22 May 2019

Hikmah disebalik Nuzul Al-Quran

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa Allah SWT menurunkan ayat pertama Al-Quran kepada Rasulullah SAW dan berterusan secara berperingkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadan, bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira.
Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaan. Justeru peristiwa Nuzul Al-Quran memberi makna yang amat besar kepada umat Islam di sepanjang zaman.
Al-Quran adalah sumber hidayah, rahmat, syifa’ (penawar) dan pemberi penjelasan kepada manusia. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur (cahaya) yang menerangi dan Al-Furqan (yang dapat membezakan) di antara yang hak dan batil, Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185:
2:185
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)”.

Hikmah Nuzul Al-Quran adalah seperti berikut:


Pertama:
Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.
Kedua :
Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Ketiga :
Kandungan ajaran Al-Quran adalah bersifat mukjizat (I’jaz al-‘Ilmi) sehingga merentasi zaman dan tempat sekali pun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 9, bermaksud:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
**
Setiap Muslim sewajarnya sentiasa beramal dengan Al-Quran dan memperingati tarikh penurunannya. Pelbagai program tidak putus-putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Quran ini.
Alhamdulillah, semakin ramai kaum Muslim yang sudah pun mengimarah dan mulakannya sejak dari awal Ramadan lagi. Pada bulan inilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran sebagai satu kelaziman di masjid dan kediaman masing-masing.
Sama-samalah kita menambahkan dan mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Allah SWT yang tidak terhingga kepada umat Islam kerana beribadah di 10 hari akhir Ramadan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hayat kita iaitu 1000 bulan.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar” 
(Surah Al-Qadr, ayat 3-5).
Semoga bermanfaat. Wallahu’alam.

credit : Denaihati Network

No comments:

Post a Comment