30 August 2012

MENJADI dan MENCARI yang SOLEH

...MENJADI dan MENCARI yang SOLEH...

Ingin berkongsi pandangan, dari salah satu sisi kecil kehidupan..

Sejak kebelakangan ini, ramai juga teman-teman di sekeliling yang mendapat ‘kursus perkahwinan’ percuma dari saya, terutama teman-teman perempuan. Kursus percuma dari ‘kaunselor perkahwinan tak bertauliah’ seperti saya, adakalanya saya beri atas permintaan, banyak ketikanyanya tanpa diminta kerana saya seorang yang suka bercerita bab-bab perhubungan, sosial, motivasi dan perkara yang sewaktu dengannya [juga atas faktor saya juga adalah orang perempuan yang normal bercakap 15000 patah kata setiap hari berbanding lelaki hanya 5000 patah kata – mengikut satu kajian dalam buku yang saya baca].

Dan sebenarnya saya sangat suka memotivasikan teman-teman dan adik-adik yang masih bujang untuk terus berusaha berkahwin awal. Hmmm...Siapalah saya untuk bercerita dan ‘memberi kursus ‘ perkahwinan pada orang lain, kerana pernikahan saya sendiri baru saja berusia genap setahun pada bulan ini. Jauh dari kesempurnaan sebagai isteri, dan rumahtangga saya juga adalah rumahtangga realiti ada waktu ‘bintang-bintang berkerlipan menyeri alam’ dan ada juga waktu ‘panahan petir kilauan kilat di langit yang mendung’.

Teman-teman dan adik-adik perempuanku, berusahalah MENCARI jodoh, dan berusahalah MENJADI jodoh yang dicari… Bukan saya mendorong kahwin awal dengan semberono, namun berkahwinlah dengan persediaan untuk LATIHAN di MEDAN SEBENAR bernama PERNIKAHAN. Jika mencuba-cuba menjadi isteri atau suami sebelum masanya [ baca: berpacaran di luar pernikahan], kalian akan semakin jauh dari realiti berumahtangga.

Kalian tidak mahu terburu-buru berkahwin kerana bimbang rumahtangga tak bahagia…?

Maka, percepatkanlah berkahwin supaya kalian ada peluang lebih awal untuk belajar membina rumahtangga yang bahagia.

Tidak berjumpa lelaki yang soleh…?

Saya rasa lelaki-lelaki yang soleh juga menunggu kalian untuk membantu mereka memproses diri menjadi suami yang soleh.. Title 'Suami soleh' bukan lah satu anugerah yang diperolehi satu malam, melainkan proses panjang melalui kehidupan dengan isteri yang mendokong dan bersama dengannya membina peribadi soleh.....

Begitu juga jika kalian mengharap ketibaan wanita solehah alam hidup, ketahui pelayaran hidupmu dengan seorang perempuan itu [berteman ilmu dan ketaqwaan] insyaallah mampu membina dirinya menjadi isteri yang solehah. Realitinya, MENDAPAT atau MENJADI isteri dan suami yang soleh mengambil masa yang panjang, ia menuntut kesabaran dan kebijaksaan iman yang bukan calang-calang..

Jika tidak, kalian berasa hampa dengan rumahtangga yang dibina, kerana tingginya harapan untuk mendampingi suami soleh, dan meraih kebahagian, sedangkan kesolehan dan kebahagiaan adalah proses pembinaan yang sukar lagi panjang, yang tidak berteman dengan orang-orang yang cetek pemikiran dan dangkal kesabaran...

[Ya tuhan...tambahkan ilmu kami, dan kuatkan kesabaran kami....]

....Sekian, pandangan dan perkongsian ini sangat terbuka pada kesilapan dan ketidakmatangan, lantaran saya masih terkedek-kedek bertatih menjadi isteri di sebuah perjalanan kehidupan...

1 comment: