20 April 2014

Kitab: Matla’ al-Badrain & Kitab Matla' An-Nurain (Jawi)

Kitab: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain
KITAB FIQH MELAYU BICARA SEMUA RUB

Data ringkas kitab:
Judul: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain (Tempat terbit dua bulan purnama dan tempat berhimpun dua laut)

Kategori: Fiqih

Pengarang: al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik (wafat di Mekah tahun 1333H/1914M)

Tarikh selesai dikarang: 12 Sya’ban 1303H/16 Mei 1886M

Merupakan antara kitab fiqih yang paling terkenal di Tanah Melayu. Ditulis oleh al-’Alim al-’Allamah Syaikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad bin Wan Idris bin Wan Tih bin Syaikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani. Atau dikenali juga dengan nama Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani atau Muhammad Shaghir al-Fathani (di kalangan orang ‘arab) atau Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani dikalangan orang Melayu di Mekah. Beliau adalah cucu saudara kepada al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Kitab ini pernah dijadikan teks pengajian ilmu fiqih sekolah-sekolah agama di negeri Johor. Oleh kerana kitab ini terlalu banyak dipergunakan, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Maka tersusunlah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla’ul Badrain oleh Haji Abdul Ghani Yahya, antara murid kepada Tok Kenali. Di tulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941M. Kamus ini khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu, maka dapat membantu pelajar dalam memahami perkataan-perkataan atau istilah-istilah yang terdapat didalam kitab Matla’ al-Badrain. Hanya Mathla’ al-Badrain kitab Melayu/Jawi yang ditulis kamus.

Kitab Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, selesai ditulis pada 12 Syaaban 1303H/1885M. Cetakan pertama dan keduanya tidak ditashihkan, maka keduanya ternyata banyak kesalahan sususan kalimatnya yang dilakukan oleh pihak pencetak. Manakala cetakan ketiga dan keempat telah ditashih oleh al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Jika diteliti, model penulisan Mathla’ al-Badrain dari pelbagai aspek, dapat diklasifikasikan sebagai penulisan klasik ilmiah. Contohnya, pada banyak tempat digunakan nota kaki, istilah orang Melayu zaman dulu dinamakan ‘dhabit’. Akhir setiap sesuatu dhabit ada yang digunakan istilah ‘Muallif’ maksudnya ‘pengarang’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Nik Mat Kecik. Pada tempat lain digunakan istilah ‘Mushahhihahu’, maksudnya ‘pentashihnya’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada setiap penghabisan dhabit, Syaikh Nik Mat Kecik menyebut nama kitab yang beliau rujuk. Kitab Melayu/Jawi yang disebut ialah Sabil al-Muhtadin, tetapi Sabil al-Muhtadin hanya disebut pada ibadat. Kitab Arab lain seperti Fath al-Wahhab, Bujairimi ‘ala Fath al-Wahhab.

Di antara kitab yang menjadi rujukan pengarang ketika mengarang kitab ini adalah:

Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Thullab oleh Syaikhul Islam Abi Yahya Zakaria al-Anshari
I’anah at-Tholibin oleh Sayyid Abu Bakr ibn Muhammad Syata ad-Dimyati, yang masyhur dengan nama Sayyid al-Bakri Syata
Bujairimi ‘ala Khatib oleh Syaikh Sulaiman al-Bujairimi
Mughni al-Muhtaj oleh Syaikh Muhammad ibn Ahmad asy-Syarbini al-Khatib
As-Siraj al-Wahhaj Syarh ‘ala Matn Minhaj oleh Syaikh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi
Hasyiah al-Bajuri oleh Syaikh Ibrahim al-Bajuri
Kifayatul Akhyar oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad
Kitab Matla’ al-Badrain telah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri) pada tahun 1413H/1993. Ianya telah disusun semula dan menggunakan bahasa yang moden dan mudah supaya senang difahami. Tajuk-tajuknya pula diasingkan dengan perenggan-perenggan dan fasal-fasal yang bernombor serta tajuk-tajuk ringkas ditepinya (nota birai) untuk kemudahan rujukan.

Menurut Tuan Haji Hasan bin Haji Ahmad (kini Dato’ dan menjawat sebagai mufti Pulau Pinang) pada kata alaun pentashih terjemahan [transliterasi] kitab Matla’ al-Badrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan:

Semasa saya mentashihkan draf akhir kitab ini, saya berpandukan pengalaman dan ilmu yang cetek yang ada pada saya serta merujuk kepada beberapa buah kitab yang mu’tabar, antaranya:

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj, 4 juzu’ (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1369H/1950M)
Syeikh Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah al-Bajuri, 2 juzu’ (Surabaya/S’pura: Sulaiman Mara’i, t.t)
Al-Qalyubi dan Umairah. Hasyiyatain ‘ala Syarh Jalaliddin al-Mahallai ‘ala Minhaj at-Talibin. 4 juzu’. (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1375H/1956M)
Muhammad asy-Syarbini al-Khatib. Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (S’pura: Maktabah Sulaiman Mara’i, t.t)
Daripada rujukan-rujukan yang dibuat, jelas bahawa Pengarang (Musannif) asal kitab ini memetik dan menterjemahkannya daripada beberapa buah kitab yang mu’tabar sepertimana yang diakui sendiri oleh beliau di bahagian muqaddimahnya, maka nilai kitab ini [kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain] juga adalah mu’tabar.

Dato’ Syaikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, seorang ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, telah menulis kitab bertajuk Matla’ al-Nurain Untuk Menghuraikan ‘Ibarat Kitab Matla’ al-Badrain. Dimana kitab ini memudahkan ‘ibarat yang kusut dan uslub yang payah didalam kitab Matla’ al-Badrain, yang tidak dapat difahami maksudnya oleh kebanyakkan generasi kini. Begitu juga Pejabat Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, menerbitkan kitab Tahqiq Matla’ al-Badrain.

Kitab ini juga bukan sekadar masyhur di Tanah Melayu tetapi juga di Negara Brunei Darussalam. Ini dapat dilihat pada ucapan di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji Kali Ke-13 Bagi Musim Haji 1427H/2006M (pada hari Selasa, 12/7/2006 Di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan) oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negera Brunei Darus Salam:

Kitab yang sudah menjadi pegangan kita di Negara Brunei Darussalam di dalam menunaikan rukun Islam, yang juga menjadi amalan dan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Kitab Mathla’ul Badrain yang mana sebahagian permasalahan dalam kitab tersebut telah dipermudahcarakan untuk membaca dan memahaminya melalui beberapa siri dalam Kitab Zainut Thalib iaitu hasil usaha dan gubahan Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama.


Walaupun usia kitab ini sudah menjangkau lebih dari 120 tahun, namun ianya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini di dalam bidang fiqih.

Perlu saya jelaskan bahawa dalam semua penulisan termasuk dalam Mathla‘al-Badrain beliau menggunakan nama Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. Yang dimaksudkan dengan nama "Daud" ialah kerana mengambil berkat nama datuk saudara beliau Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Datuk beliau yang sebenarnya ialah "Ahmad" bukan Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Ada nama lain untuk pengarang Mathla‘ al-Badrain yang terkenal itu, orang Arab Makkah dan Mesir menamakannya dengan Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani. Orang-orang Melayu terutama keluarga terdekat dan muridnya yang sangat ramai lebih mesra dengan panggilan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Dalam artikel ini selanjutnya digunakan nama Syeikh Nik Mat Kecik.

Mathla‘al-Badrain diselesaikan penulisannya pada 12 Sya‘ban 1303 H/16 Mei 1886 M.Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan bahawa Mathla‘al-Badrain cetakan yang pertama dan kedua tanpa ditashhih oleh beliau dan tidak pula oleh Syeikh Nik Mat Kecik mahu pun kedua-dua anaknya Syeikh ‘Abdullah al-Fathani dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Oleh itu cetakan yang pertama dan yang kedua itu banyak terdapat kekeliruan cetak. Banyak salah susunan kalimat-kalimatnya itu bukan kesalahan pengarangnya tetapi adalah dilakukan oleh pekerja-pekerja di Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Cerita salah seorang guru saya bernama ‘Abdul Wahhab (di Kepulauan Riau) bahawa dalam tahun 1927 M ada cetakan Mathla‘ al-Badrain yang sengaja diselewengkan. Menurut beliau kerana Mathla‘ al-Badrain banyak diajar oleh masyarakat Melayu di Makkah dan dunia Melayu, lagi pula menjadi pegangan dan pedoman masyarakat Islam di dunia Melayu pada zaman itu, yang menyelewengkan itu adalah seorang yang beragama Yahudi di Timur Tengah. Cerita mengenai ini hanya saya dengar dari Tuan Guru ‘Abdul Wahhab belum diperoleh dari sumber-sumber lainnya. Oleh itu masih dalam tahap penelitian. Menurut catatan Syeikh Ahmad al-Fathani yang dapat dipertanggungjawabkan ialah mulai cetakan yang ketiga dan keempat kerana mulai cetakan ini adalah ditashhih oleh beliau (Syeikh Ahmad al-Fathani) dan diketahui oleh pengarangnya Syeikh Nik Mat Kecik.

Kesimpulan kandungan Mathla‘ al-Badrain dapat disingkatkan di antaranya ialah sesudah mukadimah diberi komentar tentang kelebihan ilmu pengetahuan mengikut al-Quran, hadits dan pendapat ulama. Sebelum membicarkan pokok perbicaraan fiqh, terlebih dahulu Syeikh Nik Mat Kecik membahas perkara ‘aqidah, iaitu huraian mengenai Allah, Rasul, dan lain-lain yang ada hubungan dengan ilmu ‘aqidah. Apabila ikuti semua judul karya Syeikh Nik Mat Kecik ternyata hanya dalam Mathla‘al-Badrain saya beliau bahas tentang ilmu ‘aqidah. Walau bagaimanapun dalam Mathla‘ al-Badrain yang dirumikan akhir-akhir ini tentang ilmu ‘aqidah tidak dibicarakan oleh para pelaksana bahkan dalam bahagian-bahagian yang lain pun banyak yang ditinggalkan. Tindakan yang demikian dapat dituduh bahawa seseorang yang melakukan pekerjaan itu adalah tidak amanah terhadap ilmu kerana bagi orang yang belajar atau membaca teks Mathla‘ al-Badrain dalam tulisan Latin/Rumi dapat dipastikan mereka tidak dapat mengetahui kandungan kitab itu secara keseluruhan jika kita bandingkan dengan orang yang belajar atau membaca teks Mathla‘ al-Badrain dalam tulisan Melayu/Jawi.

Model penulisan Mathla‘ al-Badrain jika kita teliti dari pelbagai aspek dapat kita klasifikasikan sebagai penulisan klasik ilmiah. Sebagai contoh pada banyak tempat digunakan nota kaki atau nota hujung, istilah orang Melayu pada zaman dahulu dinamakan "dhabit". Akhir setiap sesuatu dhabit ada yang digunakan istilah "Muallif" maksudnya ialah "pengarang". Pada konteks Mathla‘ al-Badrain maksudnya ialah Syeikh Nik Mat Kecik. Pada tempat yang lain digunakan istilah "Mushahhihahu" maksudnya ialah "pentashihnya". Pada konteks Mathla‘ al-Badrain maksudnya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada setiap penghabisan dhabit Syeikh Nik Mat Kecik menyebut nama kitab yang beliau rujuk. Kitab Melayu/Jawi yang banyak beliau sebut ialah Sabil al-Muhtadin tetapi Sabil al-Muhtadin hanya disebut pada bahagian ibadah saja. Kitab-kitab bahasa Arab seperti Fath al-Wahhab, Bujairimi 'Ala Fath al-Wahhab, dan lain-lain.


