alaihi wasallam :
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ، فَلَا صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Barangsiapa yang tidak berniat akan puasa sebelum waktu fajar (subuh) maka tidak ada puasa baginya.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Dan pada satu lagi riwayat :
لاَ صِيَامَ لِمَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ
Artinya : “Tiada puasa bagi siapa yang tidak menghimpunkan niat berpuasa sebelum waktu fajar.”
Dan sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :
مَنْ لَمْ يَجْمَعِ الصِّيَامَ قَبْلَ اْلفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Artinya : “Siapa yang tidak menghimpunkan niat puasa sebelum fajar subuh maka tiada puasa baginya.” (Hadith riwayat Abu Daud & Tirmizi)
Maka diketahui bahawa waktu yang sah untuk berniat itu ialah pada waktu malam.
Dan bermula waktu malam ialah dengan masuknya waktu maghrib yaitu apabila semua bulatan matahari telah terbenam di kaki langit dan berkekalan waktu niat itu sampai masuk waktu subuh.
Dan tidak mengapa yakni sah berniat pada awal malam atau pada tengah malam atau pada penghujung malam.
Berkata Imam Nawawi :
ويشترط لفرضه التبييت والصحيح أنه لا يشترط النصف الآخر من الليل
Artinya : “Dan disyaratkan bagi puasa fardu berniat pada waktu malam dan menurut pendapat yang sahih bahawasanya tidak disyaratkan niat itu selepas separuh yang akhir dari waktu malam.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Maka sah seorang itu berniat puasa selepas masuk waktu maghrib sekali pun belum menunaikan solat maghrib kerana dia sudah berada pada waktu malam yang disyaratkan.
Berkata Imam Nawawi :
تَبْيِيتُ النِّيَّةِ شَرْطٌ فِي صَوْمِ الْفَرْضِ، فَلَوْ نَوَى قَبْلَ غُرُوبِ الشَّمْسِ صَوْمَ الْغَدِ، لَمْ يَصِحَّ. وَلَوْ نَوَى مَعَ طُلُوعِ الْفَجْرِ لَمْ يَصِحَّ عَلَى الْأَصَحِّ
Artinya : “Berniat pada waktu malam adalah syarat bagi puasa fardu. Maka jikalau seorang itu berniat sebelum tenggelam matahari hendak berpuasa esok hari nescaya tidak sah. Dan jikalau seorang itu berniat bersamaan dengan terbit fajar nescaya tidak sah atas pendapat yang lebih sahih.” (Kitab Raudhah At-Talibin)
Dan bersamaan dengan puasa fardu Ramadhan itu puasa fardu yang lain seperti puasa qadha Ramadan dan puasa nazar dan puasa kafarah yakni disyaratkan berniat pada waktu malam.
CARA NIAT PUASA
Hendaklah di dalam berniat itu menentukan jenis puasa yang hendak dilakukan seperti puasa Ramadhan dan menentukan samada puasa fardhu atau sunat supaya keluar dari perselisihan ulamak yang mewajibkannya. Jika puasa tersebut adalah puasa nazar yang wajib maka hendaklah dihadirkan puasa nazar ketika berniat dan jika puasa qadha yang wajib maka diniatkan puasa qadha Ramadhan misalnya.
Tersebut pada Kitab Fathul Mu’in :
وتعيين لمنوي في الفرض كرمضان أو نذر أو كفارة بأن ينوي كل ليلة أنه صائم غدا عن رمضان أو النذر أو الكفارة وإن لم يعين سببها
Artinya : “Dan menentukan niat bagi fardu seperti Ramadhan atau nazar atau kafarah dengan bahawa berniat seorang itu pada setiap malam bahawasanya dia berpuasa esok hari dari Ramadhan atau nazar atau kafarah dan sekalipun tidak ditentukan akan sebabnya.”
Dan tidak disyaratkan berniat fardu menurut qaul yang muktamad maka barang siapa yang berniat misalnya : Aku berniat puasa Ramadhan esok hari kerana Allah Taala maka niatnya itu sudah memadai yakni sah sebagaimana telah menyebutnya olih Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’.
Berkata Syeikh Zainuddin Al-Malibari :
فأقل النية المجزئة: نويت صوم رمضان ولو بدون الفرض على المعتمد كما صححه في المجموع تبعا للأكثرين لان صوم رمضان من البالغ لا يقع إلا فرضا
Artinya : “Maka sekurang-kurang niat yang memadai itu ialah : Aku berniat puasa Ramadhan walau tanpa menyebut fardu atas qaul yang muktamad sebagaimana telah mengsahihkannya olih Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu’ kerana mengikut akan pendapat yang lebih ramai dari kerana puasa Ramadhan yang dikerjakan olih seorang yang sudah baligh tidak berlaku melainkan fardu.” (Kitab Fathul Mu’in)
Dan begitu juga tidak disyaratkan menyebut tahun dan tunai menurut qaul yang sahih.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
(وَالصَّحِيحُ) الْمَنْصُوصُ وَقَطَعَ بِهِ الْجُمْهُورُ (أَنَّهُ لَا يُشْتَرَطُ تَعْيِينُ السَّنَةِ) كَمَا لَا يُشْتَرَطُ الْأَدَاءُ
Artinya : “Dan pendapat yang sahih yang dinaskan dan yang diputuskan dengannya olih jumhur bahawa tidak disyaratkan menentukan (menyebut) tahun (dalam niat) sebagaimana tidak disyaratkan menentukan tunai.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Contoh niat puasa Ramadhan yang afdhal ialah dihadirkan di dalam hati :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
Artinya : “Aku berniat puasa esok hari menunaikan fardu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”.
Atau niat yang lebih ringkas : Aku berniat puasa Ramadhan esok hari kerana Allah Taala.
Wajib berniat pada setiap malam di sisi jumhur ulamak yaitu mazhab Hanafi dan Syafie dan Hanbali kerana apabila telah berbuka pada petang hari maka telah selesai satu ibadah puasa dan puasa pada esok hari adalah ibadah yang bersaingan.
Olih kerana itu wajib pula berniat untu melakukan puasa esok hari.
Dan pada mazhab Maliki ibadah puasa selama sebulan adalah dikira ibadah yang satu maka memadai berniat sekali sahaja pada malam yang pertama puasa.
Harus bagi kita mengikut pandangan mazhab Maliki berniat untuk sebulan pada malam pertama dan wajib juga berniat pada malam-malam yang lain kerana meraikan pandangan jumhur ulamak.
Cuma apabila ada pada satu malam yang kita lupa berniat maka sah puasa kita kerana telah ada berniat puasa sebulan pada malam pertama.
Contoh niat sebulan ialah :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Artinya : “Aku berniat puasa sebulan Ramadhan sekeliannya kerana Allah Taala.”
Atau niat-niat yang seumpama ini.
Jika seorang wanita haidh pada awal Ramadhan dan hanya suci selepas beberapa hari Ramadhan maka harus dia niat sebulan itu pada malam ia suci itu.
Jika seorang wanita telah niat sebulan kemudian selepas beberapa hari ia berpuasa lalu datang haidh maka hendaklah dia berniat semula selepas sucinya nanti puasa sekelian hari yang masih baki kerana keluar dari perselisihan ulamak yang mengatakan niatnya telah terputus.
Bagi yang berniat sebulan tetap wajib baginya berniat pada setiap malam.
Harus dan sah niat serentak dengan masuknya waktu maghrib dan sah juga berniat ketika sedang makan ketika berbuka puasa.
Siapa yang telah berniat pada awal malam kemudian dia melakukan perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan atau minum atau jimak atau lainnya nescaya sah dia berpuasa esok hari tanpa mengulangi akan berniat.
Dan begitu juga jia berniat sebelum tidur kemudian selepas bangun dari tidur sebelum masuk waktu subuh dia tidak wajib mengulangi berniat lagi.
Berkata Imam Nawawi :
وأنه لا يضر الأكل والجماع بعدها وأنه لا يجب لتجديد إذا نام ثم تنبه ويصح
Artinya : “Dan bahawasanya tidak memudaratkan olih makan dan jimak selepas berniat dan sungguhnya tidak wajib bagi mengulangi niat apabila dia telah tidur kemudian terjaga dan sah puasanya.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Jika selesai ia berniat puasa lalu masuk waktu subuh maka niatnya adalah sah dan jika masuk waktu subuh pada hal dia belum selesai berniat maka niatnya itu tidak sah dan begitu juga tidak sah berniat puasa seketika sebelum masuk waktu maghrib.
Dan jika seorang itu berniat serentak denga masuknya waktu subuh maka berlaku perselisihan pada sahnya dan tidaknya.
Berkata Imam Nawawi :
قَالَ أَصْحَابُنَا فَلَوْ نَوَى قُبَيْلَ غُرُوبِ الشَّمْسِ بِلَحْظَةٍ أَوْ عَقِبَ طُلُوعِ الْفَجْرِ بِلَحْظَةٍ لَمْ يَصِحَّ بِلَا خِلَافٍ وَلَوْ نَوَى مَعَ الفجر فوجهان مشهوران
Artinya : “Telah berkata Ashab kami : Maka kalau seorang berniat puasa sesaat sebelum tenggelam matahari atau sesaat selepas terbit fajar nescaya tidak sah dengan tanpa khilaf. Dan kalau seorang berniat puasa serentak masa terbit fajar maka ada dua pendapat yang masyhur.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
Siapa yang terlupa niat puasa wajib pada malam hari maka tidak sah pusanya dan wajib ia menahan diri dari makan dan minum pada keesokkannya.
Bangun untuk makan sahur tidak dikira sudah berniat puasa kerana mungkin seorang itu bersahur dan hadir dalam hatinya untuk berpuasa esok hari dan mungkin pula tidak hadir dalam hatinya untuk berpuasa esok hari. Olih kerana itu wajib yang bangun makan sahur berniat dan tidak bolih dianggap setiap yang bersahur sudah berniat puasa.
Tetapi jika ketika dia hendak makan sahur itu ada dalam hatinya kerana hendak berpuasa esok hari atau dia minum waktu sahur supaya tidak dahaga pada waktu siangnya nescaya sah dikira sudah berniat.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّهُ لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ، أَوْ شَرِبَ لِدَفْعِ الْعَطَشِ نَهَارًا، أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْأَكْلِ أَوْ الشُّرْبِ أَوْ الْجِمَاعِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ كَانَ ذَلِكَ نِيَّةً
Artinya : “Bermula pendapat yang muktamad bahawasanya kalau seorang itu bersahur kerana hendak berpuasa atau minum kerana menolak dahaga waktu siang atau dia tertahan dari makan atau minum atau jimak kerana takut terbit fajar maka adalah semua itu dikira sebagai niat.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
2. MENAHAN DIRI DARI PERKARA YANG MEMBATALKAN
Perbahasan berkenaan rukun yang kedua ini akan di sebut pada tajuk perkara-perkara yang membatalkan puasa.
wallahua’lam

credit : ustaz azhar idrus

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...