Kerana Mathla‘ al-Badrain terlalu banyak diajarkan terutama dalam kerajaan Johor maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu Mathla‘ al-Badrain. Hanya Mathla‘ al-Badrain lah satu-satunya kitab Melayu/Jawi yang telah ditulis kamus. Tidak terdapat kitab-kitab lainnya. Kamus Mathla‘ al-Badrain tersebut diberi judul Suluh Mathla‘ul Badrain disusun oleh Al-Ustaz Haji Abdul Ghani Yahya salah seorang murid Tok Kenali. Suluh Mathla‘ul Badrain ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Banyak kali diterbitkan dan di antara terbitan yang agak akhir 1988 oleh Pustaka Hussein No. 9, Jalan Sisi, 84000, Muar Johor.

Matla' An-Nurain - Menghuraikan Ibarat Kitab Matla' Al-Badrain (Jawi)

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat bagi mendalami pengetahuan agama masing-masing. Ini kerana, penyusun merupakan seorang yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan beliau berpengalaman luas dan menjalankan dakwah dan pengajaran secara 'nizami' dan 'umumi' di serata tempat di negeri Kedah, di masjid-masjid, surau dan jabatan-jabatan kerajaan. Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman.

Oleh kerana itu, buku ini telah banyak digunakan oleh para guru ta'mir masjid surau seluruh negeri Kedah Darul Aman sebagai salah satu sukatan (kurikulum) yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman.

KANDUNGAN

- Faedah Pada Menyatakan Kelebihan Ilmu
- Rukun-Rukun Islam Dan Iman
- Hukum-Hukum Bersuci
- Bahagian Air
- Benda-Benda Yang Mutanajjis Dan Barang Yang Suci Dengan Disamak
- BArang Yang Haram Digunakan Pada Bijana
- Hukum Bersugi
- Fardhu Wudhuk Dan Sunat-sunatnya
- Hukum Istinjak Dan Beberapa Adab Qadha' Hajat
- Perkara-Perkara Yang Membatalkan Wudhuk
- Sebab-Sebab Yang Mewajibkan Mandi
- Fardhu-Frdhu Mandi
- Sunat-Sunat Mandi
- Mandi-Mandi Sunat
- Hukum Menyapu Atas Dua Khuf
- Hukum Tayammum
- Tayammum Ganti Daripada Anggota Yang Memakai Air
- Cara Mengambil Wudhuk Pada Anggota Yang Bertampal
- Hukum Sembahyang Dengan Tayammum Yang Wajib Diulangi Dan Yang Tidaknya
- Ain-Ain Najis Dan Cara Menghilangkannya
- Hukum Haid, Nifas Dan Istihadhah
- Perkara-Perkara Haran Dengan Sebab Haid Dan Nifas
- Kitab Pada Menyatakan Ibadah Sembahyang
- Aurat Lelaki
- Aurat Hamba Perempuan
- Aurat Perempuan Dan Khunsa
- Rukun-Rukun Sembahyang
- Sunat-Sunat Sembahyang (Sebelum Sembahyang Dan Di Dalamnya)
- Sunat-Sunat Ab'adh
- Sunat-Sunat Hai'ah
- Cara Berzikir Dan Berdoa Lepas Sembahyang
- Cara-Cara Yang Menyalahi Lelaki Dan Perempuan Di Dalam Sembahyang
- Perkara-Perkara Yang Membatalkan Sembahyang
- Sujud Sahwi
- Sembahyang-Sembahyang Sunat
- Cara Sembahyang Tasbih
- Waktu Yang Makruh Sembahyang Padanya
- Sembahyang Berjamaah
- Syarat-Syarat Mengikut Imam
- Hukum Mengulangi Sembahyang Fardhu
- Hukum Ma'mum Yang Masbuq
- Sembahyang Qasar Dan Jama'
- Bahagian-Bahagian Jama' : 1- Jama' Taqdim, 2- Jama' Ta'khir
- Syarat-Syarat Jama' Taqdim
- Syarat-Syarat Jama' Ta'khir
- Lafaz-Lafaz Niat Sembahyang Qasar Dan Jama'
- Sembahyang Jumaat
- Rukun-Rukun Dan Syarat-Syarat Khutbah Jumaat
- Sunat-Sunat Jumaat
- Sembahyang Dua Hari Raya
- Perkara-Perkara Yang sunat Pada Hari Raya
- Sembahyang Gerhana Matahari Dan Bulan
- Contoh Khutbah Yang Pertama Gerhana Matahari / Bulan
- Contoh Khutbah Yang Kedua Gerhana Matahari / Bulan
- Sembahyang Istisqa' (Minta Hujan)
- Contoh Khutbah Yang Pertama Sembahyang Istisqa'
- Contoh Khutbah Yang Kedua Sembahyang Istisqa'
- Sembahyang Takut Di Dalam Medan Peperangan
- Hukum-Hukum Pakaian
- Kitab Pada Menyatakan Jenazah
- Mayat Orang Kafir

Pengajaran Agama Lebih Jelas Guna Kitab Matla' al-Badrain

Kerajaan negeri Terengganu berharap segelintir guru agama di masjid dan surau yang sebelum ini mengajar dengan merujuk kitab tetapi berdasarkan kefahaman yang berbeza dan kemampuan sendiri menggunakan kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain untuk lebih tepat serta lancar.

Kitab terbitan Yayasan Islam Terengganu (YIT) diterjemah oleh enam ahli panel di kalangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) menggunakan bahasa mudah dan moden, merangkumi aspek ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata penerbitan naskhah yang diterjemahkan daripada kitab tersohor inisiatif YIT bertujuan memudahkan guru agama di masjid dan surau mengajar dan memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat seluruh Terengganu.

Seramai 2,000 guru agama di masjid dan surau dilantik di bawah YIT. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk guru ta’mir dan mubaligh yang dilantik menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Khazan berkata, semua guru berkenaan terlebih dahulu diberi pendedahan mengenai kaedah mengajar yang betul melalui Kursus Metodologi Pengajaran Kitab Matla’ al Badrain yang disampaikan bekas Timbalan Mufti negeri, Haji Abdul Halim Awang.

“Kursus yang diatur oleh Yayasan Islam (Terengganu) untuk memberi kefahaman, mendalami dan mentafsir kitab yang akan diguna pakai oleh semua guru agama di negeri Terengganu. Kitab ini sangat baik dan menyeluruh.

“Kitab yang komprehensif ini bukan sahaja merangkumi mengenai ibadat, munakahat, jual beli dan muamalat, malah pelbagai aspek lagi,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan kitab itu serta tujuh buku baru terbitan YIT dengan kerjasama kerajaan negeri , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah YIT, Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Menurut Khazan, tempoh masa dua tahun diambil bagi menyiapkan naskhah agama itu berikutan ahli panel bukan di kalangan mereka yang bekerja sepenuh masa , selain proses menghasilkan buku itu melalui pelbagai peringkat termasuk transliterasi, pengstrukturan semula dan ulasan.

Selain itu, kitab setebal 94 muka surat itu juga merangkumi aspek penyuntingan menggunakan Bahasa Melayu moden dan mudah, menulis dalam Bahasa Melayu versi jawi, menterjemah perkataan Arab, menghurai maksud perkataan, istilah, teks yang tidak jelas serta sukar difahami, selain menterjemah tokoh ulama yang tercatat namanya dalam kitab itu.

“Selepas ini, kerajaan negeri akan memastikan tempoh masa menyiapkan penterjemahan itu dapat dipercepatkan lagi bagi menghasilkan kitab rujukan lain termasuk bidang fiqah, tauhid dan usuluddin.

No comments:

Post a Comment